Khamis, 3 Julai 2014

Cinta Akan Indah - Bab 8

Bab 8

DI BILIK, aku mula berasa tidak sihat. Badan lemah. Aku sentuh dahi, panas! Helaan nafas juga tersekat-sekat. Tiba-tiba saja sebaik aku bangun pagi ini, aku mengalami demam dan sekaligus selesema. Tekak juga terasa pahit sangat... sukar untuk menelan air liur. Kepala sakit berdenyut-denyut.
Pagi ini cerah. Aku melihat melalui celah-celah langsir yang ditembusi cahaya. Sudah agak lewat? Aku mencapai jam di meja sudut, pukul 7.05 pagi. Irsyad tentu sudah sampai untuk bertemu dengan aku. Tapi keadaan yang sakit ini tidak mengizinkan aku bergerak sangat!
Tiba-tiba...
Pintu bilik dibuka dari luar. Tersembul wajah manis Meeda sambil melemparkan senyuman. Dia menghampiri aku. Lagaknya seolah-olah telah melupakan apa yang terjadi antara kami semalam.
“Bangun! Dah ada orang tunggu kau kat bawah tu,” bicara Meeda sebaik sahaja hampir padaku.
Aku mengagak tentunya Irsyad yang dimaksudkan. “Siapa?” soalku pura-pura tak mengerti maksud Meeda.
“Irsyad. Dia ada kat bawah tunggu kau dari tadi. Kenapa kau tak siap lagi? Irsyad kata dia nak bawa kau jalan-jalan dulu sebelum ayah kau datang.” Meeda sebenarnya telah melupakan apa yang terjadi.
Dia tahu ke aku keluar dengan Irsyad tengok wayang semalam? Berjumpa Irsyad semalaman? Reaksi Meeda pagi ini membuat aku berfikir... selalunya dia tak semesra ini bila menyebut nama Irsyad. Aku mengeluh perlahan dan memegang kepala yang panas dan sakit bagaikan nak terbelah!
“Kenapa? Kau tak suka aku kejutkan kau? Atau kau masih marahkan aku?” soal Meeda resah melihat aku ber­sikap aneh.
“Bukan, aku tak sihat. Kau tolong layan Irsyad, sekejap lagi aku siap!” Aku cuba untuk bangun. Tak berdaya. Aku cuba lagi dan lagi, masih tak berjaya! Aku menarik nafas. Tisu dicapai dan aku mengelap wajah yang tiba-tiba berpeluh dengan banyaknya. Aku cuba untuk duduk.
“Aku tahu kau marahkan aku tentang hal semalam. Aku minta maaf. Aku tahu aku salah menuduh kau yang bukan-bukan.” Hati Meeda tergores melihat layanan yang diberikan padanya pagi ini. Sedangkan semalam, selepas dia berjumpa dengan Irsyad, dia menanam azam untuk menjernihkan perhubungan mereka.
“Aku betul-betul tak sihat, Meeda. Tolong beritahu Irsyad, aku tak jadi ikut dia keluar. Kau tolong aku!” pinta aku dalam kesakitan yang amat sangat.
Aku cuba juga untuk bangun. Beratnya kepala yang semakin sakit berdenyut-denyut dan secara spontan Meeda yang melihat keadaan aku dalam menahan sakit itu, dia menyentuh dahiku. Di wajahnya jelas kelihatan perasaan bimbang melihat aku tak berdaya begini.
“Meeda...” panggilku perlahan sebelum rebah di pembaringan semula.
“Aku pergi ambil ubat untuk kau.” Meeda bergegas meninggalkan aku sendirian.
Aku merenung sekitar bilik dan terlena kembali.

AKU sedang memujuk Lina di biliknya yang dalam kesedihan teruk seminggu lamanya. Tidak berhenti menangis disebabkan kecewa oleh Azan, kemudian dia bertindak kurang waras sehingga menolak aku kasar menyebabkan aku terhantuk di bucu katil dan kemudiannya menyebabkan kebakaran di dalam bilik tidur Lina.
“Aina Malina... Aina Malina! Lina, jangan...” Kata-kata ini kembali dalam lenaku.

“LINA... Lina...” Sayup-sayup sebuah suara memanggilku.
Tubuhku terasa bergoncang kuat. Sakit, perit berdenyut terasa di kepalaku. Aku membiarkan air mataku mengalir deras tanpa dipinta. Aku sudah kehilangan Lina. Kembarku telah pergi menghadap Ilahi dan aku sendirian.
“Lina... awak okey?” soal Irsyad bimbang melihat keadaan Lina yang meracau-racau tak tentu arah. Satu pun butir yang dikatakannya tadi tidak difahami. Kekasih hatinya itu tidak sihat hari ini. Getaran jiwanya berombak kuat. Keresahan dan ketakutannya semalam semakin kuat dirasai.
“Siapa awak? Apa awak buat kat bilik saya?” soal aku panik melihat seorang lelaki yang asing dalam bilik itu.
Irsyad diam dan gelisah.
“Di mana saya sekarang? Ini bukan bilik saya. Beritahu cepat di mana saya sekarang. Saya berada di mana?” soalku mendesak. Aku meneliti sekeliling termasuk katil tempat aku berbaring. Bukan... warna putih adalah warna tilam katil hospital, tapi warna tilam ni lain. Di manakah ini?
“Lina, Irsyad ni. Meeda kata awak sakit tadi. Jadi, saya temankan awak sementara menunggu Meeda ambilkan makanan awak.” Irsyad cuba menenangkan Lina. Dia tahu Lina kurang sihat, mungkin itu mengganggu fikirannya.
“Meeda? Siapa dia?” soal aku lagi, kebingungan seperti orang bodoh. Aku tidak mengenali lelaki ini, yang bernama Irsyad. Aku bimbang! Aku cuba mengingati, langsung nama itu tidak lekat di fikiran!
“Meeda tu kan teman sebilik awak. Dia kat dapur kafe asrama, sedang masak bubur nasi untuk awak. Dia minta saya temankan awak kat sini. Meeda kata awak pengsan tadi.” Irsyad memegang tangan aku. Dia cuba terangkan sebaik mungkin supaya aku tenang semula dan cuba mengurangkan resah hatinya sendiri.
“Kenapa saya berada di sini?” Aku menarik tangan de­ngan kasar. Aku tak suka dengan kelakuan lelaki asing itu. Dia cuba mengambil kesempatan. Mengapa dia boleh berada di bilik seorang gadis?!
“Bertenang Lina... ini bilik awak. Awak kan sakit, banyakkan berehat.” Irsyad berkata selembut mungkin. Melihat sikap aku yang ganjil sejak bangun tadi membuatkan dia berdebar-debar. Janganlah ada apa-apa yang buruk menimpa.
“Bilik saya?”
“Macam mana?”
Satu suara menegur. Aku berpaling melihat ke arahnya. Seorang gadis cantik sedang melemparkan senyuman.
“Panas kepala dia makin teruk. Aku dah tukar tuala empat kali sejak dia tak sedar dari tadi. Aku risau panasnya tak kebah-kebah!” Irsyad menerangkan kepada Meeda.
Aku hanya menjadi pemerhati bila mereka berbicara. Soalnya, siapa dia? Diakah Meeda? Teman sebilik yang di­nyatakan pemuda asing itu tadi?
Mana ayah dan ibu yang sepatutnya menjagaku? Aku tak nampak mereka sejak tadi. Aku juga tak tahu aku di mana. Lina? Kenapa mereka memanggil aku dengan nama itu? Aku bukan Lina. Aku... aku... Sedaya upaya aku cuba untuk mengingati siapa mereka, tapi tidak berhasil. Aku sudah ingat semula segala yang terjadi tapi mengapa mereka yang aku lihat sejak membuka mata tadi? Mengapa bukan wajah ayah atau ibu? Mana mereka?
“Lina, bangun... aku suapkan bubur nasi. Lepas tu kau makan ubat, ya? Irsyad beli kat farmasi masa kau tidur tadi!” pinta Meeda.
Aku menurut kehendaknya. Mengapa dia begitu baik padaku? Siapa mereka? Pemuda asing ini berada di sisi sedang menggenggam tanganku. Aku meneliti wajah gadis yang sedang menyuapkan bubur padaku. Namanya Meeda. Cantik orangnya. Tanpa bantahan aku terus menerima suap­an Meeda sehingga habis. Aku kemudian diminta menelan ubat, perkara yang paling aku takuti sejak kecil. Irsyad cuma memerhati.
“Argh...” erangku tiba-tiba, belum sempat ubat ditelan. Sakitnya! Aku memejamkan mata. Kepala yang sakit mencucuk.
“Elok kita hantar Lina ke hospital,” cadang Irsyad segera.
“Lina!” panggil Meeda berusaha untuk menyedarkan aku. Tidak berhasil! Kereta dipandu laju membelah jalan di waktu pagi itu!

MELIHAT ngongoian Lina di sisi, simpatiku datang. Inilah padahnya orang bercinta. Air mata adalah teman setia seorang Hawa setiap kali dilanda krisis dengan kaum lawan. Siapa lagi... kaum Adamlah! Sudah seminggu dia begini, tiada perubahan. Tentu kali ini perang besar. Perang dunia ketiga.
Hai... tak habis-habis dengan masalah yang menimpa Lina seminggu dua ni. Ini menangis teruk tentunya kerja si budak bernama Azan tu lagi. Tengok tu, mata sampai bengkak-bengkak. Mereka ni macam laki bini bergaduh tak kira hari. Tak apalah kalau masalah tu cuma menyusahkan budak Azan tu.
Ini tak, aku juga yang jadi mangsa untuk pujuk Lina. Inilah padahnya berlembut sangat dengan si Azan tu. Kalau aku punya teman lelaki begitu, dah lama aku sepak sampai masuk tong sampah! Apalah nak jadi dengan minah seorang ni? Wajahnya kusut, mata kecur oleh air mata dan kelihatan tidak bermaya sekali.
“Lisa, tolonglah aku. Kenapa Azan sanggup buat begini pada aku?”
Rintihan Lina menyedarkan aku ke alam nyata. Mengutuk kembar sendiri, celopar juga aku ni. Dialog ini juga yang berulang kali dituturkan Lina kepadaku. Bosannya melayan rajuk dia ni! Tulah... aku suruh jangan bercinta dulu, tak nak. Macamlah lelaki tu lari kalau dikejar. Mana ada lelaki yang lari dikejar perempuan, cuma mungkin lari bila perempuan mengamuk aje.
Aku sendiri bingung nak buat macam mana dengan Lina. Dah habis pujuk dah ni. Si Azan tu, bukannya aku kenal pun. Namanya aje yang aku tahu. Itu pun Lina yang selalu cerita sebab kami terpisah sekolah selepas PMR. Walaupun Azan belum dikenali, namun aku mula tidak menyukai apa yang terjadi pada Lina kini.
Azan... aku mula membenci nama itu tanpa mengenal isi hatinya terlebih dahulu. Tapi apa yang berlaku pada Lina menyedarkan aku. Sanggup dia buat Lina sebegini teruk. Dua minggu Lina asyik menangis!
Walaupun sebenarnya antara aku dan Lina terdapat jurang perbezaan yang ketara, namun dari segi naluri dan fizikal kami serasi. Aku memahami Lina dan dia tahu aku bagaimana. Raut wajah kami juga tidak berbeza dan saiz kami bagai diukur. Kami benar-benar kembar seiras. Ada saja kekeliruan berlaku pada yang memandang kami.
Perbezaan kami ketara dari segi perwatakan. Lina memiliki jiwa yang lemah lembut, anak yang menurut perintah dan kata orang tua serta cuba melakukan apa yang terbaik untuk dirinya sendiri. Itulah penyebabnya aku dan dia terpisah. Dia terpilih ke Sekolah Sains berasrama penuh, sesuai dengan keputusan PMR yang amat membanggakan ibu dan ayah.
Mulai saat itu kami berpisah. Dan aku lebih senang bersekolah di sekolah biasa memandangkan keputusan PMR yang aku perolehi hanya membolehkan aku memasuki kelas perdagangan. Aku pula digambarkan oleh orang tua sendiri sebagai seorang anak yang degil, kasar, perengus dan selalu merungut apabila disuruh membuat sesuatu. Dari segi pelajaran sebenarnya aku tidak kalah. Keputusan aku juga baik, cuma minat terhadap pelajaran tidak begitu memuaskan hati ibu dan ayah.
Sejak itu penampilan kami berbeza. Orang kata bila se­seorang bercermin mata, tentunya dia seorang yang bijak. Tapi berlainan pula yang terjadi kepada kami. Lina bertudung dan tidak memakai cermin mata, sedangkan aku bercermin mata dan tidak bertudung. Aku kan...
“Sudahlah, Lina... pujuk saja Azan tu,” kataku entah kali ke berapa untuk memujuk hati yang merajuk teruk kali ini.
“Sampai hati dia buat aku begini. Kalau aku tahu begini jadinya, tak akan aku sesekali hambakan hati pada dia. Sanggup dia tipu Lina hingga memalukan apabila Lina asyik fikir apa yang dia katakan.” Buat pertama kalinya Lina membuka cerita, namun masih samar-samar untuk difahami.
Ngomelannya sambil teresak-esak menangis dan hanya membebel tanpa memikirkan komplikasi kata-katanya itu kepadaku. Dan aku membuat keputusan lelaki itu tidak patut mencintai sesiapa pun. Apa yang dikatakan Lina, aku akan anggap itu serius. Dan ini sering membawa masalah komunikasi antara aku dengan keluarga.
Aku tahu mereka lebih mementingkan Lina berbanding aku. Sekiranya ada peluang untukku merampas kasih sayang mereka, aku pasti akan lakukan. Kerana tak kira apa jua tindakan yang aku ambil, hukuman tetap aku terima. Aku cukup terkilan, namun dipendamkan.
“Cuba cerita betul-betul dengan Lisa, apa si Azan (bedebah – aku sebut dalam hati aje...) tu dah buat?” soalku kesal melihat sikap Lina yang lemah hanya kerana kata-kata manis seorang lelaki. Sedangkan perjalanan hidup ini masih jauh.
Dia juga masih muda, belum pun lepas SPM dah bercinta bagai nak rak! Selemah beginikah seseorang disebabkan cinta? Bukankah elok mereka berbincang untuk selesaikan masalah?
Aku merenung Lina yang membisu tiba-tiba. Dia seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu daripada aku. Wajahnya muram dan sungutan kecil kedengaran, butirannya tidak jelas. Hakikatnya seperti yang aku ketahui, aku dan Lina tiada rahsia. Entah-entah ada sesuatu yang cuba disembunyikan daripada aku selama ini. Tapi... malas aku nak fikirkan.
Aku memeluk Lina, suasana sepi membuatkan aku meneliti sekitar bilik. Berselerak! Aku masih memeluknya, membiarkan Lina dalam keadaan begitu. Lina tersengguk-sengguk di bahuku. Sebenarnya, aku tak tahu nak buat apa untuk pujuk Lina kali ini. Segala kata-kata tak diendahkannya.
“Apa yang buat kau terlalu sedih?” soalku, mula diselubungi kasihan. Lina semakin kuat menangis, seakan tidak sanggup untuk bersuara. Rasa pilu yang mencucuk ulu hati cuba kuhalang.
“Ceritalah... kalau kau menangis begini, aku pun tak tahu apa nak buat. Kalut!” Aku cuba menahan bara kemarah­an terhadap Azan. Pujukan itu menghalang marahku yang ingin meletup seperti biasa. Aku juga tak tahan sabar.
“Azan... Azan...” Suara Lina tersekat-sekat sambil tangan­nya seolah-olah sedang memberi isyarat sesuatu.
“Apa dia?” soalku mula berang. Aku menggoncangkan bahu Lina berulang kali. Sudah seminggu dipujuk, masih juga tak berubah. Apa nak jadi dengan Lina ni?
“Azan tinggalkan aku dan putuskan hubungan kami! Lepas dia... dia...” Spontan Lina menjawab, terkejut disergah tadi.
Jahatnya aku! Orang sedih nak rak, aku marah-marah. Kelihatan perit kecewa di wajah Lina ketika menuturkan bicara yang terputus-putus. Aku terkejut walaupun sudah berkali-kali mereka putus. Tapi kali ini yang paling teruk Lina dibuatnya. Jantan tak guna!
“Lina, tengok aku. Aku tak tahu apa nak cakap, tapi aku tahu kau kecewa. Dengar cakap aku, Lina...” Aku hampir menitiskan air mata. Lina terlalu terluka memendam rasa.
Selama dua minggu, kenapa aku tidak tahu? Apa sebenar­nya yang aku mahu? Sepatutnya awal-awal lagi keadaan Lina mencerminkan bahawa mereka... Ah! Aku tak seharusnya layan dia begini. Ikut sesedap rasa.
“Aku tak mahu. Aku cintakan Azan. Azan segala-galanya bagi aku. Aku tak mahu dia tinggalkan aku begitu saja. Aku tak mahu kehilangan dia setelah apa yang dia buat pada aku. Aku akan... akan...” Lina merintih sayu.
Bicaranya terputus-putus kerana esakan tangis. Tangisan­nya mengundang simpati di hati. Aku mula terkilan.
Lina tiba-tiba berubah laku, bertindak liar. Sepantas kilat dia mencapai kertas yang aku rasa dari diarinya yang berse­lerak di lantai bilik. Kertas yang telah dikoyak itu dicarik-carik dan dimasukkan ke dalam bakul sampah di tepi pintu.
Aku hanya memerhatikan tingkahnya yang ganjil itu. Kelihatannya dia sedang mengemas biliknya semula. Bagus juga dia berfikiran begini, dapat menerima hakikat! Aku duduk diam di bucu katilnya.
Lina beralih ke kiri di meja tulis, menyelongkar segala isi di dalamnya. Dia seakan mencari sesuatu. Dari situ, dia ke almari pakaiannya di sebelah kanan katil. Almari itu dibuka dan dihamburkan!
Dia ni kenapa? Nak kata kemaskan bilik, kenapa pula diselongkar pakaian dari almari? Jangan-jangan dia nak lari.
“Lina!”
Panggilanku tidak bersahut. Buku-buku berselerak. Aku mula tidak senang hati. Aku menghampiri dan menariknya untuk menghalang tindakan agresif yang secara tiba-tiba itu.
“Lepaslah!” teriak Lina sambil menyentak tanganku.
Aku terpempan. Ini pertama kali Lina meninggikan suara tanpa mempedulikan aku. Aku berdiri kaku, melihat lurus ke arahnya. Tangisannya sudah berhenti, hanya kebengisan terpancar di wajah.
Tanpa sedar, Lina menolak aku kasar. Dia sudah gila! Perbuatan Lina itu menyebabkan aku terjelepok jatuh dan kepala terhantuk di bucu katil. Keadaan gelap pada penglihatanku.

Tiada ulasan: