Cinta Akan Indah
25 Julai 2000, Selasa, 7.00
malam
Taman Perpustakaan, UMS
KEGELAPAN malam tidak
menghalang Meeda untuk meredah jalan, hanya untuk bersemuka dengan Irsyad.
Sebentar tadi dia telah menelefon Irsyad. Dia perlu menemui Irsyad malam ini
juga, mereka akan bersua muka berdua buat pertama kalinya.
“Kenapa nak jumpa aku?” Suara
Irsyad memecahkan keheningan antara mereka. Sebenarnya, dia kurang senang
dengan permintaan Meeda untuk menemuinya lewat malam begini. Namun digagahinya
juga kerana hatinya meronta-ronta untuk berjumpa gadis idamannya itu.
Mendengar soalan Irsyad begitu,
api kemarahan Meeda semakin meluap. Tidak pasal-pasal kerana Irsyad, dia dan
Lina bertekak. Kenapa mesti dia mengamuk pada Lina? Sedangkan terang-terangan
lelaki di depannya itu yang punya angkara. Marahnya sukar dibendung.
“Ada hutang yang nak diselesaikan!”
Meeda mendengus marah.
Irsyad tertanya-tanya apa yang
membawa Meeda malam-malam begitu menemuinya. “Kenapa tak esok saja? Hari dah
jauh malam. Meeda tak takut ke keluar malam-malam macam ni?”
“Malam... bagi aku sama saja,
tetap akan berlalu pergi dengan pelbagai cerita yang berbeza-beza. Macam malam
ni, menjadi sejarah dalam hidup aku untuk berjumpa dengan kau. Bukan kerana aku
tak mahu tunggu esok, tapi hal yang aku nak selesaikan perlu dilakukan malam ni
juga,” balas Meeda.
“Apa?”
“Kenapa kau buat Khairul macam
tu?”
“Aku tak faham.” Irsyad keliru.
“Jangan nak berdolak-dalih
lagi. Selama ni, bukan aku tak tahu kau dan Lina ada buat rancangan. Tapi aku
tak hiraukan. Sebab Lina tu kawan baik aku. Namun, aku tak suka bila hal ni
melibatkan Khairul.” Meeda menggigit bibir geram. Suasana depan perpustakaan
yang terang itu kelihatan para pelajar duduk bersama mengulangkaji di luar.
Namun, lain halnya dengan mereka.
“Melibatkan Khairul? Apa
kena-mengena hal Khairul dengan aku?”
“Kau cemburu... sebab bukan kau
yang aku pilih. Selama ni usaha kau mengurat aku tak berhasil. Jadi, jalan yang
terbaik adalah dengan menghapuskan Khairul,” tuduh Meeda melulu. Marah
menguasai mindanya.
“Kau jangan tuduh aku yang
bukan-bukan, Meeda. Aku langsung tak tahu apa-apa hal pasal Khairul.” Irysad
bingung dengan tingkah Meeda itu.
“Kau cemburu sebab aku tak
layan permintaan kau. Kura-kura dalam perahu...”
“Lagilah aku bingung. Lantaklah
apa kau nak cakap, yang penting aku nak kau tahu, aku tak ada kena-mengena
dengan hal Khairul. Yang kau cari aku ni pasal nak beritahu aku cemburukan
Khairul ke? Itu aje?”
“Takkan kau tak faham apa aku
cakap? Aku bukannya cakap dalam bahasa Kantonis. Aku guna bahasa Melayu.
Mungkin kau akan lebih faham sekiranya aku cakap Tamil agaknya.”
“Sudahlah, Meeda... apa yang
kau melalut ni?” Irsyad menggeleng keliru dengan sikap Meeda. Selama ini, semua
yang dilihatnya pada gadis itu indah belaka. Entah di mana silapnya malam itu
dia melihat segala keburukan Meeda. Menuduh yang entah apa-apa!
“Lina dah terangkan pada aku,”
ujar Meeda lagi.
Irsyad diam.
“Aku dah tahu segalanya dari
mula hingga akhir. Patutlah aku hairan macam mana kau muncul bila aku ada
bersama Lina. Rupanya kau upah dia jadi spy. Sogok dia dengan telefon bimbit!”
ungkit Meeda.
“Jangan kau tuduh Lina...”
pintas Irsyad, namun dipotong pantas Meeda.
“Dan satu lagi, jangan kau
harap aku akan terima cinta kau. Muka tembok! Tak tahu malu. Tak faham bahasa
langsung! Aku dah kata tak suka, maksudnya tak sukalah. Benci! Yang kau bela
sangat Lina tu, kenapa tak couple aje dengan dia? Kau dengan dia pun dah lama
jadi best friend!” cebik Meeda meluat.
“Kita bercakap hal Lina ke
Khairul ni?” soal Irsyad kurang senang bila nama Lina dibabitkan sama.
Sedangkan sejak awal tadi Meeda marahkannya kerana Khairul. Tapi kenapa?
“Meeda, kau marahkan aku kerana
perbuatan aku selama ni. Maafkan aku kiranya aku bersalah. Aku tak pernah paksa
kau terima aku. Sejak dari mula perkenalan kita, aku tak tahu kalau aku
menyakitkan hati kau. Salah ke seorang lelaki mencintai gadis impiannya?” kata
Irsyad tenang walau kata-kata Meeda tadi menyakitkan hatinya. “Kau jumpa aku
kerana Khairul. Kenapa dengan Khairul?”
“Tak sakit hati kau kata? Yang
kau tersua-sua depan aku selalu tu buat aku benci, tahu? Boleh tak kau tak
kacau aku lagi?” Meeda membiarkan pertanyaan Irsyad tanpa jawapan.
“Kau tak sepatutnya kata begitu
dengan aku. Kau cakap sesuka hati tanpa mempedulikan perasaan aku. Aku tak
marah dengan kata-kata kau, cuma aku kesal dengan cara pemikiran kau. Di mana akal
waras yang TUHAN anugerahkan pada kau untuk menilai? Boleh tak aku minta kau
redakan dulu kemarahan tu, baru kita bincang. Kalau tak, aku nak pergi dari
sini. Malas nak bertekak dengan orang yang bercakap ikut sedap mulut aje.”
Mendengar kata-kata Irsyad itu,
Meeda menjadi malu sendiri. Dia mengakui ada betulnya cakap Irsyad. Kenapa
kemarahan bermaharajalela dalam dirinya?
Melihat Meeda tidak menunjukkan
reaksi, Irsyad menyambung kata-katanya. “Pertama sekali, aku nak minta maaf.
Aku tak tahu pula sikap aku ni menjengkelkan orang. Mungkin silapnya pada aku.
Kalaulah aku berani meluahkan apa yang berbuku di hati secara berdepan, perkara
ni takkan menjadi serumit ni.
Kedua, aku dah tahu sekarang
kau tak menaruh perasaan pada aku. Itu dah cukup. Sebenarnya, Lina tiada kena-mengena
dalam hal ni. Aku tak paksa dia untuk membantu, cuma dia yang beria-ia nak
tolong. Katanya kau masih solo masa tu, aku tak tahu pula kau sedang bercinta
dengan Khairul.”
Ketiga, tentang Khairul... aku
tahu dia mengalami kecederaan. Aku tahu perkara ni baru petang tadi. Mungkin
kau sangka kecederaan Khairul disebabkan oleh aku. Aku tak pernah berjumpa
dengan dia dalam dua hari ni.
Keempat, aku nak kau tahu
sesuatu...” Irsyad berhenti mengambil nafas. Dia menjeling sekilas Meeda di
sisi yang tunduk membisu. “Aku tak tahu sama ada patut atau tak aku beritahu
kau. Aku nak kau tahu, apa yang aku katakan ni bukan nak memburukkan keadaan.
Meeda, sebenarnya aku dah lama kenal Khairul. Aku tahu benar siapa Khairul tu.
Aku harap kau tak jatuh dalam perangkap dia.
Kelima, aku amat berharap kau
mencintai aku sebagaimana perasaan kau pada Khairul. Tentu terasa amat bahagia
bila cinta berbalas, namun sebaliknya yang berlaku. Aku selalu impikan seorang
gadis yang mengambil berat tentang diri aku,” terang Irsyad lembut dengan
panjang lebar. Intonasinya berubah mengikut tutur kata. Dia sebolehnya tidak
mahu Meeda terasa.
“Kau nak bahagia? Kenapa tak
terima saja Lina?” Suara Meeda sudah sedikit tenang. Mendengar penerangan
Irsyad sebentar tadi, dia sedar telah tersilap tafsir tentang Irsyad. Patutlah
Lina sanggup menolong Irsyad. Pandai pujuk orang. Hatinya sudah sejuk sedikit.
“Lina?” soal Irsyad meminta
kepastian.
“Ya, dia gadis yang selama ni
patut kau impikan,” ujar Meeda yakin.
“Lina sukakan aku? Tapi...”
Irsyad ragu-ragu.
“Betullah kau ni buta hati.
Mana ada gadis yang tahan selama ni semata-mata nak menerima kerenah kau.
Kalaulah aku, dah lama aku tengking kau. Aku kagum dengan kesabaran Lina
menanti kau. Aku tahu sikap dia mengelirukan kau. Sebenarnya dia tak mahu kau
tahu dia sangat cintakan kau. Dia takut persahabatan kau dengan dia akan
putus.” Meeda menerangkan kedudukan sebenar.
“Lina... Lina... kenapa aku tak
pernah fikirkan hal ni?” Irsyad menggeleng berulang kali tidak percaya.
“Sebabnya... kau tak pernah
pandang dia sebagai perempuan. Ditambah lagi dengan gaya dia yang ala-ala
lelaki itu. Lagi pula, maaf kalau kau tersinggung. Kau terlalu sibuk
bertanyakan hal aku pada dia. Sedangkan hakikatnya, kau dan dia serasi. Bila
aku tengok kau berdua berbual, seperti ada chemistry,” seloroh Meeda bersahaja.
Irsyad ketawa. “Apasal kau
mengamuk pada aku tadi?” soalnya ingin tahu.
“Nanti kau fahamlah. Ragam
orang kemaruk cinta.”
“Aku tak mahu kau buat
kesilapan. Kau masih ada ruang untuk mengubah keputusan.”
“Mengubahnya mungkin tidak,
tapi untuk mempertahankan, ya! Inilah satu-satu keputusan rasional yang pernah
aku buat. Aku dah fikirkan hal ni berulang kali. Aku pasti tak menyesal memilih
untuk mencintai Khairul,” tegas Meeda.
“Mencintai Khairul walaupun
nanti kau yang akan merana? Aku tak mahu melihat kau terluka, Meeda.”
“Itu hal kemudian. Yang penting
aku nak kau tahu aku tak pernah cinta dan sukakan kau. Hanya Lina yang cintakan
kau dengan setulus jiwanya, tapi tak pernah mengaku. Dengan aku pun dia selalu
sembunyikan. Hati perempuan hanya perempuan yang tahu. Kalau kau tak percaya,
jumpa dia esok. Kemungkinan kami tak bersama lagi. Aku bertengkar dengan dia
sebelum berjumpa dengan kau.”
“Hal yang sama juga ke?”
“Aku sendiri tak tahu kenapa
tiba-tiba saja aku memarahi dia. Aku baru balik melawat Khairul di hospital.
Kecederaan dia parah. Sebelum ni, aku tak pernah bertekak lama-lama. Tapi kali
ni aku menuduh dia menjadi batu api. Silap aku! Tak berfikir sebelum bercakap.
Seingat aku, semua tentang Lina dah aku ketahui. Jiwanya juga telah aku selami.
Tak tahu pula kalau ada sesuatu yang disembunyikan daripada aku. Dia seorang
sahabat yang paling baik pernah aku temui.
Mungkin cinta saja yang
membuatkan dia diam dan mengelak bila tiap kali aku utarakan. Dulu, dia cuba
matchmakerkan kita...” Meeda tersenyum dan menyambung. “Maaf... aku mengganggu
kau malam-malam begini. Seharusnya kita bincangkan hal ni secara tenang.” Dia
berdiri, mahu melangkah pergi.
Jamnya menunjukkan pukul 9.36
malam. Taman itu mula sunyi dan sebentar lagi perpustakaan akan ditutup tepat
pukul 10.00 malam. Rasanya, dia dah terlalu lama di situ.
“Nanti dulu, aku hantarkan.
Terima kasih kerana maklumkan aku tentang Lina.” Irsyad menghalang langkah
Meeda.
Meeda tidak menolak. Dia
bersetuju menaiki kereta Irsyad untuk pulang.
“Aku harap kau tak lepaskan
peluang pikat Lina. Sebab aku tahu Lina tak mudah jatuh cinta. Selama kami
menjadi sahabat, tak pernah aku melihat dia keluar dengan lelaki lain selain
kau.”
Irsyad yang memandu tenang di
sisi Meeda tersenyum.
“Kau tak menyesal lepaskan
aku?” Irsyad membelok di bulatan.
Meeda ketawa, terasa geli hati
dengan soalan itu. “Kita masih boleh menjalin hubungan...”
“Maksud kau?” Irsyad menoleh
sekejap.
“Hei! Jangan pula fikir yang
bukan-bukan. Maksud aku hubungan antara sahabatlah. Tak ada soal lepas-melepas,
Okey?” balas Meeda setelah tawanya reda. Tak sangka sekarang dia sudah boleh
menerima Irsyad.
“Terima kasih sekali lagi sebab
sudi terima aku sebagai sahabat. Suatu hari nanti bila kau ada masalah, jangan
segan dengan aku. Aku masih sudi terima kau...” Sengaja Irsyad menggantung
ayatnya begitu, mahu kenakan Meeda balik.
“Irsyad!” tegah Meeda yang
kurang senang mendengarnya.
“Eh, eh... maksud aku, menerima
kau sebagai sahabat yang boleh mendengar masalah sahabatnya.”
Meeda memukul bahu kanan
Irsyad. “Oh! Nak kenakan aku balik. Hmm... apa rancangan kau tentang Lina?”
“Garang juga kau ni. Nasib baik
kau tak pemarah sangat. Aku cakap sikit, kau dah sejuk dan dapat terima
penerangan aku. Aku harap kita bersahabat mulai hari ni. Tentang Lina kau cuma
perlu sokong aku aje. Tunggu dan lihat,” jawab Irsyad berteka-teki.
“Beritahu aku perkembangannya.
Tapi, aku takut!”
“Takut apa pula? Takut Lina
marahkan kau balik?”
“Takut kau kecewa. Tak...
tak... aku takut Lina tak maafkan aku.”
“Jangan risau. Kau dah kenal
Lina lama. Esok aku cuba pujuk dia dulu. Tapi sementara ni jangan beritahu dia
kita dah berbaik. Aku nak buat kejutan untuk dia.”
“Thanks, Irsyad!”
“Welcome. Boleh aku tanya
sesuatu?”
“Apa dia?”
“Tentang Lina...”
“Apa yang kau nak tahu tentang
Lina?”
“Aku nak tahu, dia macam mana
orangnya?”
“Aik! Hari-hari yang kau
bersama Lina, kau masih tak tahu lagi Lina tu orangnya macam mana?”
“Bukan tu maksud aku. Dia yang
aku kenal seorang yang kuat menyimpan rahsia. Sepanjang persahabatan kami,
hanya berbual berkisar pelajaran, isu semasa, keadaan cuaca, tak pun mengenai
kau,” akui Irsyad jujur.
“Kau tak takut aku marah?” duga
Meeda.
“Ingat! Kita sekarang ni dah
jadi sahabat.”
“Yalah tu. Aku tak mahu
beritahu kau. Aku nak kau sendiri selami hati Lina. Dia seorang yang terlalu
baik dan penyabar. Kau tentu bertuah memilikinya.”
“Khairul pun bertuah memiliki
kau, Meeda,” ucap Irsyad tiba-tiba.
“Kenapa cakap begitu?”
“Yalah. Kau cantik, baik,
peramah, dapat menerima pandangan orang, senang dinasihati, tak pentingkan
diri... lagi satu, promosi kawan baik sendiri lagi!”
“Kau keterlaluan mentafsir
tentang diri aku dalam satu setengah jam kita berbicara dari hati ke hati.
Pujian atau kritikan?”
“Sebenarnya, Lina banyak
beritahu aku tentang kau. Yang paling penting sahabat diperlukan untuk saling
nasihat-menasihati, ingat-mengingati. Kita dah sampai!” Irsyad memberhentikan
keretanya di Aspuri A.
“Hmm... yalah tu. Yang penting
sekarang semua dah selesai. No more spy, no more enemy. Jaga baik-baik Lina tu.
Sekali kau terlepas, takkan berpeluang untuk selamanya. Ingat pesan aku ni.
Berusaha!”
“Itu sudah pasti.”
“Cuma satu yang aku pinta. Kau
jaga perhubungan dengan Lina tu betul-betul bagai menatang minyak yang penuh.
Jangan sampai kau melukai hati dia. Hati dia terlalu lembut, nanti kau berputih
mata. Thanks for drive me home!” Meeda turun dari kereta.
“Don’t worry, I’ll try my best.
Bye!”
Irsyad meluncur pulang meredah
pekat malam. Nampaknya, perjumpaan dengan Meeda membuahkan hasil. Walaupun
hasil itu tidak seperti yang diharapkannya. Namun kini dia yakin, Aina
Malina... gadis yang ragu-ragu untuk difikirkan, mencintainya setulus jiwa.
Kenapa aku mengabaikan masa terluang bersamanya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan