Selasa, 16 Julai 2013

Bab 4



Cinta Akan Indah
 
“ZAI! Apa pendapat kau tentang Lina?” soal Irsyad pada Zainal yang sibuk menonton TV di ruang tamu. Dia duduk di sebelah dan menepuk paha Zainal.
“Lina? Orangnya baik, menarik dan aku suka sikap dia. Kenapa dengan tiba-tiba kau bertanya tentang dia? Jangan kata kau nak berubah angin. Kau dah mula suka pada dia?” Tumpuan Zainal beralih ke arah Irsyad. Segera TV dimatikan. Sukar nak percaya, Irsyad mahu bersama Lina.
“Kalau ya, kenapa? Lagipun aku lebih mengenali dia daripada Meeda,” tanya Irsyad dengan maksud ingin menduga.
“Kau nak letak Meeda kat mana? Bukan ke selama ni dia yang kau agungkan?”
“Kau tahu? Dia jumpa aku tadi,” beritahu Irsyad.
“Lina? Lina lagi? Kau selalu jumpa dia, apa nak dihairankan. Dah jadi perkara biasa.” Zainal mula tak ambil pu­sing.
Baginya, apa yang baik untuk Irsyad, baik juga untuknya. Lagipun selama ini Irsyad menumpangkannya tinggal bersama-sama di rumah itu. Mama Irsyad jarang berada di rumah. Jadi, Irsyad memintanya untuk tinggal di situ me­nemaninya.
“Bukan Lina, tapi Meeda!” sangkal Irsyad pada tekaan Zainal itu.
“Meeda? Buat apa dia jumpa kau? Selama ni kau dah cuba pelbagai cara nak pikat dia. Dia tak pandang kau pun. Sampai kau membabitkan Lina sama. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba dia jumpa kau. Apasal? Setahu aku, selama ni dia tak mahu jumpa kau kecuali kebetulan. Itu pun aku tengok dia endah tak endah aje nak layan kau.” Panjang lebar pula Zainal bersuara.
“Dia marahkan aku pasal Khairul. Bukan main khuatir aku melihat api kemarahan Meeda tadi.” Perasaan Irsyad sedikit lega setelah berbual dengan Meeda. Mungkin sehingga tamat pengajian dia tak tahu Lina menyimpan perasaan padanya.
Pada pandangannya, Lina tiada kekurangan apa-apa, cuma mungkin cermin mata yang dikenakan menghalang kecantikan Lina terserlah. Pernah sekali sahaja dia melihat Lina menanggalkan cermin matanya, tapi waktu itu hatinya gelisah tentang Meeda. Seperti kata Zainal tadi, Lina baik, tiada kekurangan dan sikap Lina juga menyenangkannya.
“Khairul? Meeda marah kerana Khairul? Aku tak faham. Apa hubungan dia dengan jaguh bola tu?” soal Zainal.
“Meeda marahkan aku sebab kecederaan yang dialami Khairul baru-baru ni. Dia tuduh aku yang rancang semua ni. Termasuklah hal Lina sekali. Mungkin kau masih tak tahu, Meeda cintakan Khairul. Sebab tu selama ni dia tak pandang aku pun,” terang Irsyad.
“Kecederaan Khairul? Kan dia yang cari hal dengan tunang orang. Abang Sheila yang tumbuk Khairul. Kau ada beritahu dia?”
“Aku tak mahu mengeruhkan keadaan. Lagipun masa dia jumpa aku dalam keadaan marah. Aku juga tak mahu masuk campur hal Khairul. Kau sendiri maklum bagaimana sikap Khairul sebenarnya.” Irsyad mengingatkan Zainal kisah zaman sekolah menengah mereka.
Irsyad mengeluh.
“Apa yang tak kena ni? Tiba-tiba mengeluh?” Zainal memasang TV semula, menekan alat kawalan jauh mencari siaran yang menarik. Bosan juga tak ada buah hati. Asyik memerap di rumah tak ke mana-mana.
“Tak ada. Aku sedikit cuak dengan sikap Khairul. Masa kita sekelas dulu dia fitnah kita. Sekarang, aku fikir punca Meeda tuduh aku tadi pun sebab dia yang cakap sesuatu tak betul pada Meeda. Apa yang kau fikirkan?” risik Irsyad ingin tahu.
“Aku fikirkan tentang kita. Bila agaknya kita akan ada kekasih? Kau pun dah lama berusaha memikat Meeda. Nampaknya misi kau gagal. Aku yang tak ada apa-apa ni pun bosan juga. Siapalah yang nak pada Zainal Abdullah ni? Rupa kurang, harta tak ada.”
“Jangan nak mula mengarut.” Irsyad ketawa.
“Betul! Kau tak ingat ke, sejak dulu dalam apa-apa hal antara kita bertiga... aku, kau dan Khairul. Siapa yang mendahului? Mesti Khairul kan? Kau tak rasa tercabar ke?” Zainal ingat sejarah lama mereka.
“Tak. Usah dikenang perkara yang pahit tu. Aku kalau boleh tak ingin semua ni terjadi. Tapi apa daya kita, Khairul pentingkan diri sendiri. Dia memilih untuk putuskan persahabatan daripada mengaku kesilapan sendiri.” Irsyad berfikir. “Aku bimbangkan Meeda!” katanya tiba-tiba.
“Meeda juga yang kau ambil berat. Berbalik pada persoal­an asal, apa yang kamu bualkan? Takkan Meeda jumpa kau marah aje? Satu jam setengah Meeda marah kau. Aku tak percaya. Tentu ada hal lain yang kamu bincangkan,” duga Zainal. Dia faham benar perangai dan tabiat Irsyad. Sejak dulu hingga sekarang, Meeda juga yang mendapat tempat di hatinya.
“Sebagai sahabat aku patut bimbang,” sahut Irsyad.
Zainal memandang dan mengangkat kening. “Sahabat?” Dia tersenyum mengusik.
“Ada modal nak usik akulah tu. Sorry... kali ni tak jadi. Sebabnya mulai saat ni aku dah anggap Meeda hanya sebagai sahabat seperti kau. Apa salahnya memenuhi permintaan orang. Lagipun aku sedar sesuatu...”
“Apa dah jadi?” Zainal begitu terkejut. Irsyad sedang memberitahunya sesuatu yang penting. Buang tabiat ke Irsyad ni? Berita terkini, Meeda dah jadi sahabat pula.
“Kau tak nak bersaing lagi? Aku tetap sokong kau walau apa pun keputusan dan tindakan yang kau lakukan. Kau ja­ngan risau!” Dia menepuk bahu Irsyad.
“Dengan Khairul, maksud kau? Aku bukan jenis orang yang suka memaksa. Kalau sejak dulu lagi Meeda dah jelaskan pada aku, hal ni tak akan jadi sepanjang ni. Aku pun tak perlu buang masa memikat dia. Mungkin juga masa ni aku dah ada steady girlfriend tanpa sedar.
Meeda marahkan aku bersebab walaupun kemarahannya tu dikaitkan dengan kecederaan Khairul. Namun sebenarnya, dia dah terlalu lama menyimpan perasaan tak puas hati de­ngan sikap aku pada dia. Dia tak mahu aku mengganggunya, dia mahu aku sedar daripada terus menunggu buah yang tak gugur. Dia hanya menganggap aku cuma kawan. Dan satu lagi, aku tahu satu perkara yang selama ni aku tertanya-tanya...” Irsyad tersenyum.
Zainal turut tersenyum. “Ini tentu ada kaitan dengan Meeda. Kalau tak, kau tak senyum begitu. Mesti masa kamu berbual, Meeda ada katakan sesuatu sehingga kau sanggup melepaskan dan menganggapnya sebagai sahabat. Aku pun nak tahu juga, ceritalah.”
“Mengenai Lina. Soalnya sekarang, aku sendiri tak pasti apa yang Meeda katakan sebentar tadi betul atau tak. Dalam hal ni, aku nak bantuan kau. Boleh?” pinta Irsyad. Dia terasa haus, berlalu ke peti sejuk mencapai kacang Ngan Yin dan minuman tin untuknya dan Zainal.
“Patutlah kau awal-awal lagi soal aku tentang Lina. Nama penuhnya Aina Malina. Sedap kan nama dia tu? Rupa-rupanya ada udang di sebalik mi. Ada satu yang aku musykil...” Zainal meneguk minuman sambil sebelah tangannya bermain de­ngan janggut yang baru tumbuh. Lagaknya seperti orang yang sedang berfikir sambil tersenyum sumbing.
“Apa dia?”
“Senyuman Lina...”
“Lina jarang tersenyum lebar. Kita jumpa dia selalu pun dia hanya gerakkan bibir buat reaksi memberi senyuman. Tapi... kau pernah nampak dia senyum tak?” Zainal masih dengan persoalannya.
Irsyad hanya mengangguk.
“Takkan kau tak ingat? Kau masih tak perasan apa maksud aku rupanya. Walaupun Lina jarang tersenyum tapi senyumannya yang sekali itu manis, meninggalkan kesan. Wajahnya berseri bila tersenyum dan...” puji Zainal ikhlas.
“Itu aku tahu, tapi kenapa dengan senyuman dia?” soal Irsyad ingin kepastian. “Nasib baik kau ingat. Selama ni aku tak perasan Lina tu jarang senyum. Setiap kali kita jumpa dia, kau teliti ke macam mana Lina tu?” usiknya pula.
“Bukan macam tu... cuma secara kebetulan bila dia berbual dengan kau, aku dibiarkan bersendirian. Aku terperhatikan dia. Dia leka berbual dengan kau. Bila mata kami bertembung, dia pernah tersenyum sekali seingat aku. Itu buat aku terfikir di mana dan bila aku pernah melihat senyuman seperti tu. Dan bila kau cerita tentang sekolah, terus fikiran aku melayang mengenangkan zaman tu. Aku ingat tentang kita bertiga dan Smile.” Zainal menyandar di sofa sambil tangannya dipanggung di kepala.
Irsyad berhenti makan kacang, memandang Zainal tidak berkelip seketika.
“Kenapa diam? Apa yang kau nak aku tolong esok?” soal Zainal bila teringat kata-kata Irsyad tadi.
“Kau akan tahu juga...” Sengaja Irsyad menguji Zainal dengan berkata begitu. Dia bukan tak tahu sikap Zainal, pastinya tak senang duduk dan asyik mendesak kalau nak tahu sesuatu. Selalu pun dia yang kalah. Zainal, Zainal... apa petua sampai aku tak boleh berahsia sikit dengan kau?
“Okey!” Zainal memejamkan mata.
Irsyad terkejut dengan jawapan itu. Apa kena mamat ni?
“Something wrong?” soal Zainal mengulum senyum. Dia tak kuasa mendesak Irsyad. Kali ini biar Irsyad sendiri buka cerita.
Melihat Irsyad kebingungan diam dan menggeleng, ketawa Zainal meletus. Takkan dia nak biarkan peluang baik begini terlepas!
“Apa yang lucu?” Irsyad tak puas hati terkena usikan Zainal.
“Tak ada. Aku tahu kau hairan kenapa aku tak macam selalu. Aku sengaja nak menduga kau. Siapa yang tak kenal Zainal Abdullah?” Zainal bermegah dengan namanya.
“Pandai kau!”
“Sekilas ikan di air, aku dah tahu jantan betinanya. Ini kan pula sahabat aku, Irsyad. Biar aku teka! Esok kau nak mulakan yang mana dulu?”
“Apa?”
“Janganlah macam ni, kawan. Maksud aku... kau mula nak pikat Lina kan? Nak mula dari mana dulu?”
“Macam tahu-tahu aje kau ni!”
“Sebab itulah nama aku Zainal Abdullah.”
“Ceh! Perasan memanjang. Ada aku kata nak tackle Lina esok? Tak, kan? Jadi, jangan pandai-pandai buat andaian.” Irsyad pula ingin menduga. Entah apa akal Zainal lagi.
“Taklah secara direct. Kias-kias kau tadi aku dah faham. Tentu Meeda beritahu kau sesuatu tentang Lina dan kerana itu kau tiba-tiba ubah pendirian menjadikan Meeda sebagai sahabat kau pula. Bercakap tentang Lina sekarang ni pun aku tengok muka kau berubah. Ada apa-apa rahsia ke?” Zainal masih ingin mengusik.
Selama ini, bukan dia tak tahu layanan yang diberikan Lina terhadap Irsyad melebihi sahabat. Tapi Lina pandai menyembunyikan perasaan, sikapnya membatasi. Dia yang pandai membuat orang lain menyangka Lina sekadar bersahabat dengan mereka. Sedangkan jika dibandingkan layanan Lina padanya amat berbeza sekadar berbasa-basi bila berbual. Zainal yakin dengan telahannya dan esok dia akan buktikan.
“Okey, aku mengaku. Selama ni mata aku buta dengan perasaan suka pada Meeda sehingga mempergunakan Lina. Tapi selama bersama dia, aku mula rasa timbul perasaan lain di hati. Pernah sekali aku memerhatikan dia berbual dengan kau rancak. Aku cemburu melihat gaya dia berlawan cakap dengan kau. Entah kenapa hari tu aku boleh marah dia, tapi dia cool aje.
Walaupun kami dah kenal selama satu tahun setengah, tapi banyak yang aku tak tahu tentang dia. Dia tu perahsia sangat. Dibandingkan dengan Meeda yang lebih berterus terang tentang hati dan perasaan. Sekarang aku tahu bahawa aku bukan terpikat pada kecantikan Meeda, sebaliknya aku...”
“Mengaku ajelah kau dah mula sukakan Lina tu. Tak payah panjangkan cerita. Aku pun dah mengantuk,” pintas Zainal. Dia sesekali menguap. Kantuknya tak boleh ditahan lagi.
“Ya, aku mengaku! Aku mula fikirkan tentang Lina, sepanjang perjalanan balik tadi, aku asyik fikirkan kata-kata Meeda. Ada juga betulnya. Lina lain dari yang lain. Lagipun Meeda sendiri mengaku yang dia cintakan Khairul.” Bicara Irsyad terhenti melihat Zainal sudah terlena.
“Hah? Apa kau kata?” Zainal menyedari dia terlelap seketika.
Irsyad ketawa kuat melihat gaya Zainal yang terpisat-pisat menggosok mata, cuba untuk memaksa matanya bertahan.
“Kalau mengantuk, pergilah tidur kat bilik,” dorong Irsyad.
Zainal hanya menurut kata. Diperhatikan Zainal sehingga hilang di sebalik pintu biliknya. Dia sendiri pun dah mengantuk. Dia mengemas kulit kacang dan tin minuman sebelum ke bilik air.
Dia kemudian membaringkan tubuh di katil yang empuk di biliknya sendiri. Bilik yang dekorasinya berubah setiap tahun mengikut cita rasanya. Sejak kematian papa, dia tidak lagi meminta yang bukan-bukan pada mama. Kerana dia mengerti, mama penat menguruskan perniagaan yang ditinggalkan arwah papa. Ketika itu dia masih kecil. Dia berjanji, bila tiba masanya nanti dia akan mengambil alih syarikat peninggalan arwah papa.



Tiada ulasan: