Bersama Membangunkan Ekonomi Umat Islam
Apabila saya menyebut keperluan umat Islam tolong-menolong antara
satu sama lain dalam soal ekonomi, ada yang menyatakan hal ini tidak
patut disebutkan, nanti akan difahami oleh sesetengah pihak sebagai
‘perkauman’. Pandangan itu diberikan kepada saya kerana saya ingin
menggalakkan masyarakat muslim membantu sedaya mungkin membeli
produk-produk yang dikeluarkan oleh saudara-saudara muslim kita. Saya
katakan; saya tidak menyuruh memulaukan barangan ‘orang lain’. Saya cuma
mengajak agar diberikan keutamaan disebabkan beberapa faktor.
Antaranya; keadaan ekonomi umat Islam yang agak ketinggalan terutama di
sudut sebagai kuasa pengeluar. Sedangkan kita mempunyai kuasa membeli
yang agak tinggi. Juga seperti yang kita maklumi, pembabitan umat Islam
di tanahair kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak
kukuh.
Para peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan.
Agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh
muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Ini berlaku disebabkan
faktor-faktor tertentu yang memerlukan satu kajian luhur mengenai hal
tersebut. Di samping itu, kedai yang dimiliki oleh umat Islam juga
jumlahnya terhad. Demikian juga barangan produk muslim lebih terhad.
Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim
membeli barangan produk umat Islam. Sama ada disebabkan oleh faktor
kualiti, atau perasaan yang lain, saya kurang pasti. Keadaan ini tentu
akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di
gerai, kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka.
Demikian juga keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak
membantu membeli produk muslim.
Di peringkat antarabangsa pula, negara-negara umat Islam masih lagi
bergantung kepada dunia Barat. Inilah salah satu faktor yang menjadikan
dunia Islam dayus terhadap Barat. Padahal banyak bahan mentah dimiliki
oleh umat Islam terutamanya minyak tetapi masih gagal untuk menjadikan
dunia Islam blok yang digeruni. Kita masih lagi gagal untuk mengujudkan
kesatuan dagang yang kukuh dalam dunia Islam. Maulana Abu Hasan ‘Ali
al-Nadwi r.h. pernah mengkritik Dunia Arab dalam tulisannya dengan
menyatakan: “Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas
(memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan.
Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya
dan ditenun dengan tangannya…sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat
memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi meraka
memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena
yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat,
melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang
digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat.
Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil
manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah
memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka
akhirnya sampai ke tubuh orang lain”. (Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Maza
khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, Kaherah: Maktab
al-Sunnah)
Ini realiti yang berlaku. Maka jangan kita tanya, mengapa ramai ‘pak
arab’ yang tabik tidak henti-henti dengan Barat. Ekonomi kebanyakan
dunia Islam dijajah. Maruah kita menjadi rendah. Kita hakikatnya hamba
penjajahan ekonomi. Sekalipun sesetengahnya kelihatan mewah, namun
negara umat Islam ramai yang masih meminta sedekah.
Keadaan ini benar-benar mendesak, bahkan kita dalam keadaan darurat
yang menuntut agar setiap kita berfikir membantu menaikkan kekuatan
ekonomi umat Islam. Dunia hari ini sudah berubah dibandingkan dahulu.
Bukan hanya kekuatan persenjataan yang menentukan penguasaan sesuatu
bangsa atau negara itu terhadap percaturan dunia. Bahkan ekonomi juga
memainkan peranan penting dalam menentukan perubahan peta. Firman ALLAH
dalam Surah al-Anfal: 60: (maksudnya): Dan sediakanlah untuk menentang
mereka (musuh-musuh Islam) dengan apa yang kamu mampu dari segala jenis
kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan, untuk
menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu, serta musuh-musuh yang lain
dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya.
Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan
balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.
Ayat ini adalah perintah Allah untuk muslimin menyediakan kekuatan
menghadapi musuh-musuh umat. Kekuatan yang mesti disiapkan itu ialah
dari jenis apa sahaja yang mampu menggerunkan musuh. Kuda adalah salah
satu daripadanya yang dapat dilihat oleh manusia di zaman penurunan
al-Quran dan juga selepas itu. Pada zaman sekarang dari segi
persenjataan, senjata-senjata canggih yang wujud pula menduduki tempat
tugasan menggerunkan musuh. Maka umat Islam mesti berusaha menyiap dan
memilikinya. Di samping itu kekuatan ekonomi juga adalah senjata baru
dalam membina kekuasaan di era moden. Kekuatan ekonomi mampu membawa
kepada hasrat yang sama iaitu menggerunkan musuh. Maka membina kekuatan
ekonomi di zaman ini adalah satu tuntutan agama.
Malangnya kita cuai dan alpa. Kita ketinggalan dan dihina. Kata Dr.
Yusuf al-Qaradawi: “Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di
bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang
paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang
bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita,
tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari bahan
galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita…jadilah kita
dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan
pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak
memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita
perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta–kereta mewah
antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun”.
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, Beirut: Muassasah
al-Risalah)
Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat individu
dan negara dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan
produk keluaran muslim yang berkualiti adalah suatu kewajipan agar kita
bebas dan tidak bergantung kepada orang lain. Demikian juga membeli
produk muslim, atau di kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh orang Islam
adalah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan.
Bagi peringkat antarabangsa berdagang sesama negara umat Islam adalah
kewajipan kerajaan-kerajaan umat Islam yang ada.
Kita mesti insaf, bahawa akidah Islam yang diajar oleh al-Quran dan
al-Sunnah mengujudkan rangkaian ikatan persaudaraan Islam (ukhuwwah
islamiyyah) yang kukuh sesama kita. Di atas akidah yang teguh ini
jugalah telah menjadikan umat ini dahulunya bergerak seiring secara
bermatlamat mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya.
Pergerakan itu berlaku atas perasaan tanggungjawab yang besar terhadap
agama ALLAH demi membebaskan manusia dari kezaliman segala sistem yang
wujud kepada keadilan Islam yang luhur. Segala kepentingan diri
diletakkan di belakang demi kepentingan kegemilangan Islam. Ini rahsia
kejayaan umat yang lalu.
Apabila akidah muslimin lemah, maka lemahlah seluruh kekuatan yang
lain, termasuk dalam bidang ekonomi. Kata Muhammad Qutb: (Berpunca)
daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang
menimpa Dunia Islam..kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi,peperangan,
pemikiran dan kebudayaan. (Muhammad Qutb, Waqi’una al-Mu‘asir, m.s. 172,
Saudi: Muassasah al-Madinah)
Sepatutnya daripada akidah lahirnya rasa ukhuwwah (persaudaraan)
sesama muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada
akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh
strategi yang diatur demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah
ikatan persaudaraan atau ukhuwwah Islamiyyah yang menjadi penggerak
kepada pembangunan ekonomi. Sedang ini adalah sesuatu yang dituntut:
Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya: Sabda Nabi S.A.W.:
“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam
peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka
himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka
membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka
daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadith ini, Nabi S.A.W. memuji sikap tolong menolong, bantu
membantu serta perasaan mengambil berat sesama antara satu sama lain.
Baginda S.A.W. memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy`ariyin
yang jamin mnejamin kebajikan sesama mereka. Maksud “ Sesungguhnya
mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya
Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati
ketaatan kepada Allah.Tolong menolong sesama sendiri atau puak, atau
bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan taqwa tidak dianggap
sebagai perkauman yang sempit. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika
menghuraikan hadith di atas: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi
`asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu
menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda
menganggap kaum al-`As`ariyin sebahagian daripada baginda. Ini
disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu membantu
dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat
dan keperluan.( Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, Mabadi` wa Qawa‘id
‘Ammat, m.s. 134, Beirut, Dar al-Fikr.)
Kalaulah tolong menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh
Rasululuh S.A.W. demi kebajikan terutamanya ketika waktu susah dan
terdesak, tentulah tolong-menolong sesama muslim dalam keadaan Islam
dimusuh dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong menolong, bantu
membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara makruf atau
kebaikan adalah merupakan tuntutan al-ukhuwwah al-Islamiyyah
(persaudaraan Islam). Seseorang muslim sentiasa berusaha membantu
saudara muslimnya yang lain. Sabda Nabi S.A.W.: “Bandingan seorang
mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan,
kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Tolong menolong membangunkan ekonomi adalah salah satu cara terbesar
pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab bantu membantu dalam
menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta
mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam sekaligus akan
menjadi kuat. Namun sekira ekonomi umat lemah, sistem zakat tidak
berjalan dengan jaya, kita menjadi peminta sedekah dari orang lain dan
Islam akan dipandang hina. Dr Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin
ketika menghuraikan hadith di atas, menyebut: Bandingan yang dibuat
dalam hadith ini bertujuan menggalakkan bantu membantu dan tolong
menolong sesama mukmin. Ini adalah perkara yang mesti dilakukan, kerana
pembinaan umat tidak akan sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat
membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat
bersendiri dalam urusan dunia dan agamanya, dia semesti memerlukan
pertolongan dan bantuan saudaranya yang mukmin. Jika tidak, dia akan
gagal menunaikan tanggungjawabnya dan akan cacatlah peraturan dunia dan
akhiratnya serta akan termasuk dalam golongan yang binasa.( Mustafa
al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin, 1/ 199, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi umat, sehingga kita
mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang
lemah. Pandangan masyarakat dunia terhadap kita akan menjadi hambar.
Apakah mampu selepas itu kita ingin mencanangkan Islam agama yang
membina kekuatan sesuatu umat dan ketamadunannya?
Malanglah bagi kita ini jika sekadar tidak habis-habis bising tentang
barangan makanan yang bercampur unsur haram, namun kita masih gagal
menghasilkannya sendiri. Malanglah pengajian di masjid dan surau jika
gagal meningkatkan kesedaran ekonomi umat di kala hal itu patut diberi
kesedaran. Bahkan dalam soal ekonomi, jika tidak wajar mementingkan
persoalan latar politik dan sempadan negeri. Ukhuwwah Islamiyyah lebih
penting. Sebab itu saya kurang gembira jika ada kejayaan seseorang
pelajar, tidak ditonjolkan oleh media kerana latar negerinya. Padahal,
sama seperti ekonomi, pendidikan sepatutnya melampaui batasan negeri dan
kefahaman politik.
Sekiranya kesedaran ukhuwwah islamiyyah mengenai tanggungjawab bantu
membantu membangunkan ekonomi umat ini berjaya diterapkan, maka peluang
ke arah menjayakannya di peringkat pelaksanaan adalah terbentang luas.
Ini saya katakan berdasarkan faktor-foktor berikut:
Kuasa Membeli Yang Tinggi: Jumlah umat Islam yang banyak membawa
kepada secara kelompok mereka memiliki kuasa membeli yang tinggi. Ini
kerana jumlah umat yang banyak menjadikan keperluan barangan dan makanan
mereka juga tinggi. Jika kuasa membeli ini dimanfaatkan, tentulah
berlakunya kitaran ekonomi yang kuat di kalangan masyarakat Islam
tempatan dan antarabangsa
Isu Halal Haram: Isu-isu mengenai makanan tidak halal telah
menimbulkan keresahan kebanyakan umat Islam. Ini disebabkan umat Islam
gagal berdikari dalam menghasilkan makanan mereka. Jika kesempatan ini
diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan, maka
kita menggesa mereka berdikari dan mampu menjadi pengeluar, bukan
sekadar pengguna.
Ketengangan Yang Wujud : Ketegangan yang wujud sekarang antara Blok
Barat dan umat Islam boleh membantu ke arah mengujudkan umat yang lebih
memiliki jatidiri dan berdikari. Jika pelancong-peloncong Arab ramai
yang enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga mesti
menggunakan dan menghasilkan barangan negara-negara Islam.
Jika ukhuwwah Islamiyyah itu benar-benar dapat digilapkan sehingga ke
peringkat penghayatan dalam bidang ekonomi, umat Islam mempunyai
potensi menjadi umat yang berdikari dan mempunyai jatidiri dalam
ekonomi. Ekonomi adalah senjata baru yang mempunyai pengaruh yang besar
dalam mencaturkan kejatuhan dan kebangkitan sesuatu bangsa. Perjuangan
menegakkan ekonomi yang bersifat membina kekuatan umat adalah
tanggungjawab setiap muslim di zaman ini.
Sumber; Minda Tajdid.blogspot
Tiada ulasan:
Catat Ulasan