Kita Tidak Menghukum, Tetapi Menyatakan Kaedah
Datang seorang wanita yang tidak menutup aurat bertanya kepada
saya; “Dr! adakah saya masuk neraka kerana saya tidak menutup aurat,
sedangkan saya solat dan melakukan ibadah-ibadah yang lain?”. Saya
beritahu kepadanya: “Adapun saya bukanlah malaikat penjaga neraka.
Bahkan malaikat penjaga neraka sendiri tidak berhak menentukan siapa
yang akan dimasukkan atau dikeluarkan dari neraka.
Ini adalah kekuasaan mutlak Tuhan Yang Menciptakan neraka. Di akhirat
neraka dimasuki oleh sesiapa yang ditentukan ALLAH sebagai ahli neraka.
Demikian juga syurga. Namun ALLAH memberitahu tentang keadaan manusia
di akhirat dengan firmanNya (bermaksud) : “adapun orang yang berat
timbangan (amal baiknya), Maka ia berada dalam kehidupan yang senang
lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangannya (amal baiknya), Maka
tempat kembalinya ialah “Haawiyah”, Dan apa jalannya engkau dapat
mengetahui, apa dia “Haawiyah” itu? (Haawiyah itu ialah): api yang panas
membakar” (Surah al-Qariah 6-11).
Adapun saya yang dhaif ini tidak mengetahui bagaimanakah timbangan
amalan saudari di akhirat kelak. Bahkan nasib saya sendiri saya tidak
tahu, bagaimana mungkin saya boleh tahu nasib orang lain?!! Namun jika
saudari bertanya saya, adakah perbuatan saudari salah atau betul?
Tentu jawapannya: ia satu kesalahan. Apakah perbuatan itu faktor yang
membawa ke syurga atau ke neraka?…….. Maka jawapan “dalil-dalil
al-Quran dan al-Sunnah menunjukkan ke neraka”. Namun timbangan amalan
insan di akhirat bukan hanya terbatas kepada suatu bab sahaja. Ia
merangkumi segala bentuk kebaikan dan keburukan.
“Sesiapa beramal dengan kebaikan seberat biji sawi akan dinilai.
Sesiapa yang beramal dengan seberat biji sawi keburukan juga akan
dinilai”. Kemudian jika natijah dari nilaian itu menunjukkan kebaikan
lebih berat dari kejahatan, maka selamatlah dia. Jika sebaliknya,
rugilah dia. Dalam hidup ini, ada pula ujian dan cubaan. Sesiapa yang
sabar dengan ujian dan cubaan, diberi pahala dan dihapuskan dosa.
Kesalahan orang kepada kita juga menjadikan pahalanya dipindahkan kepada
kita, atau dosa kita diberikan kepadanya -seperti dalam hadith al-Imam
Muslim-.
Maka keputusan neraka dan syurga adalah hak ALLAH terhadap
hamba-hambaNya. Apa yang pasti dosa menyumbang ke arah neraka. Pahala
menyumbang ke arah syurga. Jika ditanya membuka aurat, riba, derhaka
ibubapa dan seumpamanya ke arah mana? Jawapannya ke arah neraka. Jika
ada yang berkata, mereka ini juga solat dan buat baik dalam perkara yang
lain. Kita katakan; amalan baik menuju ke syurga. ALLAH yang Maha Adil
akan menimbangnya dan menentukannya.
Demikian semua insan. Padanya ada baik dan buruk. Amalan kita akan
ditimbang di akhirat kelak. Saya timbulkan ini kerana ada juga orang
bertanya saya tentang hadith: “..Sesungguhnya sesiapa yang hidup
selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu
berpegang dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin
(mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ianya dengan
geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama),
kerana setiap yang diada-adakan itu bid’ah dan setiap yang bid’ah itu
sesat”. (Hadith ini sahih. Diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi dengan
menyatakan ianya “hasan sahih”, Ibn Majah dan al-Darimi dalam sunan
mereka. Demikian juga Ibn Hibban dalam sahihnya dan al-Hakim dalam dalam
al-Mustadrak dengan menyatakan: “Hadith ini sahih”. Ini dipersetujui
oleh al-Imam al-Zahabi).
Katanya: “Jika bid’ah masuk neraka, apakah datuk nenek kita dan
sebahagian golongan agama akan masuk neraka disebabkan beberapa perkara
bidah yang mereka lakukan”. Saya katakan; pertama hadith ini sahih, maka
kita jangan mempersenda-sendakannya. Kedua, seperti yang disebut tadi;
sesiapa yang berat amalan baiknya maka dia masuk syurga.
Begitu sebaliknya. Adapun bid’ah bukan pembawa ke arah syurga. Kita
mengharapkan bagi mereka amalan soleh yang jauh lebih besar dari
kesilapan mereka. Dengan itu beratlah kebaikan mereka melebihi kesalahan
mereka. Keempat, kita disuruh oleh agama untuk bersangka baik dengan
muslim yang lain. Justeru, kita katakan; mungkin mereka tidak tahu, atau
menyangka ia sunnah walaupun sebenarnya tidak. ALLAH Maha Mengampuni
hamba-hambaNya.
ALLAH berfirman (maksudnya): Allah tidak memberati seseorang
melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang
diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.
(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau
mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan
kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat
sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu
daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami
apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami,
serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah
Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan
terhadap kaum-kaum yang kafir”. (Surah al-Baqarah: 286).
Kita mendoakan keampunan mereka, namun dalam masa yang sama kita
tidak boleh menyatakan kepada diri kita bahawa kesalahan yang dibuat itu
betul. Bahkan kita mesti menghindari kesilapan yang lalu setelah sampai
kepada kita ajaran al-Kitab dan al-Sunnah. Kita menyampaikan hukum
ALLAH dan kaedah agama. Kita tidak menghukum individu. Jika kita ditanya
apakah hukuman terhadap pencuri dalam perundangan Islam. Kita jawab:
Dalam hukum Islam pencuri dipotong tangannya. Namun jika dia bertanya
adakah si A boleh saya potong tangannya kerana saya lihat dia mencuri.
Kita katakan: Tidak! Sehingga melalui proses perbicaraan yang dituntut
oleh syarak. Apa yang saya beritahu ‘pencuri dipotong tangan’ ialah
kaedah.
Adapun perlaksanaan memerlukan penelitian yang lebih. Bidah,
khurafat, riba, arak adalah pembawa kepada jalan neraka. Sesiapa yang
mengamalkannya, menuju ke neraka. Ini adalah kaedah umum. Namun apabila
hendak memutus si fulan ahli neraka. Tiada siapa yang berhak. Ini kerana
kita tidak tahu amalannya yang lain, taubatnya, istighfarnya, dan
kemaafan ALLAH untuknya.
Hal ini perlu dijelaskan untuk dua pihak. Pertama mereka yang tidak
faham tentang maksud kaedah-kaedah yang disampaikan lalu menuduh yang
bukan-bukan. Kedua kepada golongan pendakwah sendiri yang terlalu cepat
menghukum individu tanpa penelitian. Jadilah kita bagaikan khawarij.
Atau pro-khawarij di zaman ini yang cepat mengkafirkan muslim yang lain.
Justeru kita perlu ingat, sikap tergopoh-gapah menghukum sebelum
mengetahui latarbelakang orang dicegah atau disuruh adalah perbuatan
yang salah. Golongan yang gopoh ini akan menghukum dengan hukuman kafir
atau sesat tanpa terlebih dahulu memahami masalah. Bahkan mungkin mereka
sendiri tidak faham hukum-hakam tersebut dengan jelas. Sedangkan mereka
lupa, tidak semua maksiat membawa kepada kekufuran. Tidak semua pula
perbuatan dan ucapan kufur menjadikan pelakunya kafir.
Demikian tidak semua perbuatan bid’ah menjadikan pembuatnya ahli
bid’ah. Kata Ibn Taimiyyah: “Sesungguhnya sesuatu ucapan menjadi kufr
seperti mengingkari kewajipan solat, zakat, puasa dan hajj. Namun
pengucapnya mungkin tidak sampai kepada khitab (ajaran yang betul dalam
perkara tersebut), maka tidak dikafirkan dia disebabkan keingkarannya.
Ini seperti mereka yang baru menganut Islam dan hidup di daerah
pendalaman yang jauh dan tidak sampai kepadanya syariat-syariat Islam”(
Ibn Taimiyyah, Majmu’at al-Fatawa, 2/220).
Di tempat yang lain beliau menyebut: “Sesiapa yang menghadiri
majlisku mengetahui, sesungguhnya aku adalah manusia yang paling
membantah menyandar seseorang individu kepada kekafiran, atau kefasikan,
atau kemaksiatan, melainkan setelah ditegakkan hujah dan dalil yang
menunjukkan sesiapa yang menyanggahinya (dalil tersebut) menjadi kafir,
atau fasiq, atau ahli maksiat. Sesungguhnya aku bertegas bahawa ALLAH
mengampuni kesilapan umat ini. Ini merangkumi pemasalahan akidah dan
amalan” (Ibid, 2/147).
Al-Qaradawi menyebut: “Hendaklah diberikan perhatian apa yang telah
diputuskan oleh para `ulama muhaqqiqun mengenai wajibnya dibezakan
antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (mengkafirkan). Ini
bermaksud, contohnya kita katakan “Golongan komunis itu kafir, atau para
pemerintah sekular yang membantah hukum syarak itu kafir, atau sesiapa
yang menyatakan sebegini atau menyeru kepada ini maka dia kafir. Ini
semua adalah hukuman pada jenis. Adapun apabila perkara ini berkait
dengan peribadi seseorang, yang disandar kepada mereka itu dan ini, maka
wajiblah diambil masa untuk dibuat kepastian dan kesabitan mengenai
hakikat sebenar pendiriannya. Ini dengan cara menyoal atau berbincang
dengannya sehingga ditegakkan hujjah, tiada lagi syubhat dan juga tiada
lagi keuzuran untuknya.
Perkara ini pernah disebut oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Sesungguhnya perkataan boleh menyebabkan kufur. Secara umumnya
dikafirkan pengucapnya. Dikatakan “Sesiapa yang mengucap begini maka dia
kafir”. Tetapi peribadi berkenaan yang mengucapkannya tidak dihukum
dengan kafir sehingga ditegakkan hujjah yang membukti kuffur sesiapa
yang meninggalkannya (meninggalkan berpegang dengan hujjah yang jelas
tersebut-pen)” (Al-Qaradawi, Zahirah al-Ghulu fi al-Takfir, m.s. 26-27,
Mesir: Maktabah Wahbah (1989).
Keadaan manusia ini berbagai-bagai, ada di kalangan mereka yang
membuat kesalahan kerana terlupa, atau jahil atau terdesak. Kita
hendaklah memahami latarbelakang yang berbagai ini sebelum menghukum.
Sikap ini telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dalam tindakan-tindakan
baginda, antaranya, daripada ‘Ali bin Abi Talib, katanya: “Rasulullah
telah mengutuskan aku, Abu Marthad dan al-Zubair-kami semua adalah
penunggang kuda- baginda bersabda: Pergilah kamu semua sehingga sampai
ke Raudah Khakh, sesungguhnya di sana ada seorang perempuan dari
kalangan Musyrikin, bersamanya surat dari Hatib bin Abi Balta`ah kepada
Musyrikin”. Maka kami pun mendapatinya, dia menaiki unta sepertimana
yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. Kami berkata kepadanya: “Surat!”.
Dia menjawab: “Tidak ada bersama kami sebarang surat”. Maka kami pun
menduduk dan memeriksanya. Namum kami tidak dapati sebarang surat pun.
Kami berkata: “Rasulullah tidak pernah berdusta, sama ada engkau
keluarkan surat tersebut atau kami akan telanjangkan engkau!”. Apabila
dia melihat kesungguhan kami maka dia pun terus mendapatkan simpulan
kainnya. Dia pun mengeluarkan surat tersebut, lalu kami terus membawa
surat itu kepada Rasulullah s.a.w. Kata `Umar: “Wahai Rasulullah!,
sesungguhnya dia (Hatib bin Abi Balta`ah) telah mengkhianati Allah,
RasulNya dan orang-orang Mukminin, biarkan aku pancung kepalanya!”.
Baginda bersabda (kepada Hatib): “Apa yang mendorong tindakanmu?”. Kata
Hatib: “Demi Allah! Bukan aku tidak beriman kepada Allah dan RasulNya
s.a.w. tetapi aku ingin mendapat bantuan di sisi kaum (Quraish) yang
dengannya Allah akan menyelamatkan keluargaku dan hartaku. Tidak ada
seorang pun di kalangan sahabatmu melainkan baginya di sana kaum kerabat
yang mana dengannya Allah selamatkan keluarga dan hartanya”. Sabda
baginda: “Dia benar! Janganlah kamu berkata kepadanya melainkan yang
baik”. `Umar berkata: “Sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah,
RasulNya dan orang-orang mukminin, biarkan aku pancung kepalanya”.
Baginda bersabda: “Tidakkah dia di kalangan anggota Perang Badar?”.
Sabdanya lagi: “Mudah-mudahan Allah melihat kepada ahli Perang Badar dan
berfirman “ buatlah apa yang kamu suka sesungguhnya telah pasti untuk
kamu syurga atau Aku telah ampuni kamu semua”. Maka menangislah ‘Umar
seraya berkata Allah dan RasulNya lebih mengetahui . (Riwayat
al-Bukhari)
Lihat bagaimana baginda meraikan keadaan terdesak yang dihadapi oleh
Hatib. Baginda tidak terus menghukumnya sebelum mengetahui keadaannya.
Demikian juga kita lihat sikap baginda dalam kes-kes yang lain. Maka
kita dalam banyak hal dituntut agar cuba memahami keadaan orang yang
kita dakwah. Kita mesti membezakan antara kaedah dan hukuman. –
Al-Qayyim.
Sumber; Minda Tajdid blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan