Ahad, 17 Mac 2013

OP DAULAT 17 MAC 2013

LAHAD DATU: RAKYAT TETAP TERHUTANG BUDI KEPADA PASUKAN KESELAMATAN - DR M

Lahad Datu, 17 Mac - Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin rakyat tetap terhutang budi kepada pasukan keselamatan meskipun dimanipulasi pembangkang kononnya krisis pencerobohan pengganas di sini adalah satu sandiwara.

Beliau berkata rakyat tidak termakan propaganda pembangkang untuk memperkecil pasukan keselamatan kerana hakikinya, sudah sembilan nyawa terkorban, dan seorang anggota tentera maut dalam kemalangan ketika menyertai konvoi Operasi Daulat.

"Saya yakin rakyat terhutang budi dan yakin dengan semangat pasukan keselamatan kita. Ini sikap rakyat Malaysia apabila menghadapi keadaan ini, dan akan bersatu dalam mempertahan negara.

"Walau ada parti politik cuba pecahkan, tetapi rakyat terus sokong pasukan keselamatan," katanya ketika berucap di Dewan Semai Bakti, Desa Kencana, Felda Sahabat hari ini. Dr Mahathir turut beramah mesra dan bertanya khabar dengan 200 anggota pasukan keselamatan di dewan berkenaan.

Beliau juga berharap semua rakyat, terutama di Sabah, memberi penghargaan tinggi kepada pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus mempertahan kedaulatan negara daripada ancaman luar. Masyarakat Sulu di Sabah juga turut menolak tindakan pengganas itu, walaupun mereka adalah sebangsa, katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata Malaysia harus mempertingkat kekuatan pertahanan negara tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak. Beliau juga yakin pentadbiran di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berusaha mempertingkat pertahanan negara mengikut kesesuaian muka bumi Sabah, dan tidak akan membenarkan serangan pengganas berlaku lagi pada masa depan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang berkorban nyawa mempertahankan negara," katanya. -BERNAMA


KELUARGA JAMALUL KIRAM ANTARA DITAHAN DI BAWAH AKTA KESALAHAN KESELAMATAN

Lahad Datu, 17 Mac -Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata anggota keluarga Jamalul Kiram antara 104 orang yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Mereka yang ditahan berada di sini dipercayai anggota keluarga (Jamalul) Kiram yang menggunakan nama lain...di sini mereka guna nama lain, di Filipina mereka guna nama lain. Ini kita sedang siasat," katanya dalam sidang media bersama Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim di Felda Sahabat 16 di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi membanteras pengganas tidak hanya tertumpu kepada keluarga Jamalul Kiram, yang didakwa dalang insiden pencerobohan di Sabah sejak 12 Feb lepas, kerana polis turut menjejaki kaum keluarga anggota militan lain yang dipercayai terlibat insiden pencerobohan itu.

"Kita juga turut menyiasat orang lain yang mempunyai kaitan dengan pengganas di bawah SOSMA," katanya tanpa memberitahu bila mereka akan didakwa di mahkamah.

Mengenai kematian seorang tahanan di bawah SOSMA di Semporna semalam, beliau berkata individu itu meninggal dunia di hospital akibat sakit dan bukannya membunuh diri seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sehingga kini seramai 104 orang telah ditahan di bawah SOSMA dan 232 lagi ditahan atas pelbagai kesalahan lain. Dalam pada itu, Hamza berkata keadaan di seluruh Sabah adalah terkawal termasuk di Semporna dan Lahad Datu, kecuali di kawasan operasi di gugusan Tanjung Labian, yang kini dalam proses pembersihan. - BERNAMA


LAHAD DATU: SEORANG LAGI PENGGANAS DITEMBAK, JADIKAN 62 MUSUH DITEMBAK MATI SETAKAT INI

Lahad Datu, 17 Mac - Seorang lagi pengganas Sulu dari selatan Filipina ditembak mati oleh pasukan keselamatan dalam Operasi Daulat di Kampung Tanjung Batu di sini hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan musuh yang terbunuh kepada 62 orang.

Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata dua pertempuran berlaku hari ini iaitu pada 9.55 pagi dan 10.15 pagi apabila pasukan keselamatan bertembung sekumpulan musuh di kawasan itu.

"Pada 10.15 pagi kita sekali lagi bertembung dengan musuh dan salah seorang daripada mereka berjaya dibunuh manakala tiga yang lain melarikan diri," katanya dalam sidang media bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib di markas operasi Felda Sahabat 16, pada kira-kira 11 pagi, di sini.

Zulkiple berkata tiga lagi musuh itu dipercayai masih berada di kawasan Tanjung Batu dan pasukan keselamatan sedang giat menjejaki mereka. "Mayat musuh yang dibunuh itu hanya akan dikeluarkan apabila keadaan benar-benar selamat," katanya.

Beliau berkata operasi pembersihan masih giat dijalankan di Kampung Tanduo dan Tanjung Labian, sebelum penduduk dibenarkan untuk kembali ke kampung masing-masing dalam tempoh terdekat.

Pasukan keselamatan juga sedang giat memeriksa dan menggeledah rumah-rumah di kawasan operasi bagi memastikan tiada musuh berlindung di kediaman penduduk, kata Zulkiple.

Dalam pada itu Hamza berkata, musuh kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil di sekitar Kampung Tanjung Batu. Beliau berkata orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan bagi memudahkan usaha menjejaki saki-baki kumpulan militan tersebut dan tidak memasuki kawasan zon merah demi keselamatan. - BERNAMA


Pada jam 9.55 pagi, pasukan keselamatan telah terserempak dengan pihak musuh di Kampung Tanjung Batu dan berlaku pertempuran di mana pasukan keselamatan berjaya menembak mati seorang musuh. Setakat ini pasukan keselamatan masih lagi bertempur dengan pihak musuh dan usaha-usaha menjejaki saki baki musuh masih diteruskan.

Setakat ini, 62 musuh ditembak mati dan 27 daripada mayat musuh telah dibawa keluar dari zon merah manakala kawasan operasi masih lagi ditutup kepada orang ramai dan pegamal media.

Sumber FB PDRM

Tiada ulasan: