Rabu, 13 Mac 2013

OP DAULAT 12 MAC 2013

SEORANG TENTERA GUGUR, TIGA PENGGANAS TERBUNUH DALAM PERTEMPURAN DI SG NYAMUK.

Lahad Datu, 12 Mac - Seorang anggota pasukan tentera terkorban dan tiga penceroboh militan terbunuh dalam pertempuran di Sungai Nyamuk, dekat Tanjung Batu di sini hari ini.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan itu berlaku pada 10.45 pagi. "Seorang anggota keselamatan gugur," katanya.

Zulkifeli berkata pasukan keselamatan diserang hendap oleh kumpulan pengganas itu pada 7.45 pagi dan selepas itu mereka melarikan diri sebelum dijejaki pasukan keselamatan dan berlaku pertempuran.

Sehingga kini sembilan anggota keselamatan terkorban dalam insiden pencerobohan itu manakala 57 penceroboh militan ditembak mati.

Zulkifeli berkata Kampung Tanduo kini telah bersih sepenuhnya daripada ancaman penceroboh militan dan operasi pasukan keselamatan kini diperluas ke Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu. - BERNAMA


JENAZAH DUA ANGGOTA TENTERA GUGUR DI LAHAD DATU TIBA DI PANGKALAN TUDM SUBANG.

Petaling Jaya, 13 Mac - Jenazah dua anggota tentera yang terkorban dalam Operasi Daulat menentang pengganas Sulu di Lahad Datu semalam, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini hari ini.

Pesawat C-130 milik TUDM yang membawa jenazah Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Ahmad Farhan Roslan, 21, mendarat sejurus sebelum 8 pagi.

Ahmad Hurairah terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu manakala Ahmad Farhan terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lahad Datu-Chenderawasih ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan dalam operasi itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara yang menyambut ketibaan kedua-dua jenazah.

Najib dan Ahmad Zahid memasuki pesawat dan memberi penghormatan terakhir kepada kedua-dua wira negara itu.

Allahyarham Ahmad Hurairah merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia pertama yang terkorban sejak insiden pencerobohan pengganas di Sabah bermula 12 Feb.

Anak kelahiran Kelantan itu terkorban dalam pertempuran yang berlaku pada 10.45 pagi semalam yang turut menyaksikan seorang lagi perajurit cedera dan dua musuh terbunuh.

Sehingga kini, 10 anggota keselamatan gugur dalam insiden pencerobohan bersenjata itu manakala 56 musuh ditembak mati.- BERNAMA

Sumber FB PDRM 

Tiada ulasan: