Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Selamat Sejahtera,
Secara umumnya Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah bukanlah suatu kumpulan
yang rasmi. Sebaliknya mereka adalah golongan majoriti umat Islam yang
tidak menggelar diri mereka sendiri dengan apa-apa nama khas. Dengan
kata lain, mereka adalah golongan sederhana yang menjadi tulang belakang
ummah sewaktu terdapat pelbagai golongan ekstremis menonjolkan diri
masing-masing dengan nama dan jolokan yang tersendiri, seperti Syiah,
Muktazilah, Jabariyah, Qadariyah dan sebagainya.
Di bidang ilmu, golongan sederhana seperti ini dikenali sebagai
Jumhur Ulama. Maksud nya majoriti para ulama yang tidak menggunakan nama
atau gelaran tertentu sepertimana yang disebut di atas. Sebaliknya
merupakan kesinambungan kepada keilmuan para sahabat dan tabiin yang
diwarisi dari zaman ke zaman dalam sifat yang cukup konservatif (Abu
Zahrah).
Dalam realiti umat Islam pada hari ini, Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah
ini merangkumi majoriti besar umat Islam. Mereka mendukung pandangan
klasik Islam yang diwarisi dari zaman ke zaman. Mungkin terdapat
perbezaan pendapat secara dalaman di antara mereka sendiri. Namun
perbezaan pendapat ini cukup minimum sekali dan dalam ruang yang
dibenarkan oleh Islam. Apa yang terkeluar daripada mereka hanyalah
golongan serpihan yang tidak komited dengan pandangan klasik dan cuba
membawa jalan sendiri yang jelas sekali janggal kelihatannya.
Mengingatkan bahawa perkara yang memisahkan di antara pelbagai
golongan ekstremis dan majoriti besar umat Islam yang dikenali sebagai
Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah ini ialah akidah dan politik (Abu Zahrah),
persoalan tentang kepimpinan ummah, baik di bidang politik dan
pemerintahan, atau di bidang keilmuan dan intelektual sangat penting
sekali. Maksud nya ia boleh memberi gambaran yang jelas sama ada sesuatu
sikap atau pandangan itu masih berada dalam lingkungan Ahl al-Sunnah Wa
al-Jamaah atau sebaliknya.
Begitupun, soal perbezaan di antara pandangan Ahl al-Sunnah Wa
al-Jamaah dan apa saja golongan serpihan yang ada pada hari ini tidak
sekali-kali menjadi tujuan makalah ini. Sebaliknya, makalah ini lebih
berminat untuk menghuraikan tentang keperluan kerjasama yang erat di
antara para pemimpin ilmu dan intelektual (ulama) dan para pemimpin
politik dan pemerintahan (umara) bagi tujuan pembangunan ummah
berdasarkan pandangan majoriti ulama Islam yang dikenali sebagai Ahl
al-Sunnah Wa al-Jamaah itu.
Antara Ulama dan Umara
Bagaimanapun, sebelum persoalan tentang hubungan di antara ulama dan
umara ini disentuh, baik sekali diperjelaskan satu istilah yang
nampaknya berkaitan rapat, iaitu “Orang Agama”. Istilah ini sebenarnya
tidak mempunyai asas dalam tradisi Islam sebagaimana yang diwarisi oleh
Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah. Sebaliknya, ia merupakan istilah asing yang
menyerap masuk melalui pengaruh orientalisme. Akar umbinya ialah agama
Kristian, dan telah mencapai tahap kesuburan yang tinggi dalam
pergolakan di antara gereja dan masyarakat Eropah pada suatu masa
lampau. (al-Badri)
Hakikat ini memperjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “ulama”
dalam konteks perbicaraan ini bukanlah maksud nya “Orang Agama” dalam
konsep yang dikembangkan oleh realiti agama Kristian di Barat itu.
Kerana di Barat ia lahir sebagai pengubat luka kepada kekecewaan gereja
atas kegagalannya melaksanakan tugas pemerintahan yang pernah direbutnya
dari tangan para pemerintah atas dasar untuk merealisasikan keutamaan
spiritual berbanding material. Bagi tujuan tersebut mereka mempopularkan
kata-kata warisan yang berbunyi “Berikan apa yang dipunyai oleh raja
kepada raja, dan apa yang dipunyai oleh tuhan kepada tuhan.”
Maksudnya, istilah “Orang Agama” memberi erti pemisahan di antara
urusan agama dengan urusan negara. Agama ada orangnya sendiri dan negara
juga ada orang nya sendiri. Segala upacara keagamaan dikuasai dan
dikelolakan oleh orang agama, sementara segala acara pemerintahan
dikuasai dan dikelolakan oleh orang politik dan pemerintahan. (al-Badri)
Sedangkan dalam Islam tidak ada orang agama dan orang negara mengikut
istilah berkenaan. Kerana pemisahan di antara agama dan negara tidak
berlaku. Bagi Islam, tidak ada yang disebut sebagai kuasa agama yang
terpisah daripada pemerintahan dunia dan sebaliknya pula tidak ada kuasa
pemerintahan yang terpisah daripada agama.
Apa yang ada dalam Islam ialah “ulama”. Penamaan ini tidak
berdasarkan aspek kuasa, tetapi sebaliknya keilmuan. Maksudnya,
kepimpinan ilmu. Samalah juga dengan “Umara”. Penamaannya juga tidak
berdasarkan kepada pembahagian kuasa. Sebaliknya ia memberi erti
kepimpinan dalam pemerintahan. Kedua-duanya bersatu di bawah agama
“al-Din”.
Kedudukan Para Ulama
Tanpa ulama semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak dalam
hidup mereka mengikut hawa nafsu semata-mata. Kerana itu para ulama
merupakan anugerah Allah untuk umat manusia bagi membimbing mereka ke
jalan yang benar. Baginda Rasulullah s.a.w sendiri pernah menyifatkan
para ulama sama seperti bintang-bintang di langit. Sabda baginda,
maksudnya: “Bandingannya para ulama di bumi ini samalah seperti
bintang-bintang di langit. Ia dijadikan pedoman dalam kegelapan di laut
dan di darat. Kalau bintang-bintang itu pudar mereka yang berpandukannya
nyaris sesat.” (Riwayat Imam Ahmad)
Dalam sebuah hadis lain Baginda Rasulullah bersabda, maksudnya: “Semua
yang ada di bumi dan di langit, termasuk sekali ikan-ikan di dalam air
beristighfar untuk para ulama. Bahawa kelebihan orang alim berbanding
ahli ibadat sama seperti kelebihan bulan berbanding cakerawala yang
lain. Bahawa para ulama itu adalah pewaris para Nabi.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi)
Dalam satu hadis lain lagi Baginda s.a.w bersabda, maksudnya: “Kelebihan
seorang ahli ilmu berbanding seorang ahli ibadat sama seperti kelebihan
saya berbanding orang yang lebih rendah di kalangan kamu. Sesungguhnya
Allah, para malaikat dan para penghuni langit dan bumi, termasuk semut
di dalam lubang dan ikan di dalam air akan berselawat ke atas orang yang
mengajar tentang kebaikan kepada orang.” (Riwayat al-Tirmidzi)
Semua pujian di atas bertujuan untuk menyatakan bagaimana besar nya
peranan para ulama dalam menjamin kesejahteraan Islam dan umat nya di
bumi ini. Mereka merupakan pemegang amanah yang sentiasa jujur dan
ikhlas kepada tugas mereka sebagai pewaris para Nabi. Dalam melaksanakan
semua tugas ini mereka tidak akan tunduk kecuali kepada kebenaran.
Kedudukan Para Umara
Sementara Umara pula adalah keperluan yang pasti bagi ummah. Tanpanya
masyarakat menjadi kacau. Malah Syariah tidak akan dapat dilaksanakan.
Sehubungan dengan ini Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda,
maksudnya:
“Pemimpin itu adalah perisai. Orang akan berperang di belakang nya dan berselindung di sebaliknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kerana itulah juga Allah sendiri menjanjikan kepada mereka ini tempat
yang tinggi dan mulia di hari akhirat nanti. Sabda Rasulullah s.a.w,
maksudnya: “Manusia yang paling dikasihi Allah dan diberi tempat
yang terdekat sekali dengan Nya pada hari kiamat nanti ialah pemerintah
yang adil. Sementara manusia yang paling dibenci Allah dan diletakkan di
tempat yang paling jauh sekali dengan-Nya pada hari kiamat nanti ialah
pemerintah yang zalim.” (Riwayat al-Tirmidzi)
Dalam sebuah hadis lain Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Ada
tujuh golongan manusia yang akan diberi berteduh oleh Allah di bawah
bayang-Nya pada hari yang tidak ada bayang kecuali bayang Nya sahaja
(salah satu daripadanya ialah) pemerintah yang adil.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sama dengan para ulama, para umara juga diberi kedudukan yang begitu
tinggi dan penting sekali oleh Islam. Semuanya kerana peranan golongan
ini dalam menjamin kemajuan Islam dan ummahnya di dunia ini.
Memandangkan kedudukan yang penting ini, dan untuk menjamin ia nya
dapat dicapai oleh para umara, Khalifah Umar Ibn al-Khattab pernah
memberi nasihat kepada gabenornya Abu Musa al-Asy’ari. Kata beliau,
maksudnya: “Penguasa yang paling berbahagia ialah mereka yang rakyat nya
merasa bahagia dengannya. Sementara penguasa yang paling celaka pula
ialah mereka yang rakyat nya merasa celaka dengan nya. Ingat, jangan
hidup mewah. Kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Bandingan kamu
sama seperti binatang ternakan. Apabila berada di padang ragut yang
menghijau ia akan makan banyak sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu
akan menjadi sebab kepada kebinasaannya. Kerana ia akan disembelih untuk
dimakan.” (Abu Yusuf)
Dalam satu pekeliling yang diedarkan oleh beliau kepada semua
gabenornya, Umar menyebut, maksudnya: “…Sesungguhnya saya menghantar
kamu sebagai para pemerintah, bukan sebagai para penindas. Kamu diutus
untuk menjadi pembimbing yang diikuti. Kerana itu tunaikan semua hak
orang Islam. Jangan kamu pukul mereka, nanti mereka akan rasa terhina.
Sebaliknya pula jangan kamu puji mereka, nanti mereka akan terpedaya.
Jangan kamu menutup pintu terhadap mereka, nanti yang kuat akan menindas
yang lemah di kalangan mereka sendiri. Jangan kamu mengutamakan diri
kamu berbanding mereka, nanti kamu akan menzalimi mereka pula.” (Abu
Yusuf)
Dalam nada yang hampir serupa Saidina Ali r.a memberi nasihat kepada
gabenor nya dengan berkata, maksudnya: “Jadikan yang paling kamu sukai
ialah kebenaran yang paling tepat, keadilan yang paling berakar umbi dan
kerelaan rakyat yang paling komprehensif.” (Ali r.a)
Faktor Kebaikan
Atas sifat- sifat yang disebut tadilah ulama dan umara disifatkan
secara bersama sebagai faktor kebaikan ummah. Sehubungan dengan ini
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Ada dua golongan manusia, bila mereka baik orang menjadi baik, bila mereka rosak orang menjadi rosak: ulama dan umara.” (Riwayat Abu Na’im dalam al-Hulyah)
Sebaliknya, kalau ulama dan umara gagal bersikap baik sepertimana
yang dihuraikan di atas ummah akan menjadi mangsa. Kerana itulah
Rasulullah selalu mengingatkan agar keadaan seperti itu dapat dielakkan
supaya tidak berlaku. Dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah s.a.w.
bersabda, maksudnya: “Akan terdapat para pemerintah yang fasik dan
zalim. Maka sesiapa yang mengeyakan pendustaan mereka itu dan menolong
mereka melakukan kezaliman dia bukanlah dari kalanganku.” (Riwayat Ahmad, al-Nasa’i dan al-Tirmidzi)
Dalam satu hadis lain Baginda s.a.w bersabda, maksudnya: “Saya
tidak bimbangkan umat saya daripada orang mukmin atau orang kafir.
Kerana orang mukmin dikawal oleh iman nya dan orang kafir diperjelaskan
oleh kekufuran nya. Apa yang saya bimbangkan ialah orang munafik yang
berlidah lembut. Dia akan berkata tentang apa yang kamu tahu dan akan
melakukan apa yang kamu tidak suka.” (Riwayat al-Tabrani dan al-Bazzaz)
Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Bila
Rasulullah s.a.w ditanya, apakah perbuatan yang paling baik, jawab
Baginda, “menjauhi perkara haram dan menjadikan lidah sentiasa basah
dengan menyebut Tuhan.” Apabila Baginda ditanya tentang kawan yang
paling baik, Baginda bersabda: “Kawan yang sentiasa menolong kamu
apabila kamu perlu dan memperingatkan kamu apabila kamu lupa” Apabila
ditanya tentang manusia paling jahat Baginda s.a.w. bersabda “Para
ulama, apabila mereka rosak.” (Al-Jahiz)
Bagi Imam al-Ghazzali pula, kerosakan para Umara berlaku kerana
kerosakan para Ulama. Kata beliau, maksudnya: “Adalah menjadi kebiasaan
bagi para ulama untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar tanpa
mengambil kira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka sangat
percaya bahawa Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid
kalau sudah ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka itu ikhlas
hati orang mudah menjadi lembut dan terbuka untuk menerima nasihat nya.
Tetapi sekarang, lidah para ulama telah menjadi kelu kerana diikat oleh
kepentingan. Kalau pun mereka bercakap, mereka tidak akan berjaya.
Kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang
dicakapkan. Kalau sekiranya mereka ini bersikap jujur dan bertujuan
semata-mata untuk menegakkan kebenaran ilmu. Sesungguhnya rakyat rosak
kerana pemerintah, dan pemerintah rosak kerana Ulama. Sementara Ulama
pula rosak kerana tamakkan harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai
oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat
walaupun kepada orang bawahan, apa lagi kepada pemerintah dan pembesar.”
(al-Ghazali)
Hubungan Baik
Para ulama yang soleh akan sentiasa berusaha untuk memberi nasihat
kepada siapa saja. Kerana nasihat merupakan asas kepada agama. Dalam
ayat al-Quran Allah menggesa supaya ada golongan yang melakukan amar
makruf dan nahi mungkar. Tentu sekali nasihat sebahagian daripadanya.
Malah Baginda Rasulullah s.a.w pernah menegaskan bahawa “Agama itu
nasihat.”
Nasihat kepada para pemerintah merupakan agenda paling utama. Kerana
ia boleh memberi faedah kepada pemerintah itu sendiri dan kepada rakyat
di bawah pemerintahannya. Kerana itulah sebahagian besar para ulama
salaf berpendapat memberi nasihat kepada para pemerintah itu lebih baik
daripada menderhaka dan memberontak terhadap mereka.
Kata al-Imam al-Hasan al-Basri tentang pemerintah, maksudnya:
“Merekalah yang melakukan urusan kita, sama ada untuk bersembahyang
Jumaat, membahagi harta fai’, dan mengawal sempadan serta perbatasan
negara. Demi Allah agama tidak akan stabil tanpa sokongan mereka, walau
pun mereka itu zalim. Demi Allah kebaikan mereka lebih besar daripada
kejahatan mereka.” (Abu Zahrah: Malik)
Apabila Imam Malik ditanya tentang hukum memusuhi orang yang
memberontak terhadap kerajaan, kata beliau “Harus, kalau kerajaan itu
sama seperti Umar Ibn Abdul Aziz”.Apabila ditanya, kalau pemerintah itu
tidak seperti Umar Abd.Aziz? Jawab Imam Malik: Biarkan Allah sendiri
yang bertindak terhadap kedua-duanya golongan itu.” (Ahmad Amin)
Pandangan yang serupa diberi oleh oleh para ulama lain termasuk Sa`id
Ibn al-Musayyib dan al-Imam Ahmad Ibn Hanbal. Bagi mereka, apa yang
perlu dilakukan terhadap pemerintah ialah memberi nasihat secara baik.
(al-Badri)
Dalam penulisan klasik Islam terdapat banyak contoh nasihat yang
telah diberikan oleh para Ulama kepada Para Umara itu tadi. Antara nya
ialah kata-kata nasihat yang ditulis oleh al-Imam Malik kepada Khalifah
Harun al-Rasyid dalam sepucuk suratnya yang masyhur itu. Dalam surat
yang panjang itu, al-Imam Malik antara lain menulis, maksudnya: “Saya
tulis surat ini untuk anda bagi tujuan berkongsi kebijaksanaan dan
memberi nasihat. Fahamilah ia dengan akal anda, ulangilah penatapannya
dengan mata anda dan dengarilah bacaannya dengan telinga anda. Kemudian
sematkan di hati anda, simpankan dalam ingatan anda dan jangan biarkan
ia hilang. Kerana di dalamnya ada kebaikan di dunia dan ada pahala
daripada Allah di akhirat nanti.
Fikirkan bagaimana anda nanti nya akan menghadapi mati dan segala
keburukan yang akan menimpa anda. Begitu juga tentang apa yang anda
bakal hadapi selepas mati nanti, termasuk pembentangan di hadapan Allah
dan kemudiannya hisab serta kehidupan yang kekal selepas itu dan segala
malapetaka yang disediakan oleh Allah…
Jangan anda percaya dalam apa pun juga urusan anda kepada siapa saja
yang tidak takutkan Allah. Kerana saya ada menerima riwayat bahawa Umar
Ibn al-Khattab berkata, “Berundinglah dalam urusan kamu dengan orang
yang takutkan Allah”. Selain itu, hati-hatilah terhadap mereka yang
rapat dengan anda yang mempunyai tujuan jahat. Kerana saya ada menerima
riwayat bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Setiap nabi dan khalifah
sentiasa dikelilingi oleh dua kalangan yang rapat. Kalangan pertama
selalu menyuruh dia melakukan makruf dan melarang mungkar. Sementara
kalangan kedua pula ada-ada saja kejahatan yang disebabkan olehnya.”
Jangan anda berpakaian terlalu mewah. Kerana Allah tidak sukakannya. Saya mendapat riwayat bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ”Sesiapa
yang mengheret pakaiannya dengan rasa bangga Allah tidak akan melihat
kepada nya pada hari kiamat. Taatlah kepada Allah dalam menentang
maksiat yang dilakukan oleh manusia, dan jangan taati manusia dalam
menderhaka kepada Allah. Kerana saya ada menerima riwayat bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda ”Tiada kepatuhan terhadap makhluk untuk
menderhaka kepada Allah.” (Abu Zahrah)
Al-Imam Abu Yusuf juga pernah menulis surat kepada Khalifah Harun
al-Rasyid memberi nasihat kepada nya. Antara lain beliau menyebut:
”Wahai Amir al-Mukminin, Allah telah menugaskan kepada anda satu tugasan
besar yang pahalanya sangat besar dan seksa nya juga sangat dahsyat.
Allah telah menugaskan kepada anda urusan umat ini. Anda telah mengambil
tanggungjawabnya memimpin umat ini sebagai satu amanah. Anda perlu
ingat bahawa binaan yang tidak diasaskan atas ketakwaan akan runtuh
menimpa pengasas nya sendiri dan semua orang yang membantu nya. Kerana
itu anda jangan sia-siakan tugasan ini dan bekerjalah dengan izin Allah…
Tunaikan segala hak yang diamanahkan itu dan jangan cuai daripada
melakukannya walau pun sesaat. Kerana pemimpin yang paling bahagia di
hari akhirat nanti ialah pemimpin yang disenangi oleh rakyat nya.
Hati-hatilah jangan bertindak berasaskan hawa nafsu atau dengan perasaan
marah. Apabila anda berhadapan dengan dua alternatif, satu nya memberi
keuntungan akhirat dan satu lagi memberi keuntungan dunia, maka anda
perlu memilih keuntungan akhirat. Kerana akhirat akan kekal selama-lama
nya, sedangkan dunia akan binasa. Takutilah Allah dengan cukup
hati-hati. Bersikap adillah terhadap semua orang, yang dekat dan yang
jauh. Dalam melaksanakan perintah Allah, jangan takut apa saja…” (Abu
Yusuf)
Sebaliknya, para pemerintah sentiasa bersedia untuk mendengar nasihat
daripada Ulama dan melaksanakannya. Khalifah Harun al-Rasyid menerima
baik kedua-dua nasihat berkenaan dengan diiringi ucapan terima kasih.
Atas semangat yang samalah juga Khalifah Abu Ja’far al-Mansur meminta
al-Imam Malik menulis sebuah kod undang-undang bagi digunakan di seluruh
mahkamah pada waktu itu. Untuk itu al-Imam Malik menulis Kitab
al-Muwatta’ yang masyhur sampai sekarang itu. (Abu Zahrah)Begitulah juga
Khalifah Harun al-Rasyid meminta Abu Yusuf menulis tentang dasar
kewangan negara yang kemudiannya melahirkan Kitab al-Kharaj yang masyhur
itu. (Abu Yusuf)
Pembangunan Ummah
Tentunya antara objektif di sebalik hubungan kerjasama di antara
ulama dan umara ini ialah pembangunan ummah. Itulah antara pengertian
yang terdapat dalam hadis Rasulullah s.a.w yang menyebut bahawa ulama
dan umara itu dua jenis manusia yang boleh menentukan baik buruknya
masyarakat dan ummah. Kerana salah satu daripada aspek dalam kebaikan
ummah ia lah pembangunan nya.
Salah satu aspek pembangunan penting bagi ummah ialah pengukuhan
kepimpinan di kalangan ummah itu sendiri. Bagi Ibn Taimiyah, ia adalah
kewajipan keagamaan yang perlu dilaksanakan. Kata beliau, tiada
kepentingan yang boleh dicapai kecuali ada permuafakatan di antara satu
sama lain. Sedangkan permuafakatan memerlukan kepimpinan. Benarlah kata
orang bahawa asas kepada pembangunan ekonomi itu ialah kestabilan
politik.
Memperkukuhkan pandangan beliau itu Ibn Taimiyah menyebut hadis-hadis
Rasulullah yang menyebut tentang keperluan melantik pemimpin bila saja
berlaku perkumpulan di antara orang Islam, dalam musafir misal nya.
Apalagi dalam politik, sosial dan ekonomi yang menjadi asas yang begitu
ketara dalam pembangunan. (Ibnu Taimiyah)
Dalam sejarah Islam yang panjang itu, pembangunan ummah menjadi
begitu pesat sekali di zaman pemerintahan Abbasiah. Kerana kestabilan
politik boleh dikatakan telah tercapai sepenuh nya, baik pada peringkat
dalaman mahu pun pada peringkat luaran. Begitulah juga di dunia zaman
moden ini. Mana saja negara yang politik nya bergolak tiada kemajuan
yang dapat dijayakan. Sebaliknya pula apabila politik menjadi stabil,
kemajuan dengan senang saja dapat dijayakan.
Dalam realiti Indonesia dan Malaysia pun sama. Kenyataan banyak
menunjukkan bahawa kemajuan menjadi pesat pada waktu kepimpinan politik
menjadi stabil. Sebaliknya, dalam keadaan politik goyah tiada kemajuan
yang boleh dicapai dan pembangunan ummah menjadi begitu lembap sekali.
Penutup
Apa pun juga, semua buah fikiran yang diperkatakan dalam kertas ini
lumrah belaka. Apa yang baru hanyalah peringatan dan pengungkapan
kembali tentang nilai hidup yang sangat murni ini.
Penekanan terhadap penyuburan aliran dan amalan Ahl al-Sunnah Wa
al-Jamaah sebenar nya boleh membantu ke arah mencapai apa yang
dicita-citakan itu. Kerana kesederhanaan nya boleh mengurangkan
pertentangan antara satu sama lain, baik di antara ulama dan umara
mahupun di antara ulama dan ulama sendiri.
Caranya ialah dengan melihat Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah sebagai
aliran utama di kalangan ummah yang diwarisi dari zaman ke zaman.
Sebagai aliran utama ia perlu diperluaskan tafsirannya. Para pemimpin
nya perlu bijak memasukkan ke dalam aliran itu apa saja golongan yang
berkemungkinan. Malah juga perlu bijak agar tiada siapa yang menyatakan
dia dari kalangan Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah disingkirkan.
Sesungguhnya pada konsep “’Am al-Jama’ah” yang menjadi titik
penutup kepada pergolakan politik yang sangat membimbangkan pada zaman
awal Islam itu ada pengertian yang mendalam terhadap pembangunan Ummah
pada waktu itu. Sedangkan Muawiyah tidaklah seorang yang terlalu ideal
berbanding dengan tokoh lain. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w yang
bermaksud: “Bahawa tangan Allah itu ada bersama jamaah.”
Wallahu a’lam.
Bibliografi
Abu Zahrah, Muhammad, Tarikh al-Madzahib al-Islamiyah, Kaherah: Dar al-Fikr al-Arabi, 1971
Abd. Al-Khaliq, Farid, Fi al-Fiqh al-Siasi al-Islami, Kaherah: Dar al-Syuruq, 1998
Badri (al), Abd Aziz, Al-Islam Baina al-Ulama’ Wa al-Hukkam, Al-Madinah al-Munawwarah: Al-Maktabah al-Ilmiyah, 1980
Farra`(al), Abu Ya’la, Al-Ahkam al-Sultaniyah, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 1983
Gudli, Nur Abd, Fan al-Hukm Wa al-Siasah al-Syar’iyah Fi al-Fikr al-Islami, Kuala Lumpur: Dar al-Tajdid, 2007
Ibnu Taimiyah, Al-Siasah al-Syar’iyah Fi Islahi al-Ra’i Wa al-Ra’iyah, Kaherah: Matba’ah Salafiyah, 1387H.
Mawardi (al), Al-Ahkam al-Sultaniyah, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 1978
‘Usymawi (al), Muhammad Sa’id, Al-Islam al-Siasi, Kaherah: Sina Lil-Nasyr, 1987
PROF. DATO’ DR. MAHMOOD ZUHDI HAJI ABDUL MAJID
(Petikan daripada majalah Dakwah, terbitan YADIM, Mei-Jun 2012)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan