DALAM kegiatan berbahasa, lumrah didapati pengguna bahasa Melayu cenderung meninggalkan penjodoh bilangan.
Ada dalam kalangan mereka berpendapat bahawa tidak menggunakan
penjodoh bilangan sebelum sesuatu kata nama tidak akan menjejaskan
maksud sesuatu ayat. Tanpanya, pembaca tetap dapat memahami maksud ayat.
Dalam media massa, sama ada media cetak atau media elekronik dapat kita temukan ayat-ayat contoh seperti yang berikut:
1. Lima pendatang tanpa izin ditangkap oleh polis.
2. Beberapa jalan di kawasan itu ditenggelami air.
Kedua-dua ayat 1 dan 2 akan menjadi persis apabila penjodoh bilangan
orang dan batang dibubuh di hadapan kata nama pendatang (ayat 1) dan
jalan (ayat 2).
Ketiadaan penjodoh bilangan juga menerbitkan maksud yang pelbagai.
Kepelbagaian maksud itu menyebabkan maksud ayat tidak khusus.
Dalam ayat contoh 1 misalnya, bilangan 'enam' itu boleh jadi membawa
maksud jumlah individu atau jumlah kumpulan, atau jumlah gerombolan.
Hal ini menunjukkan betapa pentingnya penjodoh bilangan untuk menyampaikan maklumat yang tepat.
Di samping itu, penjodoh bilangan berfungsi untuk mengindahkan gaya
bahasa selain melembutkan serta menimbulkan lenggang-lenggok bahasa yang
menarik. Tanpa penjodoh bilangan, kelembutan dan keindahan bahasa tidak
berapa ketara.
Apakah penjodoh bilangan? Penjodoh bilangan ialah perkataan yang
terletak di antara kata bilangan dan kata nama sesuatu frasa nama.
Pendeta Za'ba menamakan penjodoh bilangan sebagai "pemadan bilangan".
Dalam tulisan kali ini, saya akan berbicara tentang penjodoh bilangan untuk kata nama hidup.
Dalam bahasa Melayu, kata nama hidup dapat dibahagikan kepada dua,
iaitu manusia dan bukan manusia. Penjodoh bilangan untuk manusia berbeza
daripada penjodoh bilangan bukan manusia.
Penjodoh bilangan untuk manusia bergantung pada jumlah bilangan
nombor atau bilangan kuantiti. Penjodoh bilangan untuk manusia yang
menunjukkan jumlah bilangan ialah orang.
Bagi bilangan yang menunjukkan kuantiti pula, penjodoh bilangannya ialah kumpulan, pasukan dan gerombolan.
Beberapa ayat contoh yang menggunakan penjodoh bilangan tersebut ialah:
3. Seorang pelancong asing sedang makan di restoran itu.
4. Enam orang kanak-kanak tadika bermain di padang permainan.
5. Beberapa kumpulan sukarelawan telah berangkat sebentar tadi.
6. Dua pasukan kriket di daerah kami bertemu dalam perlawanan akhir.
7. Segerombolan pengganas telah ditawan oleh askar kerajaan di tepi rawa.
Penjodoh bilangan gerombolan digunakan untuk kumpulan orang jahat,
seperti samseng, pengganas, penjenayah, penjarah, penyamun dan
seumpamanya.
Organ di dalam tubuh manusia seperti usus, jantung, paru-paru,
pankerias, hempedu, limpa dan lain-lain tidak menggunakan penjodoh
bilangan, kecuali organ hati yang diberi penjodoh bilangan keping,
seperti sekeping hati.
Penjodoh bilangan untuk benda bernyawa bukan manusia dapat dibahagikan kepada dua, iaitu binatang dan makhluk lain.
Seperti halnya dengan penjodoh bilangan untuk manusia, penjodoh
bilangan untuk binatang juga bergantung pada jumlah bilangan atau jumlah
kuantiti.
Bagi menunjukkan jumlah bilangan (nombor), penjodoh bilangannya ialah
ekor. Penjodoh bilangan yang menunjukkan kuantiti pula ialah kawan.
Contoh dalam ayat:
8. Saya membeli dua ekor itik bemban.
9. Beberapa ekor kerbau balar berkubang di sawah.
10. Pemburu itu terserempak dengan sekawan gajah.
Penjodoh bilangan ekor digunakan untuk semua binatang, sama ada
bersaiz besar atau kecil, tidak kira binatang itu mempunyai ekor atau
tidak. Semut, ketam dan siput binatang yang tidak mempunyai ekor, tetapi
tetap menggunakan penjodoh bilangan ekor.
Binatang yang menerima penjodoh bilangan ialah binatang yang dapat
dikira dan dilihat. Binatang yang bersaiz mikro, yakni yang bersaiz
halus seperti bakteria, ameba, virus, kuman, dan protozoa tidak
menggunakan penjodoh bilangan.
Kita tidak menyebut seekor bakteria, lima ekor virus atau beberapa ekor kuman.
Jenis benda bernyawa bukan manusia yang kedua, iaitu makhluk asing,
ialah seperti malaikat, syaitan, iblis, bidadari dan bunian.
Masyarakat Melayu menggolongkan makhluk jenis ini kepada dua, iaitu golongan yang baik dan golongan yang jahat.
Makhluk yang baik dikatakan berperangai seperti manusia. Makhluk
tersebut ialah bidadari dan bunian, dan penjodoh bilangannya ialah
orang.
11. Tujuh orang bidadari telah turun dari kayangan ke taman tuan puteri.
12. Orang kampung mengatakan Tok Ketua telah berkahwin dengan seorang bunian.
Demikian huraian berkenaan dengan penjodoh bilangan untuk kata nama
benda hidup. Dalam siaran akan datang, dibincangkan pula penjodoh
bilangan bagi benda tidak bernyawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan