
Penggunaan tali dan sauh merupakan antara kaedah yang diguna pakai kini.Sabah sememangnya dikenali sebagai salah sebuah negeri yang memiliki hasil laut yang amat baik di Malaysia.
Malah, ia juga merupakan negeri utama yang mengeluarkan rumpai laut di negara ini.
Justeru, bagi meningkatkan produktiviti serta melonjakkan industri
ini di peringkat antarabangsa pengukuhan serta peningkatan teknologi
amat diperlukan.
Menyedari tanpa perkembangan teknologi yang bersesuaian, kemungkinan
besar industri rumpai laut negara yang diterajui oleh negeri Sabah akan
semakin merosot tindakan awal telah dirintis oleh Universiti Malaysia
Sabah (UMS).
Justeru, baru-baru ini, institusi berkenaan telah menandatangani
Perjanjian projek Estet Mini Rumpai Laut antaranya bersama 11 syarikat
peneraju didalam industri tersebut.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA),
Datuk Mohd. Johari Baharom, perjanjian tersebut adalah untuk
perlaksanaan Projek Permulaan Ke Tiga (EPP 3) di bawah Bidang Ekonomi
Utama (NKEA) bagi sektor Agro Makanan.
"Perlaksanaan EPP 3 ini adalah berdasarkan kepada model pembangunan
yang diterajui oleh syarikat swasta dengan sokongan teknologi yang
disediakan oleh UMS.
"Pihak UMS telah menyediakan tenaga pakar dalam merumus model estet
mini rumpai laut dan memulakan usaha-usaha awal untuk perlaksanaan
projek," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Menandatangani
Perjanjian Projek Estet Mini Rumpai Laut Bersama Syarikat Peneraju di
Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Kejayaan pemeteraian perjanjian tersebut juga merupakan hasil usaha
oleh beberapa peringkat Jawatankuasa bersama Kementerian Pertanian dan
Industri Makanan Negeri Sabah dan Jabatan Perikanan Negeri Sabah.
Melalui projek tersebut juga, pihaknya menyasarkan pembangunan hampir
20 buah estet mini meliputi kawasan seluas 3,000 hektar sehingga akhir
tahun ini.
Tambah beliau, pihak kementerian juga telah bersetuju untuk
memperluaskan skop perlaksanaan projek EPP 3 dengan mengambil kira skop
bantuan kepada pengusaha sedia ada.

Rumpai laut akan dikumpulkan dan dikeringkan sebelum dijual kepada peraih mengikuti harga pasaran.
"Ia bagi meningkatkan kecekapan kaedah pengeluaran sekali gus meningkatkan kecekapan kaedah pengeluaran serta kualiti," katanya.
Buat masa kini, lebih daripada 95 peratus pengeluaran dunia bagi
komoditi rumpai laut disumbang oleh negara Kawasan Pembangunan ASEAN
Timur (BIMP-EAGA) yang melibatkan Indonesia, Filipina dan Malaysia
khususnya negeri Sabah.
Di Malaysia, hampir 97 peratus pengeluaran rumpai laut dikeluarkan
dari daerah Semporna, manakala selebihnya dari Lahad, Datu, Kunak,
Banggi dan Tawau.
Pencapaian pengeluaran 100 peratus rumpai laut negara telah
dihasilkan oleh negeri Sabah yang mencatatkan pengeluaran komoditi
rumpai laut kering sebanyak 20.78 ribu tan metrik yang bernilai RM62.35
juta.
Jumlah pengeluaran komoditi tersebut telah meningkat sebanyak hampir
50 peratus pada tahun 2010 berbanding tahun 2009 dan terus menunjukkan
peningkatan dari segi nilai pengeluaran.
Bagi tahun 2011, pengeluaran rumpai laut kering negara terus
meningkat sebanyak 15 peratus kepada 23.94 ribu tan metrik dengan nilai
RM66.2 juta.
Sememangnya pembangunan industri rumpai laut juga tergolong sebagai
industri hiliran yang dinamik serta mampu memberikan sumbangan yang
besar kepada Pendapatan Negara Kasar (KDNK).
Bagi menyokong pembangunan industri rumpai laut agar lebih dinamik,
pendekatan dan konsep perlaksanaan estet mini rumpai laut yang diterajui
syarikat swasta sangat disokong oleh kerajaan negeri.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Husin,
terdapat dua lagi program pembangunan rumapi laut akan diperkenalkan
oleh Jabatan Perikanan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Sabah.
"Dua program tersebut adalah Projek Pengkulturan Skala Komersial dan
juga Program Menaiktaraf infrastruktur para penternak sedia ada melalui
perlaksanaan pembangunan kluster," katanya.
Namun, di sebalik segala usaha yang dilaksanakan kerajaan, adalah
diharapkan agar para pengusaha, pelabur, penyelidik dan individu yang
berminat dapat memanfaat dan merebut peluang tersebut.
Ia bertujuan agar dapat melonjakkan lagi potensi industri rumpai laut negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan