Isnin, 18 Februari 2013

Kadar cukai pendapatan boleh dikurangkan dari semasa ke semasa - PM Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/2013021Kadar cukai pendapatan boleh dikurangkan dari semasa ke semasa PM

IPOH 15 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar cukai pendapatan boleh dikurangkan dari semasa ke semasa bergantung kepada
“trend jangka panjang" model pembangunan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata, pengurangan cukai itu juga berdasarkan kemampuan kerajaan untuk menambah hasil pendapatan negara.
"Satu daripada kejayaan yang dicapai di mana dalam tahun-tahun kebelakangan ini kita dapat mengurangkan kadar cukai tapi hasil kita bertambah.
"Ini satu percapaian teristimewa yang telah pun dapat dicapai oleh Malaysia," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia berpegang kepada falsafah “ke arah negara berpendapatan tinggi tetapi dengan kadar cukai yang rendah".
"Tapi ini tidak bererti tiap tahun kita kurangkan kadar cukai. Kita tengok kepada trend jangka panjang," katanya.
Terdahulu, ketika berucap, Najib berkata, kadar tertinggi cukai pendapatan individu di negara ini ialah 25 peratus berbanding 75 peratus di Perancis.
"Perancis merupakan negara berpendapatan tinggi tetapi cukai yang paling maksimum telah pun dinaikkan kepada 75 peratus bererti daripada setiap dolar pada tahap tertentu, 75 sen terpaksa dibayar kepada kerajaan.
"Tetapi kita (kerajaan Malaysia) memilih kadar cukai yang rendah untuk negara kita," katanya.
Katanya, selain memberi fokus kepada peningkatan pendapatan, kerajaan juga memberi perhatian kepada kesejahteraan rakyat.
"Kalau perkara-perkara yang dekat di hati rakyat dirasakan amat penting tidak dipeduli dan diambil berat oleh kerajaan, sudah tentu rakyat tidak merasakan tahap kepuasan dan kesejahteraan yang tinggi walaupun pendapatan terus meningkat," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga akan memastikan jaringan keselamatan sosial rakyat akan terus diperkukuhkan tanpa menjadikan Malaysia sebuah “welfare state".
"Bila saya sebut welfare state itu, konsepnya berbeza dengan negara kebajikan," katanya.
Katanya jaringan keselamatan sosial meliputi pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia dan Bantuan Sekolah 1Malaysia bukan sahaja dapat menolong rakyat tetapi dapat membangunkan ekonomi yang mapan.
Turut hadir pada pelancaran itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa; dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - BERNAMA

Tiada ulasan: