Sabtu, 16 Mac 2013

OP DAULAT 16 MAC 2013 II

SEORANG PENGGANAS DITAHAN DI FELDA SAHABAT HARI INI

Lahad Datu, 16 Mac - Pihak keselamatan negara berjaya menahan seorang individu dipercayai pengganas dari Sulu di kawasan Felda Sahabat di sini hari ini.

Tanpa menyatakan lokasi militan itu ditahan, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pengganas tersebut ditangkap pukul 6.30 pagi tadi mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Ketika ditahan tiada senjata ditemui pada pengganas yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri itu sebelum dibawa ke balai polis untuk soal siasat," katanya pada sidang media bersama Panglima I Divisyen Infantri Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Moktar, di sini hari ini.

Hamza berkata sehingga kini jumlah individu yang ditahan mengikut SOSMA ialah 104 orang, lain-lain akta sebanyak 232 orang dan jumlah pengganas yang ditembak mati 61 orang. Menurutnya operasi penggeledahan, menjejaki musuh dan pembersihan kini ditumpukan di kawasan Kampung Tanjung Batu dan dijangka selesai selewat- lewatnya esok.

Penduduk kampung dan media juga diingatkan supaya tidak memasuki kampung itu kerana dipercayai musuh kini bergerak dalam kumpulan kecil dengan jumlah keseluruhan pengganas yang tinggal dianggar kurang daripada 50 orang.

"Dalam konteks ini kerjasama masyarakat dan orang ramai diperlukan terutama menyalurkan maklumat supaya saki-baki pengganas dapat ditangkap atau dihapuskan," katanya.

Hamza berkata pasukan keselamatan juga sedang berusaha mengeluarkan 10 mayat pengganas yang masih berada di Kampung Tanduo.

Beliau turut menjelaskan hanya 15 pengganas ditembak mati pihak keselamatan dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac lepas, bukan 27 seperti yang dilapor akhbar hari ini.

"Pada 1 Mac, seramai 12 musuh mati ditembak dan setelah selesai proses pembersihan kita menemui tiga lagi mayat semalam dan ia membawa kepada 15 musuh yang disahkan terbunuh pada hari pertama itu," katanya. - BERNAMA

RAKYAT DIINGAT ADA MUSUH LUAR CUBA GUGAT KEAMANAN NEGARA

Muar, 16 Mac - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin hari ini mengingatkan rakyat bahawa keamanan dan keadaan selamat yang dikecapi negara kini bukan jaminan ia akan berterusan, kerana musuh dari luar akan cuba merosakkan negara.

Katanya pihak terbabit cemburu dan tidak senang dengan kemakmuran yang sedang dikecapi kini, lebih-lebih lagi Malaysia dikategorikan negara paling selamat oleh Indek Keamanan Global (GPI).

"Malaysia antara negara yang paling selamat dan ini diiktiraf oleh GPI yang membuat penilaian tentang soal itu, malah kita berada di antara 20 negara paling selamat mengatasi Singapura.

"Hal di Lahad Datu memaksa kita hantar polis dan lima batalion tentera untuk menjaga keamanan di sana," katanya ketika berucap di majlis 'Bersatu Benteras Jenayah' Peringkat Daerah Muar di Dewan Bola Keranjang Bakri di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Datuk Ayub Yaacob dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata penghantaran pasukan keselamatan yang ramai ke Lahad Datu ialah untuk memastikan kestabilan keamanan di negara ini sentiasa dipelihara dan tidak menjejaskan kemasukan pelabur.

"Kita tak nak orang kata Malaysia tidak aman sehingga menjejaskan pelabur yang datang di negara ini. Kita nak pastikan negara aman dan tiada masalah," katanya. Majlis anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCPF itu dihadiri lebih 1,000 penduduk dari kawasan Bakri.

Beliau turut menyeru supaya rakyat di Lahad Datu memberi sokongan kepada pasukan keselamatan dengan membantu menyalurkan maklumat. "Ketua kampung mesti kerjasama bagi maklumat, jangan kerjasama dengan musuh dengan beri mereka guna masjid atau rumah kita," katanya. - BERNAMA


PIHAK BERKUASA KUMPUL BUKTI UNTUK EKSTRADISI AZZIMUDIE

Lahad Datu, 16 Mac - Pihak keselamatan negara akan mengumpulkan bukti yang cukup sebelum mencari kaedah mengekstradisi ketua pengganas dari Sulu Azzimudie Kiram atau Agbimuddin dari Filipina dan dibicarakan di negara ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata seperti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam, Azzimudie yang mengetuai pencerobohan bersenjata di Lahad Datu dipercayai sudah berada di Filipina.

"Pada hemat saya, kalau dia berada di sana pun kita tidak menghadapi masalah sebab kita sudah menjalankan siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ke atas mereka yang ditahan.

"Jadi, kita akan kumpulkan bukti, seterusnya menggunakan saluran perundangan untuk kita ekstradisi Azzimudie bagi menghadapi pertuduhan di negara kita," katanya pada sidang akhbar di Felda Sahabat, dekat sini hari ini. - BERNAMA


Sumber : FB PDRM 

10,849

Tiada ulasan: