Selasa, 15 Januari 2013

Sistem Monarki Di Malaysia

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Selamat Sejahtera,
 
KETUA NEGARA DAN NEGERI
Jawatan Yang di-Pertuan Agong bukanlah jawatan yang diwarisi turun temurun. Malaysia mengamalkan sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen pada dua peringkat iaitu peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri. Pada peringkat Persekutuan, Ketua Negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sementara ketua kerajaan ialah Perdana Menteri. Pada peringkat negeri pula, ketua negeri dikenali dengan pelbagai nama seperti Sultan, Raja, Yang di-Pertuan Besar atau Yang Dipertua Negeri. Ketua kerajaan Negeri pula ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri. 
MAJLIS RAJA-RAJA

Dalam Perlembagaan Persekutuan urusan pemilihan dan perlantikan Yang di-Pertuan Agong adalah terletak pada Majlis Raja-Raja. Dalam sistem kerajaan Persekutuan yang terdapat ramai Raja, sebuah Majlis yang dinamakan Majlis Raja-Raja telah ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan sebagai tempat bagi Raja-Raja dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri bertemu dan berbincang. Dalam beberapa perkara yang tertentu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan supaya memperolehi nasihat daripada Majlis Raja-Raja.
 
NASIHAT KERAJAAN
Institusi pemerintahan beraja merupakan sumber kekuasaan dan kewibawaan, pemerintah dan kerajaan. Institusi ini merupakan sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia kepada negara. Di negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah sistem kerajaan Raja berperlembagaan, kuasa rakyat terletakhak pada Parlimen yang kemudiannya meletakhakkan kuasa eksekutif kepada Jemaah Menteri. Walau bagaimanapun, setiap tindakan pihak berkuasa dilaksanakan atas nama Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat kerajaan. 
 
KUASA DIRAJA
 
Menurut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan mestilah ada seorang Ketua Negara Persekutuan yang digelar Yang di-Pertuan Agong. Baginda mengatasi semua orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh didakwa dalam mana-mana mahkamah kecuali Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15 (Perkara 182 dan 183). Selepas baginda, Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa Raja Permaisuri Agong hendaklah menduduki tempat kedua iaitu selepas Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai Ketua Negara, baginda mempunyai bidang kuasa yang luas seperti yang dikanunkan dalam Perlembagaan. Baginda juga mempunyai peranan dan fungsi dalam tiga cabang Kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman.

Tiada ulasan: