Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Selamat Sejahtera.
TIDAK semua ibu akan mengalami saat penyusuan yang indah. Ramai diantara mereka yang menghadapi pelbagai masalah termasuk jangkitan dan sakit pada puting. Bapa perlu faham mengenai masalah yang mungkin dialami ibu. Sokongan anda amat perlu agar beban ibu fizikal dan mental ibu dapat dikurangkan. Antara penyakit yang sering dialami ibu ialah seperti sakit puting, bengkak puting dan demam susu. (kredit to Idakamilia)
Sakit puting
Berlaku pada hari-hari terawal bersalin. Puncanya mungkin mulut bayi
tidak berada pada kedudukan yang betul pada payudara ibu; bayi menarik
dan menggigit puting ketika penyusuan hendak dihentikan; dan pengaliran
keluar susu tersekat-sekat.
Cara mengatasinya
- Pendekkan masa menyusu. Mulakan dengan payudara yang kurang berasa sakit.
- Pastikan mulut bayi berada pada bahagian payudara yang tepat.
- Jika payudara bengkak, perah sedikit susu pada permulaan penyusuan. Cara ini lebih memudahkan bayi menyusu.
- Berhati-hati apabila hendak memisahkan mulut bayi daripada puting selepas penyusuan selesai. Lakukan dengan meletakkan jari kelingking di hujung mulut bayi bagi menghentikan hisapannya.
- Pastikan puting sentiasa berada dalam keadaan kering. Dedahkan kepada cahaya matahari yang masuk melalui tingkap bilik. Tapi, jangan keterlaluan. Anda boleh menggunakan cahaya lampu. Bagaimanapun, cahaya ultra-ungu tidak boleh digunakan kerana ia boleh merosakkan kulit.
Puting merekah
Ibu akan berasa sakit yang keterlaluan jika putingnya merekah.
Yakinkan ibu bahawa kesakitan ini akan reda dan dia akan kembali menyusu
dengan mudah serta menyeronokkan.
Cara mengatasinya
- Rawat puting merekah dengan cara yang sama dengan rawatan puting yang sakit.
- Berhenti menyusu pada payudara yang sakit untuk tempoh sehari. Dalam tempoh ini, ibu perlu memerah susunya.
- Ajar ibu bagaimana hendak menyusu bayi menggunakan sudu atau cawan.
- Mula menyusukan pada payudara yang sakit secara perlahan-lahan. Pada hari pertama, cuba lakukan dalam tempoh yang pendek. Pada hari kedua, cuba menyusu sebanyak dua kali dalam tempoh yang pendek. Begitulah seterusnya sehingga ibu berasa selesa dan tidak sakit lagi.
- Sesetengah pakar kesihatan mencadangkan agar penggunaan ubat sapu tertentu seperti ‘lansinoh’ yang boleh dibeli di farmasi. Dapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan ubat ini.
Payudara bengkak
Keadaan ini terjadi apabila susu putih mula menggantikan kolostrum dalam tempoh dua atau tiga hari selepas bersalin.
Sesetengah ibu mendapati payudara mereka penuh dan bengkak sebaik
sahaja susu putih dihasilkan. Ini terjadi apabila bayi tidak berada
bersama ibu di hospital dan diberi minum susu formula.
Cara mengatasinya
- Kerap menyusukan supaya susu tidak berkumpul dengan banyak dalam satu masa.
- Jangan berikan susu formula kerana akan mengurangkan selera bayi untuk menyusu susu ibu.
- Perah sedikit susu sebelum memulakan penyusuan jika bayi kelihatan untuk melekapkan mulutnya pada payudara. Mungkin disebabkan payudara keras. Gunakan tuala lembap dan suam untuk menekap bahagian yang keras untuk melembutkan payudara. Selepas penyusuan selesai, letakkan tuala lembap yang sejuk pada payudara.
- Tindakan mengepam terlalu banyak susu akan mendorong lebih banyak susu lain yang akan keluar.
- Jika perlu, minta ubat tahan sakit daripada doktor.
- Jangan pakai baju dalam semasa menyusukan bayi.
Payudara berketul
Berpunca daripada saluran-saluran kecil dalam payudara tersumbat.
Mulakan rawatan secepat mungkin jika mendapati ada ketulan yang terasa
dan menyakitkan dalam payudara. Kadang-kala, kelihatan tanda-tanda merah
pada payudara. Ibu perlu menghubungi doktor jika dia terasa seperti
hendak demam atau gagal merawat saluran yang tersumbat dalam tempoh 12
jam.
Cara mengatasinya
- Berikan penyusuan dengan kerap, menggunakan bahagian payudara yang sakit terlebih dahulu.
- Ketika bayi sedang menyusu, urut perlahan-lahan di bahagian yang berketul. Urutan perlu mengarah ke puting.
- Berehat. Dapatkan bantuan orang lain untuk membuat kerja-kerja rumah.
- Rendam tuala dalam air suam dan tuam ke bahagian yang berketul. Elok jika tuam sebelum bayi menyusu kerana lebih mudah menghilangkan masalah itu.
- Bertenang ketika menyusu. Duduk di atas kerusi yang selesa, banyakkan minum air dan bernafas dengan betul (tarik nafas dalam-dalam dan hembus perlahan-lahan).
- Jika susu masih banyak selepas penyusuan, perah susu dengan pam.
- Sesetengah pakar kesihatan mencadangkan agar ibu mengambil vitamin C.
- Cuba tukar kedudukan ketika menyusukan bayi. Carilah cara yang boleh merangsang pengaliran susu.
Mastitis
Jika ketulan yang tersumbat tidak dilegakan, ibu akan terasa seperti
hendak demam atau terkena selsema masalah disebut sebagai demam susu.
Jika terjadi, ibu perlu berjumpa doktor segera.
Cara mengatasinya
- Ibu boleh merawat payudara seperti cara merawat payudara berketul.
- Teruskan menyusu dengan kedua-dua payudara. Bayi tidak akan dijangkiti demam ini. Pastikan payudara anda sentiasa kosong. Cara ini memudahkan ibu sembuh.
- Yakin dan berfikiran positif. Gambarkan bahawa saluran tersumbat itu sedang dibersihkan agar ibu cepat sembuh.
- Minum bancuhan vitamin C dalam tempoh dua jam sekali. Tanya doktor atau ahli farmasi tentang vitamin C ini.
Seriawan
Jangkitan seriawan (thrush) ialah sejenis fungus atau kulat
yang gemar menjangkiti bahagian lembab pada anggota badan seperti mulut,
faraj, dan puting wanita menyusu.
Tanda-tanda biasa ialah tanda-tanda putih di bahagian dalam mulut
bayi, ruam lampin yang berwarna merah, kepedihan pada puting dan aerola.
Anda boleh mengenal pasti jangkitan ini apabila:-
a) Puting ibu terus sakit selepas bayi berusia dua minggu.
b) Ibu mengadu sakit pada keseluruhan payudara, terutama selepas bayi selesai menyusu.
Cara mengatasinya
- Pastikan kawasan puting sentiasa dalam keadaan kering.
- Tukar pelapik baju dalam dengan kerap. Jangan gunakan pelapik yang mempunyai bahan plastik.
- Dedahkan pada cahaya matahari dan udara segar.
- Gunakan tuala bersih.
- Elakkan menggunakan krim puting kerana ia akan memudahkan jangkitan.
- Oleh kerana jangkitan ini sukar untuk diatasi, anda digalakkan meneruskan rawatan selama 3-4 jam selepas ia hilang. Sapukan ‘Daktarin Oral Gel’ pada kawasan yang dijangkiti.
- Basuh puting yang dijangkiti dengan menggunakan air yang telah disteril dengan air garam atau asam. Sesetengah ibu mendapati susu yang diperah baik untuk merawat jangkitan.
Sedikit perkongsian.
Tatitu...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan