Rabu, 16 Januari 2013

Tengkolok

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Selamat Sejahtera,
 
APA itu Tengkolok?

Tengkolok, juga dikenali sebagai destar, setanjak/tanjak, bulang hulu dan setangan kepala[1], merupakan sejenis alas kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki. Tengkolok diperbuat daripada kain songket panjang yang dilipat-lipat dan diikat dalam gaya (solek) yang tertentu. Pada zaman sekarang, tengkolok lebih banyak dipakai dalam majlis-majlis yang penuh adat istiadat, misalnya oleh kerabat diraja dan para hadirin dalam majlis istiadat diraja, dan oleh pengantin lelaki ketika majlis perkahwinan.

Nama

Mengikut Kamus Dewan (edisi ke-4), istilah "tengkolok", "destar", dan "setanjak"/"tanjak" adalah bersinonim; selain yang diterangkan di atas, perkataan "tengkolok" juga merujuk kepada "kain penutup kepala atau selubung (daripada sutera dll) yang dipakai oleh wanita"[1], pengertian tengkolok sebagai alas kepala wanita jarang digunakan hari ini.
Akan tetapi, sesetengah pihak mengatakan bahawa tengkolok, destar, dan tanjak adalah berbeza dari segi jenis kain dan/atau ikatan walaupun sama kegunaannya, yang mana tengkolok merupakan alas kepala buatan kain bermutu yang lilitannya berlapis (tebal) dan meruncing ke atas; "destar" pula lilitannya rendah dan nipis berbanding tengkolok; "tanjak" pula lilitannya seperti tengkolok, tetapi kainnya lebih ringkas dan nipis.[2]
"Solek Balung Raja", destar Sultan Selangor yang dipakai sewaktu majlis pertabalan atau hari keputeraan baginda.

Sejarah

Adalah diterima bahawa tengkolok dicipta seawal-awalnya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sebelum zaman itu, sudah menjadi kewajipan rakyat jelata untuk menutup kepala atau mengikat rambut panjang supaya kelihatan kemas apabila apabila menghadap raja. Masyarakat Melayu Melaka mendapat ikhtiar untuk menggunakan kain panjang berbentuk segi empat untuk dilipat-lipat dan diikat menjadi sejenis alas kepala yang kemas untuk dipakai dalam urusan rasmi. Ikatan kain ini lama-kelamaan makin lama makin cantik mengikut peredaran zaman, diolah dan diubahsuai mengikut taraf pemakainya.[3]

Solek

Tengkolok boleh dibuat dalam pelbagai jenis bentuk dengan jenis dan corak kain yang berbeza, mengikut taraf sosial pemakainya.[4] Nama am bagi bentuk tengkolok yang berbeza-beza itu ialah "solek". Setiap solek tengkolok yang berbeza ini turut diberikan nama khas, misalnya: tengkolok yang dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong dalam majlis istiadat pertabalan sejak negara zaman kemerdekaan, dikenali sebagai "Solek Dendam Tak Sudah".
Setiap Raja Melayu masing-masing memakai solek tengkolok yang khusus. Misalnya, Sultan Selangor memakai "Solek Balung Raja" berwarna serba kuning emas ketika menghadiri majlis pertabalan atau hari keputeraan baginda.

Rujukan

  1. 1.0 1.1 Carian tengkolok di Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 3 Mac 2011.
  2. Stanjak, Tanjak, Destar, Tengkolok, Gemala Kasturi (blog), 11 Julai 2010. Diambil pada 3 Mac 2011.
  3. Warisan Budaya Malaysia: Pakaian dan Perhiasan Masyarakat Melayu – Perhiasan Kepala, Perpustakaan Negara Malaysia. Diambil pada 3 Mac 2011.
  4. Tanjak Warisan Melayu, Resam Melayu. Diambil pada 3 Mac 2011.

Tiada ulasan: