Khamis, 29 November 2012

Novel Juang - Keempat 1998

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Selamat Sejahterah.
 
Novel Mereka yang tertewas - Hasanuddin Md. Isa

KETIKA mengenali dunia sastera dan penulisan, kisah ini adalah novel keempat yang pernah RS baca, ianya kisah tentang perjuangan agama di sebuah kampung.   Mari kita lihat apakah cerita tentang "Mereka Yang Tertewas ini."

“Mereka Yang Tertewas” novel hasil karya Hasanuddin Md Isa ini mengetengahkan sebuah cerita yang lebih berlatar belakangkan penerapan Islam dalam hidup sebuah kelompok masyarakat di Kampung Bukit Setugal. Tapa yang dahulunya hidup sebagai orang miskin di Kampung Padi Setempat beralih arah berhijrah ke tempat lain setelah maruah diri dan keluarganya dicemuh dan dicaci apabila ingin memperisterikan Mimah. Tapa mengembara mencari penghidupan yang baru serta mendalami ilmu agama untuk melupakan masa silamnya. 

Tapa berhijrah ke Kampung Bukit Setugal dan memperisterikan Jamilah anak murid tok gurunya serta menebarkan syiar Islam. Kesucian hati Tapa atau dikenali sebagai Lebai Pa disalahertikan oleh penduduk kampung tersebut kerana mereka beranggapan Lebai Pa telah menyebarkan ajaran sesat dan ingin berkuasa di dalam kampung tersebut. Lebai Pa berusaha untuk mengembalikan pegangan agama penduduk Kampung Bukit Setugal yang semakin goyah dengan hiburan dunia sehinggakan kebanyakan anak-anak muda kampung tersebut terjebak dengan perkara maksiat. Beberapa buah pondok didirikan untuk dijadikan tempat menuntut ilmu agama. 

Usaha Lebai Pa tidak sia-sia apabila mendapat sokongan Uda Puat, Mat Yasin dan Pudin. Tomahan demi tomahan dilemparkan kepada Lebai Pa sebagai usaha untuk menggagalkan hasratnya menyebarkan agama tetapi pegangan hidup Lebai Pa yang banyak mencontohi sikap Rasulullah s.a.w. dalam menyebarkan agama menyebabkan Lebai Pa lebih bersemangat dan bersabar. Akhirnya Lebai Pa mampu mengubah pemikiran penduduk kampung untuk menerima Islam dan sedar atas kesalahan yang pernah mereka lakukan ke atas Lebai Pa.

“Mereka Yang Tertewas” merupakan sebuah novel hasil nukilan penulis Hasanuddin Md. Isa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel terbitan pertama tahun 1991 ini mengandungi 196 halaman. Hasanuddin Md. Isa dilahirkan pada Januari 1961 di Raub, Pahang Darul Makmur. Beliau mendapat pendidikan di tempat kelahirannya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau pernah menerima anugerah budaya negeri Pahang (bahagian rencana budaya) di samping terus bergiat menulis novel serta rencana. Antara novel hasilan beliau ialah Sentuhan dan Halangan dan Rintangan.

Selamat berjuang.

Tatitu...

Tiada ulasan: