Rabu, 13 Februari 2013

Pasal Duit je..

Sejak zaman Firaun lagi manusia pentingkan WANG dan duit. Kerana WANG dan HARTA, si QARUN telah ditelan bumi. Daripada zaman Firaun kepada zaman GOOGLE, WANG menjadi topik utama manusia. Iklan-iklan dalam akhbar online pun biasanya dimulakan dengan frasa BUAT DUIT, JANA WANG, dan yang sama waktu dengannya. Itu belum lagi perkataan JUTAWAN yang kerap dipopularkan oleh para penggilanya.
Islam tidak pernah anti-kekayaan. Para sahabat Nabi sendiri berapa ramai yang bergelar JUTAWAN. Tapi mereka tidak pernah hebahkan kepada masyarakat tentang gelaran JUTAWAN mereka. Yang masyarakat tahu ialah, mereka ini mendermakan berjuta-juta dinar dan dirham kepada perjuangan Islam. Di dalam al-Quran tidak pernah ada galakan secara langsung supaya umat Islam menjadi kaya dan jutawan, kerana Islam tahu, manusia, secara semulajadinya dicipta dengan sifat gilakan harta. Manusia, secara fitrahnya akan berusaha mencari harta. Sebab itu Islam tekankan agar umatnya belanjakan harta ke arah kebaikan.

WANG bagi sesetengah orang perkara besar. Sebab itu Rasulullah s.a.w berpesan, kefakiran itu lebih mendekatkan manusia ke arah kekufuran. Tapi ia bukan kepada semua orang. Namun kebanyakan orang, WANG lebih mendekatkan mereka kepada kekufuran kepada Allah. Situasi hari ini jelas menunjukkan umat Islam sudah hilang arah tuju. Umat Islam terlalu asyik menfokuskan isu cari wang, sehingga mengurangkan penekanan mereka dalam usaha mencari PAHALA dan menjauhkan DOSA.

Kerjaya dijadikan sebagai alat untuk cari rezeki, dan cari pahala seolah-olah sudah menjadi sampingan. Cari WANG dan jana kekayaan telah menjadi bahan penarik dalam mana-mana iklan. Apa yang pelik, iklan kopi pun turut menawarkan insentif jana wang. Padahal mereka nak jual kopi, nak ambil duit kita, bukan nak berikan wang kepada kita. Iklan kursus motivasi pun gunakan wang sebagai penarik. JANA WANG MELALUI PENULISAN, JANA WANG MELALUI HOBI. Itu belum kira bersepah skim piramid atau pemasaran piramid yang hari-hari pujuk manusia JANA WANG.

Untuk yang ada jiwa agama, WANG di'islam'kan sedikit. WANG dikatakan sebagai alat untuk menderma dan beramal kebajikan. Oleh sebab itu, sama-samalah kita jana WANG untuk kita beramal kebajikan. Hakikatnya, ia cuma ayat penyebab untuk meng'ISLAM'kan fokus JANG WANG. Ia tidak lari daripada fokus utama iaitu DUIT.

Selama mana fokus perlu kepada wang? Kemajuan YAHUDI ekonomi bukan kerana kegilaan mereka kepada WANG, kegilaan mereka kepada kerja dan cita-cita mereka untuk menakluk dunia. Atas sebab itu Islam tidak pernah anjurkan umatnya CARI DUIT, tetapi fokuskan masyarakat kepada PAHALA dan BELANJAkan duit secara terbaik. Islam fokuskan masyarakat kepada isu yang lebih besar. Isu kebajikan sosial, isu kekuatan masyarakat, isu kerja dengan ikhlas dan passionate kerana mencari reda Allah. Reda Allah bukan semudah diungkapkan melalui status Facebook, tapi memerlukan usaha yang sangat-sangat gigih dan mengharap.

WANG dan JUTAWAN itu akan lahir sendiri kepada orang yang cintakan pahala dan gigih dengan usaha mereka. Islam mahu wujudkan masyarakat yang pakar dalam semua yang mereka ceburi. Orang yang benar-benar PAKAR tidak heboh berbicara tentang WANG, walaupun mereka banyak WANG. Anda boleh lihat para JUTAWAN Malaysia, Datuk Tony Fernandez, Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, hatta Tan Sri Lim Goh Tong, mereka ini tidak pernah impikan gelaran JUTAWAN tapi impian mereka adalah untuk berusaha dengan gigih majukan diri. Mereka ini (walaupun bukan beragama Islam) sentiasa mencirikan diri mereka dengan sikap al-Ihsan dan al-Muhsinin, iaitu mereka yang tidak pernah puas hati dengan setiap pencapaian mereka dan sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik.

Sama-sama kita fokuskan kepada usaha untuk meninggikan Islam, walau terpaksa korbankan WANG, walau dalam banyak hal, tidak mendatangkan WANG, kerana hakikat rezeki adalah daripada Allah dan Allah yang memberi jalan kepada hamba-hambaNya yang sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik, iaitu al-Muhsini. 

sumber:iDeologi.my

Tiada ulasan: