Ramai daripada kita tahu mengenai pokok buluh, tetapi hanya
sebilangan kecil yang mengetahui pokok tersebut terdiri daripada
pelbagai spesies.
Spesies-spesies buluh boleh dikenal pasti menerusi beberapa ciri yang
ada seperti rebung, warna dan struktur batang, dahan dan seluangnya.
Kita hanya mengenali buluh kerana kegunaannya secara tradisional
seperti membuat lemang dan meriam buluh selain pokok hiasan dan ini
bergantung kepada spesies buluh.
Terdapat dua sebab kenapa buluh diperlukan iaitu untuk batangnya dan kedua, penghasilan rebung.
Ramai juga tidak mengetahui bahawa buluh tergolong di dalam keluarga rumput yang mempunyai kadar pertumbuhan agak pantas.
Bagaimanapun, sumber tanaman buluh di negara ini dilaporkan
menghadapi masalah jika diusahakan secara pengkomersialan kerana sumber
bahan mentah agak terhad.
Kekurangan sumber bahan mentah yang berterusan dan berkualiti menjadi masalah utama dalam pembangunan industri buluh.
Setakat ini, bekalan utama buluh diperoleh daripada hutan dan menjadi
satu masalah untuk membawanya keluar kerana ketiadaan infrastruktur.
Pada masa sama sumber bekalan buluh secara semulajadi itu kian
terjejas ekoran pembukaan tanah untuk kegunaan pertanian dan projek
pembangunan lain.
Pada masa sama, penghasilan sumber bekalan buluh juga berhadapan
dengan masalah pengurusan sumber buluh asli dan ini menjejaskan
pengeluarannya.
Pegawai Penyelidik, Cawangan Pengurusan Hutan Ladang, Bahagian
Bioteknologi Perhutanan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
Abd. Razak Othman berkata, berkata terdapat dua corak pertumbuhan
buluh.
Pertamanya di kawasan iklim sederhana terdiri daripada buluh monopodial di mana buluh tumbuh secara tunggal.
Satu lagi corak pertumbuhan adalah buluh di kawasan tropika yang terdiri daripada simpodial iaitu pertumbuhan berumpun.
Terdapat juga perbezaan corak pertumbuhan di antara kedua-duanya tetapi agak jarang ditemui.
Satu daripada sifat buluh yang agak unik ialah pokok berkenaan akan mati sekiranya telah mula berbunga.
Oleh itu, bagi memastikan adanya jaminan bahan mentah yang berterusan, pengurusan buluh perlu di dirangka.
Abd Razak memberitahu, penyelidikan dan pembangunan mengenai
pengkomersialan buluh di agensi terbabit dimulakan pada awal 1990an.
"Penyelidikan yang kami buat berkaitan teknik pembaik biak, penanaman
dan pengurusan tanaman. Kami mengenal pasti 12 speseis yang popular
boleh dikomersialkan," katanya.
Kaedah pembiakan itu merujuk pembaik baka tanaman buluh khususnya 12
spesies yang boleh dikomersialkan menerusi teknik pembiakan, penjagaan
di nurseri dan mewujudkan ladang buluh.
Kebanyakan buluh tumbuh selepas hutan dibalak dan pertumbuhannya amat pantas. Malah buluh boleh hidup sehingga 100 tahun.
Dengan jangka hayat yang agak lama, industri buluh sepatutnya memberi pulangan lumayan kepada pengusaha yang berminat.
Malangnya, menurut Abdul Razak, kesukaran memperoleh bahan tanaman
dan kawasan penanaman (biji benih buluh) adalah antara punca industri
tersebut di negara ini agak terjejas.
Sesetengah pengusaha buluh seperti di Perlis pula menanam buluh madu
untuk komersial memandangkan pokok berkenaan semakin popular menjana
industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya penghasilan rebung.
Menurut Abdul Razak, hasil kajian FRIM, telah memperoleh kaedah atau protokol untuk menghasilkan benih kultur tisu buluh beting.
Antara kaedah pembiakan tampang yang dikenal pasti yang selalu
digunakan ialah dengan kaedah keratan rizom atau akar, keratan dahan
serta keratan batang selain penggunaan kultur tisu.
"Ini bagi mengatasi masalah memperoleh biji benih buluh," katanya.
Untuk menanam pokok buluh, spesies yang sesuai perlu digunakan di
mana spesies berdinding tebal seperti buluh beting, semantan, dan betung
ditanam bagi menghasilkan produk bermutu tinggi seperti panel dan
pepapan.
Tidak semua buluh boleh dimakan rebungnya. Antara spesies buluh yang
popular rebungnya ialah buluh madu, tumpat, beting, betung dan aur.
Dalam pada itu buluh yang ditanam untuk rebung biasanya melibatkan
semua jenis melainkan buluh semantan, manakala buluh tumpat hanya untuk
pengeluaran rebung semata-mata.
Seperti kebanyakan tanaman lain, penanaman buluh secara umumnya
melibatkan kerja-kerja membersihkan dan penyediaan kawasan tanaman
(termasuk membuat teres).
Waktu penanaman yang sesuai ialah pada musim hujan iaitu April hingga
Ogos di bahagian utara manakala Ogos hingga Oktober di Selatan
Semenanjung.
Kaedah-kaedah penananam juga perlu mengambil kira spesies buluh yang ditanam.
Pengurusan penanaman juga berbeza mengikut keperluan sama ada untuk batang atau rebung.
Bagi pengurusan ladang, meliputi kerja-kerja lain termasuk merumput,
membersihkan kawasan, membaja, mengembur tanah, penjarangan, pengawalan
perosak dan akhirnya memungut hasil.
Berdasarkan pengalaman FRIM, jangka masa penanaman buluh melibatkan tempoh 15 tahun bagi keluasan 500 ekar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan