Prolog
28 Julai 2000, Jumaat
Tanah Perkuburan Islam
Kg. Kelumpang Pitas, Sabah
ORANG ramai beransur pulang. Aku hanya memerhatikan dari
jauh walaupun puas dipujuk Marwan untuk ke tanah perkuburan, tapi aku tetap
berdiri di anjung rumah yang menghadap kawasan perkuburan itu. Kaku dengan
tangisan, di hati sayu... cukup terkilan dengan apa yang berlaku.
Air mata yang mengalir sejak tadi diseka kasar dengan
belakang tangan. Eliza menepuk bahu, menyedarkan aku daripada lamunan. Puas ayah,
ibu dan Marwan mengajak untuk bersama ke kubur, namun aku tetap berkeras tidak
berganjak. Hari semakin merangkak ke senja.
Tanpa mempedulikan mereka yang sedang memasuki rumah
pulang dari kubur, aku pantas turun berlari sekuat hati menuju ke kubur Lina.
Aku menangis semahu-mahunya di situ. Perasaan berkecamuk, sukar untuk menahan
hati yang terluka. Apa yang tinggal untuk aku hanya kenangan bersama Lina.
Lebih 20 tahun hidup berdua, akhirnya aku keseorangan.
Aku duduk teresak-esak. Fikiran melayang mengingati
memori bersama Lina. Ekspresi wajahnya tergambar di minda. Mengingati kenangan
bersamanya, membuatkan tangisanku semakin berlagu. Lina, kenapa kau pergi
setelah aku pulih dan sedar akan hakikat sebenar kehidupan ini?
Aku masih keliru antara ingin percaya atau tidak dengan
kenyataan bahawa Lina telah pergi meninggalkan aku sendiri tanpa pamitan,
pesan dan penjelasan untuk merungkai segala persoalan di minda. Apa sebenarnya
yang telah terjadi? Sehingga rembang petang melabuhkan tirainya, persoalan itu
masih bersarang di mindaku.
Aku merenung pilu kubur Lina, kembarku. Tidak terniat
untuk melangkah pulang. Tangisan sudah lama hilang, cuma perasaan kesal masih
membukit.
Aku berpaling bila bahu disentuh ayah. Dia memandangku
sayu dan mengangguk memberi isyarat untuk membawaku pulang. Aku membiarkan
sahaja tubuh diheret ayah, pasrah menerima dugaan ini dalam keredhaan-MU, ya
ALLAH!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan