Sabtu, 16 Mac 2013

OP DAULAT 16 MAC 2013

TIADA KOMPROMI DALAM KESELAMATAN BIARPUN PRU DIADAKAN

Lahad Datu, 16 Mac - Pasukan keselamatan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara biarpun Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Kenyataan beliau ini sekali gus menafikan kononnya Operasi Daulat akan ditamatkan dalam masa terdekat, khusus untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum.

"Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan. Kami tidak meletakkan tempoh masa untuk operasi itu, sebab kalau kita letak 'garis masa' seolah-olah kita tahu kedudukan musuh berada di mana. Kita akan cuba selesaikan dengan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat, Mejar Jen. Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Hamza berkata pihaknya menjangkakan hanya terdapat 50 orang lagi musuh, namun tidak dapat memastikan jumlah sebenar kerana penilaian dibuat berdasarkan jumlah musuh ditembak mati, ditahan dan yang lari ke selatan Filipina.

Mengenai membenarkan penduduk lima buah kampung kembali ke rumah masing-masing, beliau berkata pasukan keselamatan akan melakukan pembersihan daripada jerangkap samar dan pelbagai lagi ancaman sebelum mengadakan perbincangan dengan ketua masyarakat untuk membolehkan mereka pulang.

"Kita akan letak anggota keselamatan untuk pastikan tiada musuh dapat kembali semula ke kampung berkenaan," katanya.

Dalam tempoh 72 jam sehingga 5 petang ini, tiada pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan dan pengganas yang menceroboh dan berkubu di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanduo, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu sejak 12 Feb lalu.

Hamza berkata Operasi Daulat yang memasuki hari ke-12 merekodkan 61 pengganas ditembak mati, 27 mayat pengganas dibawa keluar dari zon merah untuk dilakukan bedah siasat dan seramai 232 orang ditahan kerana berada di zon merah.

Sementara 104 orang ditahan untuk siasatan kerana disyaki terlibat dengan pengganas mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan dibaca bersama Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan, kata Hamza. - BERNAMA

KERTAS SIASATAN 27 SUSPEK PENGGANAS SEDANG DILENGKAPKAN

Semporna, 16 Mac - Kertas siasatan terhadap 27 suspek yang disyaki pengganas dan tali barut dalam insiden serang hendap di Kampung Simunul 2 Mac lepas, kini di peringkat akhir untuk disiapkan.

Kesemua mereka yang berumur antara 18 dan 73 tahun ditahan sejak kejadian di perkampungan air itu yang mengorbankan enam anggota polis dan enam musuh turut ditembak mati.

"Kami sedang melengkapkan kertas siasatan ke atas mereka," kata Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan 69 suspek pengganas dan tali barut ditahan di Semporna kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden serangan di Kampung Simunul.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata polis menemui beberapa dokumen penting dipercayai milik pengganas dalam pemeriksaan di Kampung Simunul, semalam.

"Ia (dokumen) mungkin dapat membantu kami mengesan saki-baki pengganas yang masih berada di daerah Semporna," katanya. - BERNAMA


Sumber FB PDRM

Tiada ulasan: