Menjawab Salam Bukan Muslim
Apabila saya menyebut bahawa hendaklah kita menjawab salam ‘bukan
muslim’ yang tidak memerangi Islam, ada kelompok ekstrimis yang
membantah mati-matian. Alasan mereka senang sahaja; ‘kami tidak pernah
dengar pun ada tok guru pondok kami ajar demikian’. Mereka ini jadikan
seakan ilmu Islam keseluruhannya terkumpul di pondok-pondok yang pernah
mereka belajar. Sesetengahnya ustaz pula telah mengharamkan diri dari
membaca atau mentelaah apa yang tidak pernah disebut oleh mazhab
nusantara atau generasi lama di tempatnya. Sumbangan pengajian pondok di
rantau ini tidak boleh dinafikan. Namun sentimen tanpa hujah bukan ilmu
yang diiktiraf dalam Islam.
Islam adalah agama yang sejahtera. Penampilan dan inti kandungannya
adalah berteras kekukuhan nilai dan keindahan hakiki. Islam itu akan
indah jika kita benar-benar jadikan teras kefahaman kita terhadapnya
bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Pendapat golongan ‘ustaz’ bukan
kesemuanya tepat dengan kedua sumber agung tersebut. Bukan semua yang
dianugerahkan darjah kenamaan ‘ustaz’ menguasai tajuk yang dia mengajar
atau memperkatakannya. Jika semua seiras dengan ajaran al-Quran dan
al-Sunnah tentu tiada perselisihan pokok antara sesama ‘ustaz’.
Jika tidak, masakan ada ustaz-ustaz yang berlainan kumpulan politik
dan sesat menyesatkan antara satu sama lain. Kesimpulannya, pandangan
golongan agama boleh diterima dan ditolak. Hanya yang tidak boleh
ditolak ialah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Sesiapa yang mengemukakan
hujah berteraskan kedua sumber agung itu dan menuruti kaedah kefahaman
nas yang diakui oleh disiplin kesarjanaan, maka pendapat diiktirafnya.
Jika tidak, ‘ustaz’ atau ‘tok guru’ atau ‘mufti’ bukan rasul yang
diutuskan sehingga setiap kalimah dari mulut mereka dinilai dengan
neraca kewahyuan.
Berbalik kepada isu salam, apakah kenyataan saya mengenai boleh
menjawab salam kepada bukan muslim ini sesuatu yang baru direka, atau
sesetengah golongan agamawan lebih cenderung kepada sentimen tempatan
dan tidak terdedah kepada perbincangan ilmiah. Di sini saya petik apa
yang disebut oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam
karyanya yang terkenal Zad al-Ma’ad: “Telah berbeza pendapat para ulama
salaf dan khalaf mengenai hukum memberi salam kepada Yahudi dan
Kristian. Kata kebanyakan ulama tersebut: “tidak dimulakan ucapan salam
kepada mereka”. Ulama yang lain berpendapat: “harus memulakan ucapan
salam kepada mereka, seperti mana harus menjawabnya. Pendapat ini
(kedua) diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Abu Umamah dan Ibn Muhairiz.
Ia juga salah satu pendapat dalam Mazhab al-Syafi’i. Namun empunya
pendapat ini dalam Mazhab al-Syafi’i menyatakan: Disebut Al-Salam
‘Alaika tanpa menyebut wa rahmat ALLAH, dan secara ifrad (untuk seorang
sahaja). Segolongan ulama berpendapat: “Harus memulakan salam kepada
Yahudi dan Kristian disebabkan kemaslahatan yang lebih utama yang
diperlukan, atau bimbang tindakannya, atau hubungan kekeluargaan, atau
apa-apa yang memerlukannya. Diriwayatkan pendapat ini dari Ibrahim
al-Nakha’i dan ‘Alqamah. Kata al-Auza’i: “Jika engkau memberi salam
kepada mereka (Yahudi dan Kristian), telah pun memberi salam kepada
mereka golongan soleh. Jika engkau tidak memberi salam kepada mereka,
telah pun tidak memberi salam kepada mereka golongan soleh yang lain”.
Sambung al-Imam Ibn Qayyim lagi: “Para ulama berbeza pendapat tentang
menjawab salam mereka. Mijoriti ulama berpendapat wajib menjawab.
Inilah pendapat yang benar. Kata segolongan ulama tidak wajib
menjawab..”
Kata al-Imam Ibn Qayyim lagi: “Telah sabit dalam hadith, Nabi s.a.w
lalu dalam satu majlis yang bercampur antara muslim, musyrikin penyembah
berhala dan Yahudi, lalu baginda memberi salam untuk mereka
semua”.(rujukan: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad, 2/425-426,
Beirut: Muassasah al-Risalah 1990).
Al-Imam al-Bukhari dalam kitabnya Al-Adab al-Mufrad di bawah tajuk
Bab Kaif al-Radd ‘ala Ahl al-Zimmah (Bab Bagaimana Menjawab Salam Kafir
Zimmi) meriwayatkan kata-kata Ibn ‘Abbas: “Jawablah salam sama ada
Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ini kerana ALLAH berfirman (maksudnya dari
Surah al-Nisa ayat 86) Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan
sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih
baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).
Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (riwayat ini
bertaraf ‘hasan’).
Dalam riwayat yang lain dalam al-Adab al-Mufrad juga di bawah bab Iza
Kataba al-Zimmi Pasallama, Yuradd ‘Alaihi (Bab Apabila Kafir Zimmi
Menulis Surat Dengan Memberi Salam, Maka Dijawab Salamnya). Dalam bab
ini dimuatkan kisah yang sahih di mana Abu Musa al-Asy’ari menulis surat
kepada seorang paderi lalu memberi salam dalam surat itu. Maka dia
ditanya: Adakah engkau memberi salam kepadanya, sedangkan dia kafir?.
Jawab Abu Musa: “Dia telah menulis surat kepadaku dengan memberi salam,
maka akupun menjawabnya”.
Riwayat-riwayat yang seperti ini sepatutnya dibaca oleh para ustaz
atau sesiapa yang ingin membicarakan tajuk ini sebelum menghukum sesuatu
pandangan sebagai menyeleweng. Malangnya di negara ini, sesetengah
golongan agama tidak menjadikan fakta sebagai teras perbincangan,
sebaliknya sentimen guru tradisionalnya yang jadikan ukuran kebenaran.
Adapun hadith-hadith yang menyuruh dijawab ‘wa ‘alaika’ (ke atas
kamu) terhadap salam Yahudi ialah disebabkan orang Yahudi pada zaman
Nabi s.a.w apabila memberi salam menyebut as-samu ‘alaikum yang
bermaksud: maut atau kemusnahan ke atas kamu. Mereka cuma mengelirukan
pendengaran orang Islam. Justeru itulah Nabi s.a.w menyuruh dijawab
dengan ungkapan ‘wa alaikum’ sahaja. Perkara ini jelas disebut dalam
hadith baginda: “Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu,
sebenarnya dia menyebut: as-samu ‘alaika (maut atau kemusnahan). Maka
kamu jawablah wa ‘alaika (ke atas kamu). (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim).
Maka dengan ini jelas hadith ini mempunyai Sabab al-Wurud (sebab
terbentuknya sesuatu hadith) yang tersendiri. Iaitu ia merujuk kepada
suatu kejadian atau keadaan yang mana orang Yahudi memberikan ucapan
salam secara mainan dan sendaan dengan diubah lafaz yang kedengarannya
hampir sama, tetapi maksudnya amat berbeza. Dalam ertikata lain hadith
ini bukan untuk semua keadaan.
Maka jika keadaan berbeza, di mana jika ada bukan muslim memberikan
salam dengan cara yang betul serta tujuan yang betul pula iaitu untuk
mengucapkan kesejahteraan kepada kita, maka hadith di atas tiada kaitan
lagi. Apakah wajar untuk kita sebagai penganut agama yang membawa
kesejahteraan dan rahmah, menolak ucapan baik orang lain dengan cara
yang tidak sepatutnya?!!. Sudah pasti tidak wajar demikian. Apatah lagi
dalam situasi Islam yang cuba dipandang serong oleh musuh-musuh yang
mengelilingi umat. Tidak menjawab salam yang betul yang diberikan oleh
bukan muslim yang tidak memerangi Islam sekurang-kurangnya telah
tersasar dari mematuhi dua ayat al-Quran berikut:
Pertama: Surah al-Nisa: ayat 86: (maksudnya) “Dan apabila kamu
diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah
penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia
(dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung
tiap-tiap sesuatu”.
Kedua: Surah al-Mumtahanah ayat 8-9, (maksudnya) “Allah tidak
melarang kamu daripada berbuat baik dan memeberikan sumbangan harta
kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan
tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.9. Sesungguhnya Allah hanyalah
melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi
kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman
kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah),
sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim”.
Justeru itu tokoh ulama hadith yang terkenal pada zaman ini,
al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. menyebut: “Ayat ini (Surah
al-Mumtahanah ayat8) dengan jelas memerintahkan agar melakukan kebaikan
dan keadilan kepada orang kafir warga negara Islam yang berdamai dan
tidak menyakiti kaum mukminin. Tanpa syak lagi, jika seseorang di
kalangan mereka memberi salam dengan menyebut secara jelas as-salam
‘alaikum , lalu kita menjawabnya sekadar wa ‘alaika, adalah sesuatu yang
tidak adil dan meninggalkan sikap baik. Ini kerana kita telah
mensamakan antara dia dengan orang yang mengucapkan as-samu ‘alaikum
(maut atau kemusnahan ke atas kamu). Ini adalah kezaliman yang nyata”.
(Nasir al-Din Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 2/322, Riyadh:
Maktabah al-Ma’arif :1995).
Di kalangan para ulama yang melarang menjawab salam pun, berpendapat
jika keadaan memerlukan maka diboleh untuk menjawab. Mereka contohkan
seperti bimbang disakiti atau berlaku perkara yang tidak baik. Saya
katakan keadaan umat hari ini menuntut kita menjawabnya dari segi nas,
juga realiti kehidupan. Islam sudah dihodohkan rupa parasnya yang indah
oleh penganut dan penentang. Enggan membalas ucapan baik dengan ucapan
yang baik juga hanya akan menambahkan contengan di wajah Islam yang
kudus. Maka menjawab salam bukan Islam di zaman ini adalah suatu
kewajiban dari segi nas dan tanggungjawab dakwah.
Sumber: Minda Tajdid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan