Khamis, 14 Februari 2013

Al Aqsa

 

Bismillahi Rahmanir Rahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Selamat Sejahtera.

BATU TERAPUNG, MASJID AL AQSA DAN ISRAK MIKRAJ

Written by Akademi Tarbiyah DPPM Category: Isu Ummah Published on 08 June 2012 Hits: 12873
Print
Pada 27 Rejab 1433 H, umat Islam akan menyambut Israk dan Mikraj. Apakah Israk dan Mikraj? Hari itu bersejarah kepada umat Islam kerana Nabi Muhammad SAW naik ke langit menaiki buraq dan menerima amanah dari Allah Taala iaitu solat lima waktu. Di sepanjang perjalanan tersebut terdapat banyak peristiwa yang menunjukkan bukti kebesaran Allah, antaranya batu tempat duduk Nabi Muhammad S.AW sewaktu Israk Mikraj yang sehingga kini masih tetap terapung di udara.
Pada saat Nabi Muhammad S.A.W menaiki buraq untuk ke langit, batu itu terangkat dan ingin mengekori Rasulullah, tetapi Baginda menghentakkan kakinya pada batu itu supaya berhenti mengikuti Baginda. Batu tergantung ajaib itu berada dalam "Kubah al Sakhrah" atau "Dome of The Rock" atau juga dipanggil juga "Masjid Kubah Batu" atau "Masjid Kubah Emas" yang tidak jauh dari kedudukan Masjidil Al Aqsa di Jerusalem. Jika diperincikan dari segi istilah, maksud ‘Dome of The Rock’ adalah kamar untuk batu itu. Batu yang dimaksudkan adalah Batu Terapung. Orang Yahudi turut membina masjid seumpama binaan masjid al Sakhra yang tidak jauh di sebelahnya dan mendakwanya sebagai al Aqsa, untuk mengaburi pandangan umat Islam di mana posisi Masjid al Aqsa yang sebenarnya.

Baitulmaqdis adalah sebuah kota yang terletak di dalam wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga suci bagi umat Islam selepas Makkah dan Madinah. Bagi masyarakat antarabangsa, kota ini lebih dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud "tempat yang aman untuk didiami".

Catatan sejarah menunjukkan kota ini telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun sekali gus merupakan antara kota tertua di dunia dan masih dihuni sehingga sekarang. Kota ini tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu Islam, Yahudi dan Kristian bahkan setiap agama mempunyai kawasan masing-masing di sekitar kota lama yang mengelilingi sebuah tanah tinggi yang terkepung dengan tembok yang tinggi lagi kukuh. Masyarakat dunia menamakan kawasan tanah tinggi ini sebagai ‘Mount Temple’ disebabkan sejarahnya yang  kononnya pernah menempatkan kuil Yahudi kuno yang dipanggil sebagai Haikal Sulaiman sebelum ia dimusnahkan, dibina semula dan sekali lagi dimusnahkan selepas kota ini dijajah oleh kerajaan yang berbeza.

Mengikut catatan sejarah, umat Islam pada era awal Islam menggelarkan kawasan di mana terletaknya ‘Mount Temple’ sebagai Madinah Baitulmaqdis yang membawa erti ‘City of the Temple’ yang mengambil kira akan kewujudan Haikal Nabi Sulaiman A.S yang menjadi tempat ibadat pertama kaum Yahudi sebelum dimusnahkan oleh orang Babylon pada 586 sebelum Masihi. Selepas kemusnahan pertama itu, Haikal ini dibina semula kira-kira selepas 70 tahun kemusnahan pertamanya apabila orang Babylon berjaya diusir, namun ia diruntuhkan kembali pada tahun 70 Masihi oleh Empayar Roman. Manakala kawasan kota yang wujud di sekeliling ‘Mount Temple’ ini dipanggil Iliya, berasal daripada nama ‘Aelia Capitolina’ yang diberikan semasa penjajahan orang Roman.


Kawasan ‘Mount Temple’ pada asalnya tidak tinggi dengan keadaan yang tidak rata tetapi pada tahun 19 sebelum Masihi, pemerintah ketika itu iaitu Herold the Great telah membina tembok tinggi mengelilingi kawasan ini lalu meratakan permukaannya di dalam kawasan tembok sepertimana keadaan sekarang.

Selepas pengislaman Kota Baitulmaqdis yang bermula ketika zaman khalifah Umar al Khattab, nama ‘Mount Temple’ telah ditukarkan kepada Haram al Sharif yang menggambarkan kedudukan kawasan suci yang mendapat tempat yang mulia dalam Islam sementara kota di sekitarnya dinamakan Baitulmaqdis.

Pada Zaman Khalifah Sulaiman iaitu khalifah era Turki Uthmaniyyah, beliau telah membina semula dinding seakan-akan sebuah tembok di sekeliling kota Baitulmaqdis. Sekarang Baitulmaqdis yang asal dirujuk sebagai kota lama Baitulmaqdis iaitu kawasan yang dikepong tembok tadi. Di kota inilah terletaknya Masjid al Aqsa yang disebut dalam kitab suci al Quran dan al Hadis yang mana beribadat di dalamnya mendapat seribu ganda pahala berbanding tempat lain.
Masjid al Aqsa dalam bahasa Arab bermaksud ‘masjid yang jauh’, merujuk pada jaraknya yang berjauhan daripada bumi Makkah. Baitulmaqdis menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Makkah, iaitu kira-kira selama 16 bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam iaitu pembinaan Masjid al Aqsa dan peristiwa Isra’ Mikraj berlaku atas tapak Haram al Sharif. Masjid al Aqsa betul-betul bersebelahan dengan Dome of The Rock, betapa jauhnya perbezaan antara Dome of The Rock jika dibandingkan dengan Masjidil al Aqsa. Masjid al Aqsa inilah peninggalan Nabi Muhammad S.A.W yang perlu dipertahankan oleh semua umat Islam. Inilah kiblat kita yang pertama, mana mungkin ianya boleh dirobohkan begitu sahaja.


Di sebalik kesucian Masjid al Aqsa, Masjid Kubah Emas atau "Dome of The Rock" turut mendapat namanya berikutan dipercayai didirikan di atas tapak batu terapung yang terjadi ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ironinya batu ini turut dianggap suci oleh penganut Yahudi disebabkan kepercayaan mereka bahawa ia merupakan pusat bagi ‘Mount Temple’ dan dianggap sebagai asas untuk pembinaan kuil mereka satu masa nanti. Tetapi menurut catatan sejarah, Khalifah Umar al Khattab R.A yang bertanggungjawab menjadikan Baitulmaqdis sebagai salah sebuah wilayah Islam, di mana setibanya beliau di kota ini Umar lalu bertanya mengenai batu yang menjadi tempatnya Baginda Rasul dinaikkan ke langit, lalu ditunjukkan oleh penduduk kota pada sebuah batu terbiar di atas tanah tinggi yang di kepong oleh tembok. Lebih malang apabila kaum Yahudi mengotorkan kawasan itu dengan najis dan sampah sarap sebagai tanda penghinaan kepada lokasi peristiwa Isra’ Mikraj itu. Khalifah Umar membersihkan kawasan itu bersama-sama dengan tentera-tentera Islam yang lain dan membina Masjid al Aqsa buat kali pertama di bumi Baitulmaqdis itu.

Masyarakat Yahudi menganggap Haikal ketiga dan sepatutnya menjadi yang terakhir seharusnya dibangunkan atas lokasi yang sama iaitu Haram al Sharif. Perebutan tapak suci inilah yang menjadi teras konflik antara Islam dan Yahudi selanjutnya menjadikan kawasan suci ini sebagai tempat krisis yang masih belum selesai sehingga hari ini.

Salah satu tembok yang mengelilingi Haram al Sharif, iaitu tembok di bahagian barat ataupun ‘Western Wall’ menjadi tempat suci bagi penganut Yahudi. Tembok yang dibina lebih 2,000 tahun yang lampau ini merupakan satu-satunya bahagian Haikal kedua mereka yang masih wujud. Mereka menganggap Tuhan mereka berada di sebalik tembok itu dan pandangan mereka terhalang disebabkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Oleh kerana itu lokasi ini menjadi tempat mereka beribadat dan meratap atas dosa-dosa yang mereka lakukan dan amalan ini berlangsung sehingga sekarang, susulan dengan itu kadang-kadang tembok ini dirujuk sebagai ‘Wailing Wall’ ataupun tembok ratapan.

Mengikut agama Kristian, Baitulmaqdis mendapat kedudukan yang mulia dan dianggap sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa A.S yang dilahirkan di Baitullaham iaitu sebuah bandar berhampiran dengan Baitulmaqdis terus dibawa ke Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan. Semasa remajanya, penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa A.S pernah berkhidmat untuk mencuci Haikal kedua yang ketika itu masih tertegak utuh di Baitulmaqdis. Selain itu, peristiwa penyaliban dipercayai berlaku dalam kawasan Baitulmaqdis tetapi lokasi yang tepat masih lagi menjadi pertikaian sarjana-sarjana beragama Kristian. Pendapat yang diterima ramai adalah peristiwa itu berlaku pada tapak di mana tertegaknya sebuah gereja yang dianggap paling suci oleh penganut Kristian iaitu Gereja ‘Holy Sepulchre’, salah sebuah gereja dalam kawasan kota lama. Di sini dianggap sebagai lokasi orang yang mereka percayai sebagai Nabi Isa A.S dimakamkan.

Kota Baitulmaqdis sehingga kini masih menerima pengunjung Kristian dari seluruh dunia terutamanya menjelang musim Easter. Perang Salib yang berlaku pada 1099 Masihi juga menunjukkan keazaman penganut Kristian untuk menawan tanah suci ini daripada penguasaan orang Islam. Mereka berjaya menduduki kota ini selama kira-kira 200 tahun sehingga kota ini dibebaskan oleh panglima Islam yang unggul iaitu Salahuddin al Ayubbi pada tahun 1187 Masihi. Diriwayatkan bahawa ketika tentera salib dihalau sepenuhnya dari kota, Salahuddin al Ayubbi sendiri yang membersihkan Masjid al Aqsa yang dijadikan kandang kuda oleh tentera salib, manakala "Dome of The Rock" yang dijadikan sebagai gereja dikembalikan fungsinya sebagai sebuah masjid.

Penguasaan orang Islam berterusan sehinggalah ke akhir zaman Khalifah Uthmaniyyah yang menyaksikan Baitulmaqdis dikuasai oleh British sehinggalah mandat penguasaan itu tamat. Kewujudan negara Israel pada tahun 1948 menyaksikan peperangan antara Arab dan Yahudi berlaku untuk menguasai wilayah Palestin yang ketika itu dibahagikan secara berat sebelah oleh badan dunia PBB. Penduduk Arab yang mewakili dua pertiga diperuntukkan hanya sepertiga kawasan sementara sepertiga Yahudi mendapat selebihnya tanah Palestin. Ketika itu PBB mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai wilayah antarabangsa tetapi pertempuran tentera Israel dan Arab menyebabkan bahagian barat kota jatuh ke tangan Yahudi dan diisytiharkan sebagai ibu kota negara Israel tetapi tidak diiktiraf oleh dunia. Bahagian timur Baitulmaqdis dikuasai oleh negara Jordan, termasuklah kawasan kota lama Baitulmaqdis ini. Sehingga waktu ini, Haram al Sharif merangkumi keluasan hampir seperlima daripada keluasan kota lama Baitulmaqdis dan masih dikuasai oleh orang Islam.

Kota lama Baitulmaqdis terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama adalah bahagian orang Islam iaitu bahagian yang terbesar, Kompleks Haram al Sharif adalah sebahagian daripada kawasan orang Islam. Bahagian kedua adalah bahagian Yahudi dan selebihnya merupakan bahagian Kristian dan bahagian Kristian Armenia, iaitu bahagian yang paling kecil antara semua. Walaupun Orang Armenia juga merupakan penganut Kristian, tetapi mereka mendapat kawasan mereka sendiri di dalam kota dan bilangan mereka kecil jika dibandingkan dengan kumpulan lain. Ketika Jordan menguasai kota lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan beribadat di sekitar ‘Western Wall’ ataupun tembok ratapan itu dan kebanyakan tempat ibadat Yahudi ditutup dan sebahagian orang Yahudi di kota lama turut menempatkan penduduk Arab yang menjadi pelarian akibat wilayah mereka dirampas oleh Israel.

Tetapi perang pada 1967 mengubah landskap kota ini sampai sekarang. Penglibatan Jordan dalam perang negara-negara Arab dengan Israel menyebabkan bahagian timur kota ini jatuh ke tangan Yahudi, lebih teruk apabila wilayah Palestin yang selebihnya turut jatuh bersama sehinggalah ke Tebing Barat Sungai Jordan. Mesir kehilangan Semenanjung Sinai dan Genting Gaza sementara Syria terlepas Tanah Tinggi Golan.

Bermulanya kejatuhan Baitulmaqdis ini menyaksikan banyak pencabulan dilakukan oleh bangsa Yahudi ke atas Palestin. Antaranya menjadikan kawasan ‘Western Wall’ sebagai tapak ibadat mereka selain pembinaan penempatan haram Yahudi yang mengelilingi kejiranan Arab dalam usaha memastikan kota ini didominasi secara penuh oleh Yahudi. Penempatan masyarakat Yahudi turut dibina dalam bahagian orang Islam. Rumah-rumah penduduk Palestin dirampas dan digantikan dengan perumahan Yahudi. Lebih teruk lagi apabila kerajaan Israel meluluskan akta yang menggabungkan timur dan barat Baitulmaqdis sebagai satu kota dan menjadi ibu kota Israel yang rasmi menggantikan Tel Aviv yang sebelum ini menempatkan kedutaan-kedutaan asing. Pejabat Presiden dan Perdana Menteri, kediaman Presiden dan Perdana Menteri, bangunan Parlimen, Mahkamah Agung dan kementerian-kementerian Israel semuanya dipindahkan ke Baitulmaqdis secara beransur-ansur.


Masjid al Aqsa beberapa kali telah dicabuli termasuklah dibakar oleh fanatik Yahudi sehingga membawa kemusnahan mimbarnya. Paling diingati adalah peristiwa yang berlaku pada tahun 2000, lawatan penuh provokasi Perdana Menteri Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon ke kompleks Haram al Sharif. Sebagai rekod, Ariel Sharon terlantar koma akibat serangan strok semasa masih bertugas sebagai Perdana Menteri pada tahun 2006 dan sehingga kini masih tidak sedarkan diri.

Perlu diingatkan bahawa walaupun Israel menguasai kota ini secara total namun pengawalan kompleks Haram al Sharif diberikan kepada badan Islam sebagai kawasan wakaf dan Raja Jordan dianggap sebagai penjaga Masjid Al-Aqsa. Bendera negara Israel tidak dibenarkan dikibarkan di sekitar Haram al Sharif. Penganut agama lain dilarang memasuki kompleks suci ini dan askar-askar serta polis Israel berkawal di pintu masuk dan pengunjung mesti membuktikan mereka adalah Islam sebelum memasuki kompleks untuk beribadat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan terjadinya pertikaian seterusnya membawa kepada pertumpahan darah memandangkan lokasi ini amat sensitif bagi semua penganut agama samawi.

Namun sampai bilakah langkah ini berterusan menjadi tanda tanya memandangkan sikap kerajaan Zionis Israel yang suka melakukan provokasi ke atas penduduk Palestin dan Yahudi ingin menguasai Baitulmaqdis bukan lagi sesuatu agenda yang rahsia. Hari ini, Kota Baitulmaqdis masih berada di bawah kekuasaan bangsa Yahudi yang menyimpan impian untuk meruntuhkan Masjid al Aqsa yang mahu digantikan dengan Haikal ketiga yang dipercayai menjadi Haikal terakhir mereka, malahan mereka bertungkus lumus melakukan aktiviti cari gali di sekitar kompleks Haram al Sharif untuk menguatkan dakwaan pemilikan mereka ke atas kawasan suci itu sebelum terbinanya masjid-masjid di atasnya.

Mengikut berita yang tersebar luas, mereka melakukan penggalian di bawah tapak masjid sehingga meletakkan Masjid al Aqsa dan Masjid Kubah Batu di dalam risiko keruntuhan akibat aktiviti yang kononnya berlandaskan kerja-kerja arkeologi itu. Kaum Yahudi kelihatan begitu teruja untuk merealisasikan pembinaan Haikal Sulaiman mereka, bagi mereka pembinaan itu adalah sesuatu yang menjadi tuntutan agama dan perlu dilaksanakan. Yang menjadi persoalan hanyalah bila Haikal Sulaiman akan dibangunkan?

Masjid al Aqsa adalah kiblat pertama bagi Umat Islam sebelum dipindahkan ke Kaabah dengan perintah Allah Taala. Kini ia berada di dalam kawasan jajahan Yahudi yang berusaha untuk meruntuhkannya bagi mendirikan kuil. Pihak Yahudi telah mengambil kesempatan untuk mengelirukan umat Islam dengan mengedarkan gambar ‘Dome of The Rock’ sebagai Masjid al Aqsa. Tujuan mereka hanyalah untuk meruntuhkan Masjid al Aqsa yang sebenarnya. Kini Umat Islam sendiri sudah terkeliru dan sukar untuk membezakan Masjid al Aqsa yang sebenamya. Maka semakin mudahlah tugas mereka untuk melaksanakan perancangan tersebut.

Written by Akademi Tarbiyah DPPM Category: Isu Ummah Published on 08 June 2012 Hits: 12873

Tiada ulasan: