Bab 1
24 Julai 2000, Isnin, 6.00 pagi
Bilik 104, Aspuri A, UMS
Getaran jiwa melanda hatiku,
tersusun nada irama dan lagu,
andai dipisah lagu dan irama,
lemah tiada berjiwa hampa.
HUJAN yang turun renyai-renyai membasahi bumi, membasmi
bumi TUHAN daripada noda-noda dan kelumpuhan diri manusia dalam menjalani hidup
seharian. Setiap kejadian disingkap hikmah dan rahsianya, seperti hujan yang
merupakan rahmat dan rezeki yang diturunkan oleh TUHAN kerana hujan membantu
ekosistem bumi. Dunia tanpa hujan umpama hidup tanpa haluan, keliru dan
terasing di bumi sendiri. Ah! Falsafah kehidupan memang sukar untuk difahami.
Suasana redup dan dingin. Pagi yang sejuk membuat aku
masih berselimut dan diulit mimpi. Rasa malas hendak ke kuliah menyerang
kembali. Kalau tak kerana ada ujian pagi ini, sanggup aku ponteng kuliah. Tapi
markah ujian ini masuk mata kredit akhir semester nanti. Ujian... bengangnya
otak aku ni. Banyak sangat formula yang perlu dihafal. Subjek Statistik ini
satu-satunya subjek yang membuat aku sangkut selalu. Subjek ngeri untuk aku.
Hmm... mengantuknya. Inilah akibatnya belajar saat-saat
akhir, tidur cuma beberapa jam. Bayangkan aku terlelap kira-kira pukul 3.30
pagi dan kena bangun awal untuk sembahyang subuh. Mana tak mengantuk?
Ada satu hal yang buat aku lewat tidur semalam. Sejak ada
telefon bimbit pemberian Irsyad, dia asyik mengganggu sepanjang masa. Sekiranya
orang tak kenal aku, tentu mereka ingat aku ‘couple’ dengan dia. Hakikatnya,
semalaman aku terpaksa menjawab soalan-soalannya yang tak masuk akal mengenai
seorang minah cute ni.
Aku ni pun satu juga, yang sibuk hal dia orang tu buat
apa? Asyik sibuk nak selesaikan hal orang, sedangkan hasrat di hati lagi rumit.
Kenapalah budak bernama Irsyad ni suka sangat menyusahkan satu-satunya
girlfriend dia kat dalam kampus ni? Aku tahulah dia tu pemalu, tapi
bawa-bawalah bersabar.
Aku tersenyum mengenangkan sikap Meeda sepanjang aku
mengenalinya sejak menjejakkan kaki di kampus ini. Ditakdirkan kami satu dorm
pula! Hmm... macam-macam kerenah. Orangnya sombong sedikit. Tahulah dia cantik.
Tapi bila dah lama mengenali Meeda, dia seorang yang baik
sebenarnya. Walau macam mana pun aku buat silap, dia hanya akan berkata, “It’s
okay... siapa yang tak pernah buat silap?” Kata-kata yang selalu dia ulang
sehingga aku sering menyambung bila dia dah memulakan mukadimahnya.
Kulitnya putih melepak macam kulit orang Cina yang putih
gebu. Matanya bersinar bundar macam mata pelakon Zarina Zainuddin. Bibirnya
kemerahan kecil mongel dan keningnya bagai diukir hitam dan terletak bentuknya.
Cantik Meeda ni. Memang dia cantik! Bukan setakat rupa, tapi juga dari segi
peribadi.
Aku memang kalah dari segi saiz tubuh dan ketinggian. Rupa
aku pun boleh tahan, tapi perangai aku agaknya yang ala-ala tomboy buat Irsyad
tak pandang aku. Kalau ia pun, cintailah aku setulus jiwa, baru kau tahu siapa
aku sebenarnya yang cuba sedaya upaya untuk berselindung daripada sifat
sebenarku.
“HOI! Apasal kau cakap sorang-sorang, hah?”
Meeda berteriak perlahan membawa aku ke alam sedar. Nyata
semua yang difikirkan tadi melayang begitu saja. Sebiji bantal tepat dibaling
ke arahku. Aku sedang mengelus-ngelus rambut yang baru dipotong pendek sambil
berdialog sendiri. Bila masa minah cute ni bangun?
“Aku bercakap sorang-sorang? Tak ada pun. Perasaan kau aje
kot!” Aku menafikannya setelah menangkap kemas balingan bantal Meeda dan
melontarkannya kembali.
“Tak payah tipu, aku dengar apa yang kau katakan tadi.
Kenapa segan dengan aku? Bukannya sesiapa pun. Ingatkan si dia ke? Semalam aku
tengok kau layan dia hingga larut malam sampai tak ingat nak tidur.” Meeda
sudah bingkas duduk tegak.
“Itu pun sebab kau juga. Takkan tak faham-faham? Apa mimpi
kau bangun awal hari ni?” soalku hairan melihat perubahan Meeda pada pagi itu
sambil menyembunyikan perasaan maluku ditegur Meeda sebentar tadi. Kena
‘tangkap basah’.
“Eh! Bangun awal pun salah ke? Aku sebenarnya tak nak
menyusahkan kau menyumbangkan suara di pagi hari. Lagipun aku termimpikan kau.”
Meeda memulang paku buah keras.
Dia sedar rupanya selama ini aku selalu teriak di
telinganya. Tapi selamba aje aku tengok dia bangun! Aku menggaru kepala yang
tidak gatal. “Mengada-ngadalah! Nak mulalah tu...” Meeda ni aku faham benar
perangainya. Makin dilayan makin menjadi kerenah. Yang teruknya, aku kena pujuk
bila dia merajuk. Mengalahkan budak kecil!
“Hai, mimpi pun salah ke?” soal Meeda selamba.
“Tak adalah, cuma...” Aku cuba menafikan.
“Cuma apa? Takut kena batang hidung sendiri?” Meeda
memotong pantas cakapku sambil mempamerkan wajah mengusik.
“Silau kornea mata aku tengok sengihan kerang kau tu.
Dahlah busuk, tak menarik perhatian langsung.” Entah dari mana aku dapat ayat
‘power’ ni.
“Sampainya hati kata senyuman aku tak menarik. Tak apa...
yang penting Khairul tertarik. Aku ada cerita menarik untuk kau.” Meeda ketawa.
Lucu sangatlah tu ketawa sendiri. Gila agaknya minah ni.
Dahlah bangun awal, tiba-tiba pula bercerita di awal pagi. Buang tabiatlah tu.
“Hmm... apa dia? Nak mula usik aku?” Aku menunjukkan
minat. Hakikatnya, aku tertanya-tanya kenapa Meeda beria-ia nak cerita sesuatu
kepada aku.
“Kau tak nak tahu apa yang aku mimpi sebelum bangun tadi?
Menarik tau!” Meeda cuba memancing tumpuan. “Kau nak dengar ke tak nak?” Dia
menunjukkan geram.
“Hmm...” Itu saja jawapan yang sempat diberi kerana pantas
dipotong Meeda.
“Nak tahu? Aku mimpikan tentang perkahwinan!” Bersemangat
Meeda menuturkannya.
“Perkahwinan?” soalku pelik bila hal perkahwinan
diperbualkan oleh Meeda. Dah nak kahwin ke minah ni? Harap-harap bukan dengan
Khairul.
“Sebabnya perkahwinan tu tentang kau.”
“Perkahwinan aku?”
“Tak sporting langsung!” Muncung Meeda yang panjang sedepa
dah mula dah!
“Okey! Okey! Aku tak akan kacau sampai kau habis cerita.
Tapi aku tak boleh janji jika mulut celopar aku ni nak terbuka membebel untuk
berkata-kata,” pujukku konon. Macam adegan Uda pujuk Dara pula. Tak kuasa
hamba!
“Macam tulah kawan namanya. Aku mimpi kau sedang
bersanding! Kau bersanding di pelamin anganku musnah bersama Irsyad. Lelaki
yang aku jengkelkan akhirnya menjadi suami best friend aku. Tapi aku tak kisah.
Lagipun aku tahu hanya dia satu-satunya lelaki yang berjaya menakluki segenap
perasaan kau. Hanya dia yang menarik perhatian gadis yang tidak kenal erti
cinta sejak memasuki alam remajanya. Kau jatuh cinta pada Irsyad. Itu aku tahu,
tapi aku tak pasti apa makna mimpi aku tu kerana seperti yang kau sedia maklum,
sehingga ke hari ni Irsyad tu terkejar-kejar memikat hatiku!” Meeda tersengih
mengingati perkara yang berlaku akhir-akhir ini.
“Irsyad?”
Meeda mengangguk mengiakan pertanyaan. Tak mustahil!
“Sampai macam tu sekali mimpi kau? Aku sedang bersanding
dengan Irsyad? Dan watak kau pula apa masa tu? Cuma penonton ke?” gurauku tanpa
sengaja menarik Meeda sama-sama untuk bercerita.
“Kau dan Irsyad sedang bersanding. Dan aku pula jemputan
khas. Semua tetamu tersenyum gembira melihat pasangan dua sejoli selamat
diijabkabulkan dan sedang duduk di pelamin! Apa perasaan kau?” Meeda mengenyit
mata mengusikku.
“Patut pun kau nak sangat bercerita. Ada modal nak kenakan
akulah ni!”
Meeda tersenyum menang! “Don’t disturb okay! Aku belum
habis cerita lagi.”
“Klimaksnya kau dah cerita awal-awal. Apa lagi yang kau
nak aku tahu? Kau buat aku benar-benar ‘terkejut’. Okey, teruskan cerita!” Aku
memotong sekali lagi cakapnya.
“Tiba-tiba Zainal datang.” Meeda memberi aksi yang
membuatkan tawaku meletus akhirnya.
“Ini betul-betul menarik! Jangan nak kata Zainal kawan
baik Irsyad tu,” tekaku masih tergelak melihat aksi muka selamba Meeda yang
mengangguk.
“Let me finish the story first!” protes Meeda pantas.
“Ya, Zainal kawan karib si Irsyad tu. Aku tak silap, malah
aku sangat pasti sebab aku tak sukakan dia. Dia datang merangkul pinggang aku.
Yang peliknya, aku tersenyum gembira, membalas rangkulan manjanya itu. Aku tak
pasti kenapa aku ketika tu tak marah dan nampak bahagia sangat.
Tapi sesuatu di luar jangkaan. Tiba-tiba entah dari mana
munculnya Khairul datang menghampiri kami. Tapi terhenti apabila melihat
kemesraan antara aku dan Zainal, dia cepat-cepat memohon pulang selepas
bersalaman dengan pengantin.
P.E.N.G.A.N.T.I.N! Aku termenung dan entah apa terjadi
selepas tu aku dah terbangun disebabkan oleh satu suara yang memanggil. Ketika
tu aku tengok kau sedang tersenyum dan bercakap sendirian. Pelik!” Wajah Meeda
mempamerkan reaksi dungu cuba mengingati mimpinya sebelum bangun tadi. Siap
diberinya aku ejaan perkataan pengantin lagi. Hai! Meeda ni ada-ada aje.
“Pelik. Tapi aku tak nafikan kau mungkin hebat
bergandingan dengan Zainal. Cuba kau ingat apa yang telah membuat kau
terbangun. Selalunya, tak sah kalau aku tak simbah!”
“Oh, ya! Baru aku ingat. Seorang kanak-kanak lelaki datang
berlari mendapatkan aku dan memanggil aku dengan panggilan mama!” Kerut wajah
Meeda menampakkan reaksi rimasnya. Terperangkap dengan mimpi sendiri!
“Hebat! Kau dah ada anak dengan Zainal. Tak sangka... dia
yang kau sibuk nak satukan dengan aku, akhirnya kena batang hidung kau sendiri.
Pelik sungguh mimpi kau. Tuan empunya badan sedang peluk Zainal dan aku sedang
bersanding. Hei! Kau mimpi persandingan aku dengan Irsyad tandanya ada sesuatu
yang pelik. Memang pelik!” Aku ketawa melihat Meeda merajuk.
“Ini cuma mimpilah, kawan. Tak perlu percaya seratus peratus.”
Meeda ketawa.
“Tanpa mimpi, impian tak jadi kenyataan.”
“Impian tetap impian... walaupun tanpa mimpi.
Kenyataannya, aku tak pernah cintakan Irsyad dan tak mungkin bersama Zainal,”
tegas Meeda padaku.
“Dah fikir panjang ke, minah oi! Jangan-jangan nanti kau
sendiri yang tersungkur. Terimalah cinta Irsyad, Meeda. Lepas ni, mungkin kau
tak akan ada peluang lagi.” Aku memujuk.
“Tersungkur mungkin, tapi untuk mencintai Irsyad, aku rasa
mustahil. Entah kenapa sejak berkenalan dan tahu perasaan Irsyad pada aku, aku
mula benci sesuatu yang bersangkut paut dengan dirinya.” Meeda menyatakan
perasaannya selama ini.
Aku inginkan kepastian. “Termasuklah sahabat kau yang satu
ni?”
“Apa-apa aje berkait dengannya. Tentulah kau terkecuali.
Aku masih boleh terima.”
“Kenapa tak nak terima dia secara perlahan-lahan?” soalku
ingin tahu dan supaya Meeda dapat menerima bahawa persahabatan boleh dijalin
berlandaskan cinta. Mungkin cinta Irsyad akan menjadi satu persahabatan di mata
Meeda. Siapa tahu? Tapi susah nak fahamkan cik minah cute ni.
“Dia tak ada kurang, cuma ini melibatkan soal hati. Cara
dia meluahkan perasaan, aku tak suka. Cubalah kau nasihatkan boyfriend kau tu
supaya berani cakap kat aku secara berdepan. Face to face! Macam Khairul...
berani depan rakan-rakan sepasukannya mengisytiharkan aku kepunyaan dia.”
“Manusia kan tak sempurna? Aku sebenarnya tak kisah,
Meeda... sesiapapun kau pilih, kita tetap sahabat sampai ke akhir hayat dan
sahabat akan sentiasa ingat-mengingati termasuklah mencampuri urusan peribadi sahabatnya.”
Sengaja aku menuturkan kata-kata yang berbelit bertujuan supaya Meeda memahami
maksud tersiratnya.
“Mencampuri?” Meeda angkat kening tak setuju.
“Jangan silap, okey! Maksud aku, mencampuri tu adalah tak
kira susah atau senang, kita tetap bersama-sama mengharunginya dan aku akan
menyokong sesiapa jua pilihan kau.”
“Suka sangat cakap berbelit-belit. Kau cuma nak aku terima
Irsyad. Apa salahnya kau terima dia? Cuba pujuk dia dan berubah. Rebut hati dia
pula.”
“Sorry... sayangnya dia tak nak kat aku. Aku yang
menghabiskan masa dengan dia ke hulu ke hilir di kampus tetap tak dapat menawan
hatinya. Aku percaya, sebab di hatinya sudah ada yang punya dan tertulis dengan
ukiran indah nama kau. Tiada tempat lagi untuk nama aku.” Aku cuba menafikan
perasaan terluka. Aku memang begini, selalu menolak sebelum segalanya bermula
lagi.
“Khairul tetap di hati. Irsyad aje yang perasan
lebih-lebih. Kau aje yang tak usaha lebih. Cakap tak serupa bikin!” bebel Meeda
yang mula bergerak mengemas katilnya yang berselerak.
“Jangan marah Meeda, nanti aku jual kat Irsyad. Aku kawan
kau, bukannya musuh. Tak ada sebab aku nak kau mendapat keburukan. Kawan kau ni
tetap akan membantu yang mana baik untuk kawannya yang comel loteh ni. Jangan
marah, nanti kau cepat tua... Khairul pun lari!” balasku cuba menyakiti hati
Meeda.
“Kau ajelah ambil si Irsyad tu. Tamat cerita!” balas Meeda
ingin berlalu.
“Bila dia dah aku ambil, jangan pula kau kebas balik!”
kataku olok-olok, masih dalam mood bergurau. Siapa suruh kau bawa cerita yang
memang aku nantikan dari mulut kau? Peluang, mungkin ini yang tidak ada pada
Irsyad. Kau langsung tak pernah memberi peluang Irsyad mengenali diri kau,
Meeda.
“No! tak mainlah kebas-kebas dalam kamus hidup aku. Kalau
benar seperti yang kau katakan dia nak kat kau, cintakan kau, aku rela
serela-relanya tak akan kebas kerana hati aku dah terpaut pada Khairul sejak
dulu lagi!” Tegas bunyi kata-kata Meeda menusuk telinga.
“Apa salahnya kau cuba selami perasaan dia, Meeda? Kenali
dirinya, setelah lebih satu tahun setengah aku mengenalinya, sehingga hari ni
pun dia tetap teguh menunggu kau menerima dia. Aku tak mahu bila dah terlewat,
baru kau tengadah.”
“Kalau dalam dunia ni sekalipun tinggal dia seorang, aku
lebih rela tak kahwin daripada terima cinta dia. Lina, aku dah kenal dia...”
Sengaja Meeda menggantung ayatnya begitu.
“Macam mana kau kenal dia? Selama ni pun kau asyik
mengelak daripada berjumpa dengan dia. Tak pernah sekali pun seingat aku, kau
terima ajakannya sehingga hari ni.”
“Daripada siapa lagi kalau bukan daripada kau. Irsyad itu,
Irsyad ini, Irsyad yang nak... dan macam-macam lagi berita hot lagi sensasi
daripada kau setiap hari. Sejak dari dulu tak sah kalau tak ada berita tentang
Irsyad keluar daripada mulut kau setiap saat. Aku cadangkan kau cuba pikat dia
pula. Hmm... setakat ni aku dah kenal dia. Biarlah dia dengan dirinya tu.”
Meeda tersenyum mencapai tuala.
“Jangan cakap macam tu, tak luak pun kalau kau berkenalan
dengan dia dulu. Dia dah lama menunggu. Kau boleh tambah kenalan, tambah koleksi
dan banyak juga kau tahu tentang hati budi orang. Don’t stick to one person
only. Dalam erti kata lainnya, kalau kau masih tak faham-faham... don’t jugde
the book by its cover!”
Meeda berlalu ke bilik air tanpa
jawapan yang pasti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan