Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Selamat Sejahtera,
GULI
Permainan
guli ialah melontarkan guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya
dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas
tahun. Jumlah pemain tidak melebihi lima orang.
Kawasan
tanah rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain
guli. Biji guli yang digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli
yang diperbuat daripada batu kapur, berwarna putih dan sebesar ibu jari
kaki.
Gelanggang
Satu
bulatan dilukiskan di atas tanah berukuran garispusat 1m. Ditengah-tengah
bulatan tersebut dilekukkan sebuah lubang sebesar 10sm. lebar dan sedalam
7sm. dengan menggunakan tumit kaki yang dihentakkan ketanah. Lubang
tersebut dinamakan lubang induk. Satu garisan lurus dibina dengan
jarak 3m. daripada garisan besar tersebut. Garisan ini adalah sebagai
penanda mula tempat permainan.
Cara
Bermain
Untuk
memulakan permainan setiap pemain hendaklah meleretkan biji guli masuk
ke dalam lubang induk. Guli yang masuk ke dalam lubang induk atau yang
terhampir adalah dikira sebagai pemain yang pertama memulakan permainan
dan diikuti oleh guli-guli kedua hampir dan seterusnya.
Pemain
pertama akan menjentik gulinya kepada semua guli yang berada di dalam
kawasan bulatan agar terkeluar. Sekiranya jentikan tidak mengena ia
dikira mati dan pemain kedua akan membuat jentikan kepada guli-guli
yang ada, begitulah seterusnya sehingga semua pemain selesai membuat
jentikan ke atas guli pemain lainnya.
Pemain
boleh melepaskan gilirannya tetapi dengan syarat, ia mestilah memasukkan
guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu. Pemain akan memastikan
guli miliknya sentiasa berada berhampiran dengan lubang induk setiap
kali jentikan dilakukan. Ini memudahkan mereka mengawal permainan.
Setiap
pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain yang mengambil alih
giliran dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih
dahulu sebelum boleh menjetik guli lawan. Sekiranya guli tidak masuk
ke dalam lubang induk, giliran untuk pemain lain diberikan.
Kiraan
mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan
sehingga semua pemain selesai giliran.
Dua
cara dendaan akan dikenakan terhadap pemain yang memungut jumlah mata
terendah. Pemain yang kalah akan memasukkan guli miliknya kedalam lubang
induk dan semua pemain akan memangkah guli tersebut. Cara kedua adalah
dengan setiap pemain menjentik sekali seorang ke atas guli yang kalah
itu jauh dari kawasan bulatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan