Jumaat, 18 Januari 2013

Kuala Lumpur Malaysia

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Selamat Sejahtera.

Kuala Lumpur (Tulisan Jawi: كوالا لومڤور, singkatan: KL) atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ialah ibu negara dan bandar terbesar di Malaysia. Kawasan Wilayah Persekutuan ini yang meliputi tanah seluas 244 km2 (94 batu²), diduduki 1.63 juta orang mengikut banci tahun 2010.[1] Kuala Lumpur tergolong dalam sebuah kawasan metropolitan besar yang turut meliputi sebahagian besar negeri Selangor, iaitu Lembah Klang, sebuah kelompokan bandar yang diduduki 7.2 juta orang[2], dan juga kawasan metropolitan yang paling pesat membangun di negara dari segi bilangan penduduk dan ekonomi.[3]
Kuala Lumpur merupakan tempat letaknya Parlimen Malaysia, dan juga pernah menjadi lokasi cabang eksekutif dan kehakiman kerajaan persekutuan yang kini bertapak di Putrajaya sejak tahun 1999.[4] Namun begitu, terdapat beberapa cawangan kehakiman yang kekal di ibu kota ini. Kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong, iaitu Istana Negara, juga terletak di Kuala Lumpur. Bandar raya ini juga merupakan pusat kebudayaan dan ekonomi Malaysia kerana kedudukannya selaku ibu negara dan bandar raya primat.[5] Kuala Lumpur ditarafkan sebagai bandaraya dunia alfa, dan juga satu-satunya bandar raya global di Malaysia, menurut Globalization and World Cities Study Group and Network (GaWC).[6]
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah salah satu daripada tiga buah Wilayah Persekutuan Malaysia, dan juga sebuah enklaf dalam negeri Selangor, di pantai barat tengah Semenanjung Malaysia.[7]
Semenjak 1990-an, bandar raya ini menjadi tuan rumah kepada berbilang acara sukan, politik dan kebudayaan, termasuk Sukan Komanwel 1998 dan Kejohanan Dunia Formula Satu.[8] Selain itu, di Kuala Lumpur terdirinya menara berkembar tertinggi di dunia, iaitu Menara Berkembar Petronas.[9]
Kuala Lumpur dihubungkan dengan dunia luar oleh dua buah lapangan terbang, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang kini hanya berkhidmat untuk penerbangan dalam negara.

Sejarah

Rencana utama: Sejarah Kuala Lumpur
Sejarah moden Kuala Lumpur bermula pada 1850-an, ketika ketua Melayu Klang, Raja Abdullah,[10] mengupah buruh Cina untuk membuka lombong timah yang baru dan lebih besar.[11] Mereka tiba di kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang untuk membuka lombong di Ampang.[11] Sungai Gombak pernah dikenali sebagai Sungai Lumpur, maka nama asal untuk bandar ini ialah "Pengkalan Lumpur", lama-kelamaan diberi nama Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian, lombong timah dibuka di Pudu dan Batu.
Lombong-lombong ini berkembang menjadi kawasan perdagangan yang semakin diterima sebagai bandar sempadan. Banyak sekali kemelut yang dialami Kuala Lumpur yang masih muda itu, terutamanya Perang Saudara Selangor, di samping diserang wabak penyakit, kejadian kebakaran dan banjir.[11] Sekitar 1870-an, Kapitan Cina Kuala Lumpur, Yap Ah Loy menjadi pemimpin yang bertanggungjawab memastikan ketahanan diikuti pertumbuhan sistematik bandar ini. Beliau mula membangunkan Kuala Lumpur dari sebuah tempat kecil yang tidak dikenali menjadi bandar perlombongan yang giat sekali ekonominya.[12] Pada tahun 1880, ibu negeri Selangor berpindah dari Klang ke Kuala Lumpur yang jauh lebih strategik.[13]

Pembinaan semula


Kapitan Yap Ah Loy pengasas dan pemacu kota Kuala Lumpur moden.[14]
Pada tahun 1881, berlakunya malapetaka kebakaran besar disusuli banjir besar, memusnahkan struktur kayu atap bangunan-bangunan Kuala Lumpur. Residen British di Selangor, Frank Swettenham, bertindak dengan mewajibkan semua bangunan dibina daripada batu-bata dan jubin sahaja.[13]
Kapitan Yap Ah Loy telah membeli hartanah di sebuah tanah pinggiran kota dan menyarankan penghasilan batu-bata untuk pembinaan semula kota Kuala Lumpur. Tempat tersebut kini dikenali Brickfields. Kesannya, bangunan-bangunan atap daun nipah telah digantikan batu-bata. Kebanyakan bangunan batu-bata baru menyerupai rumah kedai di China Selatan, dengan ciri-ciri "kaki lima" dan juga hasil kemahiran pertukangan kayu Cina, maka menyerlahkan seni bina eklektik rumah kedai tersendiri yang biasa terdapat di rantau ini. Pengangkutan ke bandar ini dipermudahkan lagi dengan landasan keretapi. Selepas itu, Kapitan Yap Ah Loy telah membelanja wang sejumlah $20,000 untuk membina jalan raya. Jalan-jalan tersebut merangkumi Jalan Ampang (Ampang Road), Jalan Pudu (Pudoh Road), Jalan Petaling (Petaling Street) yang kini merupakan arteri utama kota KL. Sekolah pertama Kuala Lumpur juga diasaskan sekitar masa ini oleh Kapitan Yap Ah Loy. Sebagai Kapitan Cina, kuasa dikurniakannya setaraf pembesar Melayu, beliau menggubal pelbagai undang-undang dan peraturan dan menyusun semula struktur penempatan.
Di samping itu, perkilangan tepung ubi dibangunkannya di Jalan Petaling. Sultan Selangor Sultan Abdul Samad mempunyai kepentingan dalam projek tersebut. Beliau juga telah menegakkan keamanan dan ketenteraman kota dengan bantuan hanya 6 orang polis. Kapitan telah membina penjara besar yang mampu memuatkan 60 tahanan pada suatu masa. [15]Beliau juga menggalakkan Orang Melayu berusaha padi di sekitar kota untuk menampung pembangunan kota. Dengan inilah, asas yang kukuh telah disediakan untuk pembangunan pesat Kuala Lumpur berikutnya. Berikutan kepesatan pembangunan pada 1890-an, maka wujudnya sebuah Lembaga Kebersihan (Sanitary Board). Pada tahun 1896, kejayaan Yap Ah Loy membangun kota menyebabkan Kuala Lumpur dipilih sebagai ibu negara Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang baru. Kuala Lumpur turut dinamakan ibu negara Persekutuan Malaysia yang berdaulat. [16]

Perang Dunia Kedua


Tentera Jepun membersihkan jalanan Kuala Lumpur ketika Perang Dunia II.
Pelbagai komuniti berlainan keturunan mencari tempat tinggal di merata Kuala Lumpur. Kaum Cina menetap di sekitar pusat perdagangan Medan Pasar (Market Square) di timur Sungai Klang, ke arah Pekan Cina (Jalan Petaling). Kaum Melayu, Chettiar India, dan India Muslim pula menetap di sepanjang Java Street (kini Jalan Tun Perak). Padang yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka, merupakan pusat pejabat pentadbiran British.[11]
Ketika Perang Dunia Kedua, Kuala Lumpur ditawan oleh tentera Jepun pada 11 Januari 1942 dan menguasainya bersama seluruh Tanah Melayu sehingga 15 Oktober 1945, apabila panglima besar Tentera Kawasan Ketujuh Jepun di Singapura dan Tanah Melayu, Seishirō Itagaki, menyerah kalah kepada pentadbir British selepas pengeboman atom Hiroshima dan Nagasaki.[17] Kuala Lumpur meredah zaman peperangan, kejatuhan nilai getah dan timah dan zaman darurat ketika Tanah Melayu berdepan dengan pemberontakan komunis.[13] Pada tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu merdeka dari pemerintahan British.[18] Kuala Lumpur kekal sebagai ibu negara selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Peristiwa Mei 13 dan selepasnya

Tanggal 13 Mei 1969 menyaksikan salah satu rusuhan kaum di Malaysia yang meletus antara kaum Melayu dan Cina di Kuala Lumpur.[19]. Rusuhan ini menyebabkan 196 orang terkorban,[19] lantas menyebabkan pembaharuan besar dalam dasar ekonomi negara untuk keadilan sosial yang menyeluruh.
Kuala Lumpur mencapai status bandar raya pada tahun 1972,[20] menjadikannya petempatan pertama di Malaysia yang dikurniakan status itu sejak mencapai kemerdekaan. Pada 1 Februari 1974, Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan,[21] lalu menyerahkan status ibu negeri Selangor kepada Shah Alam pada tahun 1978.[22]
Pada 14 Mei 1990, Kuala Lumpur menyambut 100 tahun kerajaan tempatannya dengan memperkenalkan lagu dan bendera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pada tahun 1998, sebuah pergerakan politik yang dikenali sebagai Reformasi bergiat di bandaraya ini,[23] berikutan pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di samping mencetuskan berkali-kali perarakan bantahan sehingga tahun 1999, yang mana para penyokong Anwar menyesakkan jalan-jalan untuk menggesa pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan, antara lainnya.[23]
Pada 1 Februari 2001, Putrajaya diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan dan juga pusat kerajaan persekutuan Malaysia.[24] Fungsi-fungsi pentadbiran dan kehakiman kerajaan beralih dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Namun begitu, Kuala Lumpur masih mengekalkan fungsi perundangan,[25] dan juga kekal sebagai kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong.[26]

Kerajaan

Kerajaan tempatan

Tugas pentadbiran bandar raya dipikul oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebuah agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan Malaysia.[27] DBKL bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kebersihan awam, pelupusan dan pengurusan sampah dan bahan buangan, perancangan bandar, perlindungan alam sekitar dan kawalan pembinaan, pembangunan sosial dan ekonomi dan penyelenggaraan prasarana bandar secara amnya. Kuasa eksekutif dipegang oleh Datuk Bandar yang dilantik untuk penggal tiga tahun oleh Kementerian Wilayah Persekutuan. Sistem perlantikan datuk bandar ini diamalkan sejak pilihan raya kerajaan setempat digantung pada tahun 1970.[28]
Semenjak Kuala Lumpur menjadi sebuah Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974, bandaraya ini pernah dipimpin oleh sebelas orang Datuk Bandar.[29] Datuk Bandar Kuala Lumpur kini ialah Dato Ahmad Phesal Talib .

Politik negara

Kuala Lumpur ialah tempat terletaknya Parlimen Malaysia yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bandaraya ini diwakili di Dewan Rakyat oleh sebelas orang Ahli Parlimen,[31] yang diundi untuk penggal lima tahun. Setelah sekian lama cenderung dikuasai oleh Barisan Nasional, segalanya berubah dengan pilihan raya 8 Mac 2008 yang menyaksikan parti pembangkang menguasai kerusi-kerusi parlimen untuk Kuala Lumpur, iaitu Parti Tindakan Demokratik (5 kerusi), Parti Keadilan Rakyat (4 kerusi), dan Parti Islam Se-Malaysia (1 kerusi); cuma tinggal satu kerusi Dewan Rakyat yang diduduki oleh BN iaitu Zulhasnan Rafique yang mewakili Setiawangsa.

Geografi

Rencana utama: Geografi Kuala Lumpur

Medan pejalan kaki Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Geografi Kuala Lumpur dicirikan oleh lembah besar yang dikenali sebagai Lembah Klang yang bersempadan dengan Banjaran Titiwangsa di timur, beberapa banjaran kecil di utara dan selatan, dan Selat Melaka di barat. Kuala Lumpur memetik namanya daripada kuala yang menemukan Sungai Klang dan Sungai Gombak di tengah-tengah ibu kota itu.[32]
Kuala Lumpur yang terletak di tengah-tengah negeri Selangor, pernah tertakluk di bawah pemerintahan kerajaan negeri Selangor, sehingga dipisahkan pada tahun 1974 untuk menjadi Wilayah Persekutuan pertama yang ditadbir secara terus oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia. Lokasinya di pantai barat Semenanjung Malaysia yang lebih luas tanah ratanya berbanding pantai timur, menyumbang kepada pembangunan yang lebih pesat berbanding bandar-bandar lain di Malaysia.
Pentadbiran bandar raya Kuala Lumpur meliputi kawasan seluas 243.65 km2 (94.07 batu²), dengan ketinggian tanah purata 21.95 m (72.0 ka).

Iklim dan cuaca

Terlindung oleh Banjaran Titiwangsa di timur dan pulau Sumatera, Indonesia di barat, Kuala Lumpur beriklim hutan hujan tropika (Pengelasan iklim Köppen Af) yang panas dan cerah dengan curahan hujan yang lebat sepanjang tahun, terutamanya ketika musim monsun timur laut dari bulan Oktober hingga Mac. Suhunya agak malar iaitu maksimumnya sekitar 31 and 33 °C (88 and 91 °F) tetapi tidak pernah melampaui 37 °C (99 °F), sementara minimumnya sekitar 22 and 23.5 °C (72 and 74 °F) dan tidak pernah kurang daripada 19 °C (66 °F). Kuala Lumpur lazimnya menerima curahan hujan sebanyak 2,266 mm (89.2 in) setiap tahun; bulan Jun dan Julai agak kering, namun demikian curahan hujan biasanya melebihi 125 mm (5 in) sebulan.
Banjir seringkali berlaku di Kuala Lumpur apabila hujan turun dengan lebatnya, khususnya di pusat bandaraya dan kawasan hilir.[33] Adakalanya, Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dicemari oleh jerebu akibat kepulan zarah-zarah habuk dari kebakaran hutan di Pulau Sumatera, menjadikan jerebu sebagai salah satu punca utama pencemaran di bandaraya di samping pembakaran terbuka, pengeluaran bahan-bahan pencemar dari kenderaan bermotor dan kerja-kerja pembinaan.

Ekonomi

Rencana utama: Ekonomi Kuala Lumpur

Medan Pasar.
Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan bandar di sekelilingnya membentuk rantau yang paling berindustri dan paling pesat pembangunan ekonominya di Malaysia.[3] Walaupun pentadbiran kerajaan persekutuan berpindah ke Putrajaya, namun jentera-jentera kerajaan tertentu seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta kebanyakan kedutaan dan misi diplomatik kekal di Kuala Lumpur.[36]
Bandaraya ini juga masih merupakan pusat ekonomi dan perniagaan negara, tidak lupa juga pusat kewangan, insurans, hartanah, media dan kesenian Malaysia. Pembangunan prasarana di kawasan-kawasan sekeliling seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, pembinaan Koridor Raya Multimedia dan peluasan Pelabuhan Klang mengukuhkan lagi kepentingan ekonomi bandaraya ini. Bursa Malaysia juga membentuk salah satu kegiatan ekonomi utama di Kuala Lumpur.
Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Kuala Lumpur dianggarkan bernilai RM73,536 juta pada tahun 2008 dengan purata kadar pertumbuhan tahunan 4.2%.[37][38] KDNK per kapita untuk Kuala Lumpur pada tahun 2008 ialah RM48,556, dengan purata kadar pertumbuhan tahunan 5.9%.[37][39] Jumlah tenaga kerja di Kuala Lumpur dianggarkan sekitar 838,400 orang.[40] Sektor perkhidmatan merangkumi kewangan, insurans, hartanah, khidmat perniagaan, pemborongan dan peruncitan, restoran dan hotel, pengangkutan, simpanan dan komunikasi, utiliti, khidmat peribadi dan khidmat kerajaan, membentuk paling ramai tenaga kerjanya iaitu 83.0% daripada jumlah guna tenaga.[40] 17% yang selebihnya berada dalam sektor perkilangan dan pembinaan.
Sektor perkhidmatan terbesar nyata terdapat pada bilangan syarikat perbankan dan insurans baik tempatan mahupun antarabangsa yang beroperasi di bandaraya ini. Kuala Lumpur bakal menjadi pusat kewangan Islam sedunia[41] kerana semakin banyaknya institusi kewangan yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam serta kehadiran institusi kewangan dari Timur Tengah seperti Al-Rajhi Bank[42] dan Kuwait Finance House. Bandaraya ini menempatkan banyak cawangan perniagaan syarikat luar negara termasuk pejabat serantau atau pusat sokongan untuk pelbagai syarikat multinasional, terutamanya kewangan dan perakaunan, dan teknologi maklumat. Kebanyakan syarikat terbesar di dunia beribu pejabat di sini dan setakat Disember 2007, terdapat 14 buah syarikat dalam senarai Forbes 2000 (kecuali Petronas) yang bertapak di Kuala Lumpur.[43]
Kegiatan-kegiatan ekonomi penting yang lain di bandar ini termasuk perkhidmatan pendidikan dan kesihatan. Banyak sekali institusi-institusi pendidikan utama yang menawarkan kursus-kursus beraneka bidang dalam lingkungan sempadannya, termasuk institusi awam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perubatan Antarabangsa dan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, serta sebilangan besar kolej swasta seperti Universiti Tun Abdul Razak dan Universiti Tunku Abdul Rahman yang menarik penuntut dari dalam dan luar negara. Terdapat berbilang-bilang pusat kepakaran perubatan dan hospital awam dan swasta yang menawarkan perkhidmatan kesihatan am serta rawatan dan pembedahan pakar untuk kegunaan warga tempatan mahupun pelancong dari luar.
Semakin banyak penekanan diberikan untuk meluaskan skop ekonomi bandaraya kepada kegiatan perkhidmatan lain seperti penyelidikan dan pembangunan yang menyokong seluruh ekonomi Malaysia. Kuala Lumpur selama bertahun-tahun lamanya menjadi tuan rumah kepada pusat-pusat penyelidikan terpenting seperti Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia dan Institut Penyelidikan Perubatan[44].

Pelancongan

Sektor pelancongan juga tidak kurang penting peranannya dalam ekonomi Kuala Lumpur, bukan sahaja menyediakan pekerjaan berpendapatan, malah meluaskan peluang perniagaan. Oleh itu, didirikan berbilang rantaian hotel di ibu kota ini. Kuala Lumpur juga berkembang menjadi destinasi beli-belah antarabangsa dengan beraneka pusat beli-belah yang memasarkan jenama tempatan dan antarabangsa yang tersohor. Pelancongan persidangan, terutamanya yang melibatkan penganjuran konvensyen, turut berkembang dewasa ini hingga menjadi komponen penting dalam industri pelancongan.
Antara destinasi pelancongan utama di Kuala Lumpur termasuk Dataran Merdeka, Parlimen Malaysia, Istana Budaya, Istana Negara, Menara Kuala Lumpur, Muzium Negara, Pusat Dagangan Dunia Putra, Tugu Negara, dan tempat-tempat ibadah seperti Masjid Jamek, Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan.[45]; ditambah pula dengan Aquaria KLCC, Batu Caves, Makam Pahlawan, Pusat Sains Negara, Jalan Petaling, Pusat Pelawat Royal Selangor, Zoo Negara, tidak lupa juga acara-acara seperti pusat kebudayaan Melayu, perayaan kebudayaan Cina di Tokong Thean Hou dan perarakan Thaipusam di Kuil Sri Maha Mariamman. Segitiga Emas, iaitu pusat komersil ibu kota, merangkumi Menara Kembar Petronas dan dihidupkan oleh kelab malam, kedai arak dan pusat hiburan, seperti Beach Club, Espanda, Hakka Republic Wine Bar & Restaurant, Hard Rock Cafe, Luna Bar, Nuovo, Rum Jungle, Thai Club, Zouk, dan bermacam-macam lagi yang terletak sepanjang Jalan P. Ramlee, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang.
Beraneka jenis tempat penginapan dan hotel dari yang murah hingga yang berbintang lima, tumbuh bagai cendawan di merata bandar untuk menampung kemasukan pelancong secara besar-besaran setiap tahun, apatah lagi banyak sekali hotel berhampiran kawasan hiburan dan perniagaan Kuala Lumpur.

Peruncitan


Berjaya Times Square, bangunan terbesar yang dibina dalam satu fasa di dunia.
Kuala Lumpur sahaja diduduki oleh 66 pusat beli-belah, menjadikannya pusat peruncitan dan fesyen Malaysia.[46] Sektor beli-belah di Malaysia menyumbangkan RM 7.7 bilion (USD 2.26 bilion) atau 20.8% daripada sumbangan keseluruhan pelancongan sebanyak RM 31.9 bilion pada tahun 2006.[47]
Suria KLCC ialah salah sebuah destinasi beli-belah utama di Malaysia kerana terletak di bawah Menara Berkembar Petronas. Selain Suria KLCC, Bukit Bintang juga menikmati tumpuan kedai beli-belah yang tertinggi di Kuala Lumpur. Bukit Bintang yang terlingkung dalam Segi Tiga Emas Kuala Lumpur, meliputi 3 batang jalan raya, iaitu Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi and Jalan Sultan Ismail. Bukit Bintang menempatkan pelbagai kedai kopi, kedai makan alfresco (luaran) dan kompleks beli-belah seperti Berjaya Times Square, Plaza Bukit Bintang, Lot 10, Plaza Low Yat, Pavilion KL, Starhill Gallery dan Plaza Sungei Wang.
Di Kuala Lumpur juga terletaknya gedung beli-belah tunggal terbesar di Malaysia, iaitu Sogo Kuala Lumpur[48] (juga dikenali sebagai KL SOGO) yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Di kawasan Bangsar juga wujud beberapa kompleks beli-belah, termasuk Bangsar Village, Mid Valley Megamall dan The Gardens. Kawasan Damansara di barat laut Kuala Lumpur, biarpun sebenarnya bukan dalam lingkungan ibu kota, diduduki satu-satunya cawangan Ikea di negara ini, dan sekelompok kecil pusat beli-belah seperti The Curve, Ikano Power Centre, NiuXehSui di Ara Damansara dan 1 Utama.

Pasar Seni yang terletak berhampiran Kompleks Dayabumi, menawarkan beraneka cenderahati seni dan kraftangan.
Selain pusat beli-belah, Kuala Lumpur turut menetapkan beberapa kawasan dalam ibu kota untuk memasarkan barangan keluaran tempatan seperti tekstil, fabrik dan kraftangan, contohnya: Jalan Petaling yang bercirikan binaan pra-kemerdekaan yang dipengaruhi tradisi Cina Peranakan dan Eropah[49][50]; tidak lupa juga Pasar Seni, bekas pasar basah utama ibu kota yang kini memasarkan beraneka hasil seni dan kraftangan, baik antik dan seni lukis mahupun pakaian dan cenderamata.
Sejak tahun 2000, Kementerian Pelancongan Malaysia mengadakan acara jualan mega tiga kali setahun iaitu sekitar bulan Mac, Mei dan Disember, yang mana semua pusat beli-belah di negara digalakkan membantu menaikkan nama Kuala Lumpur sebagai destinasi beli-belah utama.[51]

Demografi

Rencana utama: Demografi Malaysia
Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan ialah bahasa utama Kuala Lumpur. Bahasa-bahasa lain yang dituturkan di bandar ini termasuk loghat-loghat Kantonis, Mandarin dan Tamil. Bahasa Inggeris juga berperanan besar sebagai perantara perniagaan dan mata pelajaran wajib di sekolah.[52]

Taman KLCC.
Kuala Lumpur menikmati campuran beraneka budaya termasuk Melayu, Cina, India, Serani, dan juga suku-suku Kadazan, Iban dan pribumi lain dari Malaysia Timur dan Barat.[52][40]
Kepesatan pembangunan Kuala Lumpur turut menarik ramai buruh asing dari Indonesia, Nepal, Burma, Thailand, Bangladesh, Pakistan, India, Sri Lanka, dan Vietnam ke Malaysia.[53][54]
Pada akhir abad ke-18, ketika Eropah mengalami Revolusi Perindustrian, ramai pekerja Cina dari wilayah Fujian dan Guangdong diangkut ke Tanah Melayu untuk mengusahakan industri perlombongan timah yang bertumbuh pesat.[55] Kaum Cina di Kuala Lumpur bertutur dalam pelbagai loghat, tetapi kebanyakannya berketurunan suku Kantonis[56] dan Hakka.[57]
Kaum India membentuk 10% daripada jumlah penduduk Kuala Lumpur (setakat tahun 2000), Kebanyakan mereka beragama Hindu dan bertutur dalam bahasa Tamil dan berbagai-bagai bahasa India yang lain seperti bahasa Hindi, Malayalam, Punjabi, Telugu dan Pashtu. Dalam sejarah, ramai orang India dibawa masuk ke sini ketika zaman penjajahan British di Tanah Melayu.[55]
Agama Islam diamalkan terutamanya oleh kaum Melayu dan komuniti India Muslim. Agama-agama lain yang diamalkan di Kuala Lumpur ialah agama Hindu (terutamanya di kalangan kaum India), Buddha, Konfusianisme dan Taoisme (terutamanya di kalangan kaum Cina) dan Kristian.[58] Justeru, nyata sekali di KL terdapat banyak tempat beribadah untuk para penduduknya yang berbilang agama.

Statistik kependudukan


Jejantas yang menyambungkan Mid Valley Megamall dan The Gardens, menyeberangi sebatang jalan berhias.
Jumlah penduduk dalam lingkungan sebenar bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 2006 dianggarkan berjumlah 1.58 juta,[59] dan meningkat menjadi 1.63 juta pada 2010.[1] Ketumpatan penduduknya adalah 6,696 inhabitants per square kilometre (17,340 /sq mi), menjadikannya kawasan pentadbiran paling tumpat penduduknya di Malaysia. Dengan anggaran jumlah penduduk metropolitan sebanyak 7.2 juta pada tahun 2007 (termasuk bandar-bandar berhampiran di sempadan Selangor), Kuala Lumpur boleh dianggap sebagai bandar raya primat.[59] Penurunan kadar kelahiran yang berterusan di Kuala Lumpur telah menyebabkan peratusan kanak-kanak bawah umur 15 tahun menjunam dari 33% pada tahun 1980 ke 27% pada tahun 2000.[40] Sebaliknya, golongan usia bekerja 15–59 tahun pula meningkat dari 63% (1980) kepada 67% (2000).[40] Golongan warga emas pula, iaitu berusia 60 tahun ke atas juga naik dari 4% (1980) kepada 6% (2000).[40]
Berdasarkan kajian banci Jabatan Statistik, peratusan penduduk Bumiputera di Kuala Lumpur sahaja adalah 38% pada tahun 2000 (banci seterusnya pada tahun 2010) manakala penduduk Cina dan India masing-masing merangkumi 43% dan 10%.[40] Juga kelihatan adalah fenomena peningkatan kehadiran penduduk warga asing di Kuala Lumpur, yang kini meliputi 9% penduduk bandar.[40]
Jenayah Kuala Lumpur menjadi kebimbangan para penduduk baru-baru ini. Antara kegiatan jenayah yang semakin meningkat kadarnya termasuk meragut, ketagihan dadah, perjudian dan maksiat.[60]

Pemandangan bandaraya


Latar langit Kuala Lumpur pada waktu malam.

Gambar panorama yang ditangkap dari pelantar pemandangan Menara Kuala Lumpur.

Pandangan panorama dari pusat bandar Kuala Lumpur, gambar diambil dari hotel di kawasan Changkat Bukit Bintang.

Seni bina


Menara Berkembar Petronas pada waktu senja.
Seni bina Kuala Lumpur merupakan paduan pangaruh kolonial lama, tradisi Asia, ilham Melayu Islam, seni bina moden dan pascamoden.[61] Sebagai sebuah bandar yang agak muda berbanding ibu kota lain di Asia Tenggara seperti Bangkok, Jakarta dan Manila, kebanyakan binaan kolonial di Kuala Lumpur dibina sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Binaan-binaan ini memperlihatkan gaya seni bina Moor, Tudor, Neo-Gothik atau Yunani-Sepanyol.[62] Kebanyakan penggayaannya adalah terubah suai agar memanfaatkan sumber tempatan dan sesuai dengan iklim tempatan yang panas dan lembap sepanjang tahun.
Sebelum Perang Dunia Kedua, di sekitar pusat bandar lama terdapat banyak rumah kedai, kebanyakannya bertingkat dua iaitu kedai di tingkat bawah dan rumah di tingkat atas. Rumah-rumah kedai ini diilhamkan oleh tradisi Cina Peranakan dan Eropah.[49][50] Walaupun sebilangan daripadanya telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan terbaru, namun banyak lagi rumah kedai lama yang masih berdiri di sekitar kawasan Medan Pasar, Jalan Petaling, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Doraisamy, Bukit Bintang dan Tengkat Tong Shin.
Pencapaian kemerdekaan disusuli pembangunan ekonomi pesat dari 1970-an hingga 1990-an, di samping Islam sebagai agama rasmi di negara, telah menyaksikan pembinaan bangunan yang lebih berasa tempatan dan keislaman di sekitar ibu kota, khususnya seni bina yang diilhamkan oleh perkakas kebudayaan Melayu seperti songkok dan keris, di samping disepadukan motif geometri Islam yang melambangkan pembatasan terhadap peniruan alam melalui lukisan sejajar dengan nilai Islam.[63] Contoh-contoh bangunan berseni bina Islam sedemikian ialah Menara Telekom, Menara Maybank dan Kompleks Dayabumi.[64] Sebilangan bangunan pula dibina agar berupa tempat ibadah yang lengkap dengan kubah dan menara masjid, seperti Muzium Kesenian Islam dan Planetarium Negara, biarpun sebenarnya berfungsi sebagai tempat penghayatan sains dan ilmu alam. Menara Berkembar Petronas yang tingginya 452-meter (1,483 ka) direka bina untuk menyerupai motif-motif yang terdapat dalam kesenian Islam.[65]
Pada akhir 1990-an dan awal 2000-an, semakin menjadi-jadi seni bina akhir moden dan pascamoden. Berikutan pembangunan ekonomi, binaan-binaan lama seperti Rumah Bok terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada bangunan baru. Binaan-binaan berangka serba kaca tumbuh bagai cendawan di merata ibu kota, khususnya Menara Berkembar Petronas dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.[66]

Taman


Taman KLCC seperti yang dilihat dari Traders Hotel.
Taman Tasik Perdana, sebidang taman berkeluasan 92-hektar (230-ekar) berhampiran bangunan Parlimen Malaysia, sebuah bekas tempat tinggal kepada seorang pegawai penjajah British, kini merangkumi sebuah Taman Rama-Rama, Taman Rusa, Kebun Orkid, Kebun Bunga Raya dan Taman Burung Kuala Lumpur, iaitu taman burung terbesar di Asia Tenggara.[67] Taman-taman lain dalam ibu kota termasuklah Taman ASEAN, Taman KLCC, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Metropolitan di Kepong, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia,[68] Taman Tasik Permaisuri, Taman Botani, Taman Ekuestrian dan Taman Lembah Barat Bukit Kiara (Rimba Kiara)berdekatan Taman Tun Dr. Ismail, Taman Antarabangsa Bukit Jalil, Tasik Permaisuri, Tasik Bukit Jalil, Tasik Manjalara, Tasik Metropolitan Batu, Datuk Keramat, Arboretum Bukit Kiara, Pudu Ulu dan Alam Damai.[69]
Terdapat tiga hutan simpanan dalam lingkungan ibu kota, iaitu Hutan Simpan Bukit Nanas di pusat bandaraya, iaitu hutan simpan yang paling lama diwartakan dalam negara pada keluasan 10.52 ha/26.0 ekar, Hutan Simpan Bukit Sungai Putih (7.41 ha/18.3 ekar) dan Hutan Simpan Bukit Sungai Besi (42.11 ha/104.1 ekar). Bukit Nanas di tengah-tengah pusat bandaraya ini merupakan salah sebuah hutan dara yang tertua dalam lingkungan bandar raya di dunia.[70] Hutan-hutan ini merupakan tempat tinggal untuk sebilangan spesies fauna termasuk monyet, tupai dan burung.

Pengangkutan


Stesen keretapi lama Kuala Lumpur siap dibina pada tahun 1910.
Tidak seperti kebanyakan bandar raya utama di Asia, berkenderaan sendiri merupakan kaedah pengangkutan utama di Kuala Lumpur.[71] Sebagai ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur menikmati rangkaian jalan raya menyeluruh yang menghubungkannya ke destinasi lain di Semenanjung Malaysia.[72] Kuala Lumpur juga dilengkapi jaringan lebuh raya ekspres bertol, dan pengguna lebuh raya mempunyai pilihan sama ada membayar tol dengan wang tunai ataupun melalui sistem pembayaran elektronik prabayar seperti SmartTAG dan Touch 'n Go.
Dari segi pengangkutan udara, Kuala Lumpur dihubungkan melalui dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang merupakan lapangan terbang utama serta Lapangan Terbang Subang yang pernah menjadi lapangan terbang utama Kuala Lumpur sebelum KLIA dibuka pada tahun 1998.
Pengangkutan awam di Kuala Lumpur terdiri daripada perkhidmatan bas, teksi dan kereta api. Sistem alihan laju di Kuala Lumpur terdiri daripada Laluan Ampang, Laluan Kelana Jaya, KL Monorail dan KTM Komuter, di mana KL Sentral menjadi hab utama pengangkutan rel. Selain sebagai hab pengangkutan aliran pantas, KL Sentral juga menjadi hab utama bagi sistem pengangkutan kereta api kendalian KTM Antarabandar yang berkhidmat dari Singapura di selatan, sampai Hat Yai, Thailand, di utara.[73]

Platform stesen LRT KLCC, sebuah stesen Aliran Kelana Jaya (Putra LRT) di Kuala Lumpur.
Pengendali pengangkutan awam yang terbesar di Kuala Lumpur dan Lembah Klang ialah RapidKL.[74] Semenjak mengambil alih tugas Intrakota Komposit Sdn Bhd, RapidKL telah menyusun semula seluruh rangkaian bas di Kuala Lumpur dan kawasan metropolitan Lembah Klang[75] demi mempertingkatkan mutu sistem pengangkutan awam Kuala Lumpur.
Di Kuala Lumpur, kebanyakan teksi berwarna merah dan putih. Syarikat-syarikat teksi yang besar seperti Syarikat Teksi Oren Innovasi Timur diberi kelulusan dari kerajaan berwarna selain yang ditetapkan. Kuala Lumpur merupakan salah satu kota ASEAN di mana kebanyakan teksi mengunakan bahan bakar kenderaan gas asli (NGV).
Selain pengangkutan darat dan udara, Kuala Lumpur dihubungkan ke laluan perkapalan antarabangsa melalui Pelabuhan Klang. Pelabuhan Klang adalah pelabuhan terbesar dan paling sibuk di Malaysia.[76]

Kebudayaan

Rencana utama: Budaya di Kuala Lumpur

Kesenian

Kuala Lumpur ialah sebuah pusat kegiatan dan acara kebudayaan di Malaysia. Antara tempat-tempat kebudayaan terpenting di ibu kota ialah Muzium Negara yang terletak di Lebuhraya Mahameru, menyimpan sebuah koleksi artifak dan lukisan yang terkumpul dari seluruh negara.[77]
Di Kuala Lumpur juga terbinanya sebuah Muzium Kesenian Islam berhampiran Masjid Negara di Jalan Lembah Perdana, yang menempatkan lebih tujuh ribu buah artifak Islam termasuk bahan pameran yang jarang ditemui di samping sebuah perpustakaan buku-buku kesenian Islam.[78] Koleksi muzium ini tidak terhad kepada hasil karya kesenian Timur Tengah, bahkan juga menekankan pusaka kesenian dari Asia, terutama sekali China dan Asia Tenggara. Muzium ini memperlihatkan kubah yang berhiasan menawan dan ruang pameran terbuka yang lebar sekali.
Dewan Filharmonik Petronas merupakan tempat acara seni persembahan terulung di Malaysia yang didiami oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang terdiri daripada ramai pemuzik dari seluruh pelusuk dunia yang mempersembahkan konsert dan persembahan kebudayaan tradisional.[79]

Taman KLCC pada waktu malam.
Balai Seni Lukis Negara terletak di Jalan Temerloh, berhampiran Jalan Tun Razak, di sebidang tanah seluas 5.67-hektar (14.0-ekar) yang berjiran dengan Istana Budaya dan Perpustakaan Negara. Seni bina balai ini menerapkan unsur-unsur seni bina Melayu lama yang disebatikan dengan seni bina moden kontemporari. Balai Seni Lukis Negara berfungsi sebagai pusat kecemerlangan dan amanah warisan seni kebangsaan.
Sebuah lagi pusat seni halus, iaitu Galeri Petronas, terletak dalam pusat beli-belah Suria KLCC, menempatkan hasil karya seni yang berubah-ubah mengikut tema semasa. Galeri Tangsi berdekatan Dataran Merdeka pula menempatkan karya seniman tempatan dan antarabangsa.
Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) di Sentul West ialah salah sebuah pusat seni persembahan tersohor di negara, khususnya untuk teater, muzik dan tayangan filem. Di samping menjadi pusat penerbitan seni tempatan, KLPac turut mendukung artis-artis persembahan bebas tempatan dan serantau.[80]
Persembahan harian tarian dan muzik tradisional ada terdapat di Menara Kuala Lumpur. Persembahan ini dijalankan oleh artis-artis 'Menara Kuala Lumpur Performing Art Groups'
Setiap tahun juga, Kuala Lumpur mengadakan pesta masakan Malaysia International Gourmet Festival[81] dan Kuala Lumpur Fashion Week[82] yang menyaksikan hasil fesyen oleh pereka busana tempatan dan antarabangsa.
Syarikat pengeluar barangan piuter Royal Selangor di Setapak menempatkan sebuah Pusat Pelawat yang membolehkan rombongan diadakan di sekitar pameran, galeri dan kilangnya, terutamanya bengkel latihan pembuatan hasil piuter, "The School of Hard Knocks," yang mana pesertanya diajar menghasilkan pinggan piuter sendiri dengan menggunakan perkakas dan kaedah tradisional.

Sukan dan rekreasi

Kuala Lumpur juga mempunyai berbilang-bilang taman, kebun dan ruang terbuka untuk tujuan rekreasi. Jumlah ruang terbuka untuk kegunaan kemudahan rekreasi dan sukan di ibu kota telah meningkat sebanyak 169.6% dari 586 hektar (1,450 ekar) pada tahun 1984, kepada 1,580 hektar (3,900 ekar) pada tahun 2000.[83]
Kuala Lumpur ialah salah sebuah tuan rumah Kejohanan Dunia Formula Satu tahunan,[8] perlumbaan kereta beroda terbuka Grand Prix A1[84] dan Grand Prix Motosikal[85] yang berlumba di Litar Antarabangsa Sepang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Acara Formula Satu banyak menyumbang kepada bilangan pelancong dan pendapatan pelancongan di Kuala Lumpur. Walaupun mengalami Krisis Kewangan Asia yang menyaksikan penurunan kedatangan pelancongan di bandar-bandar utama yang lain di Asia, namun kedatangan pelancong ke Kuala Lumpur meningkat sebanyak 64.6% dari 6,210,900 pada tahun 1997 kepada 10,221,600 pada tahun 2000.[86]
KL Grand Prix CSI 5*,[87] ialah sebuah acara sukan berkuda tahunan antarabangsa bertaraf lima bintang yang menarik penunggang-penunggang dan kuda-kuda lumba terhandal di dunia ke Malaysia.
Antara acara-acara sukan tahunan lain yang diadakan di bandar ini termasuk KL Tower Run,[88] KL Tower International BASE Jump Merdeka Circuit dan Maraton Antarabangsa Kuala Lumpur. Kuala Lumpur juga merumahkan salah satu peringkat dalam lumba basikal Tour de Langkawi.[89]
Pertandingan badminton Super Series Terbuka Malaysia tahunan juga sering diadakan, tetapi bukan sentiasa, di Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur turut menyediakan pelbagai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa semenjak menganjurkan Sukan Komanwel 1998. Kebanyakan kemudahannya termasuk stadium utama (dengan balapan dan padang bola sepak), stadium hoki dan kolam renang terletak di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, sementara sebuah velodrom dan beberapa lagi kolam renang terletak di Bandar Tun Razak, berhampiran Taman Tasik Permaisuri. Juga terdapat padang bola sepak, kompleks sukan setempat, kolam renang dan gelanggang tenis di sekitar pinggir bandar. Gelanggang badminton dan sepak takraw biasanya diterapkan dalam dewan orang ramai.
Kuala Lumpur mempunyai sebilangan padang golf dalam lingkungan sempadannya, termasuk Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) dan Kelab Golf Perkhidmatan Awam Malaysia di Bukit Kiara, dan Berjaya Golf Course di Bukit Jalil. KL juga menyediakan berbilang-bilang pusat kesihatan swasta besar yang dikendali oleh rangkaian terkemuka seperti California Fitness, Fitness First, Celebrity Gym, True Fitness dan hotel lima bintang utama.

Media

Kawasan metropolitan Kuala Lumpur merupakan pangkalan utama penerbitan akhbar dan tabloid utama di negara seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, Kosmo!, Harakah, Suara Keadilan (bahasa Malaysia); The Star, New Straits Times, The Sun, The Malay Mail (bahasa Inggeris); Sin Chew Jit Poh, China Press, Nanyang Siang Pau (bahasa Cina); Tamil Nesan, Makkal Osai dan Malaysia Nanban (bahasa Tamil). Kuala Lumpur juga dijadikan tapak terdirinya pusat penyiaran RTM dan Media Prima (penyiar TV3, ntv7, 8TV dan TV9) yang menyiarkan rancangan berbabasa Malaysia, Inggeris, Cina Tamil, lain-lain.

Menara TM ialah ibu pejabat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama di Malaysia.
Kuala Lumpur juga merupakan tempat bertapaknya khidmat televisyen berbayar utama negara, iaitu Astro yang menyiarkan beraneka saluran tempatan dan antarabangsa seperti CNN, BBC World, Star World dan HBO.[90] Rangkaian berita berbahasa Arab terkemuka iaitu Al-Jazeera yang bertapak di Doha, mengendali sebuah saluran berita berbahasa Inggeris iaitu Al-Jazeera English untuk menyampaikan maklumat kepada seluruh dunia, dengan salah sebuah pusat penyiaran beritanya di Kuala Lumpur.[91] Saluran muzik Channel [V] International turut menjadikan Kuala Lumpur sebagai tempat unit penerbitan dengan melantik syarikat tempatan Double Vision Sdn Bhd.[92] Pada bulan Mac 2008, Time Out, majalah acara antarabangsa, dilancarkan di Kuala Lumpur selaku bandar sejagat yang ke-24.
Kuala Lumpur turut dipaparkan dalam segala bentuk budaya popular seperti filem, televisyen, muzik dan buku. Antara filem-filem yang berlatarkan Kuala Lumpur termasuk Entrapment, dibintangi Sean Connery dan Catherine Zeta-Jones, dan Children of Men, (dibintangi Clive Owen) yang memaparkan adegan Menara Berkembar Petronas terbakar selama beberapa saat.[93] Buku-buku yang berlatarkan Kuala Lumpur termasuk KL 24/7 oleh Ida M Rahim, Shireen Zainudin dan Rizal Zainudin,[94] My Life As a Fake oleh Peter Carey, dan Democracy oleh Joan Didion.[95] Kuala Lumpur juga disebut dalam lagu dendangan tempatan seperti "Keroncong Kuala Lumpur" oleh P. Ramlee,[96] "Kuala Lumpur, Ibu Kota" oleh Saloma, "Chow Kit Road" oleh Sudirman Arshad, "Senyumlah Kuala Lumpur" oleh Alleycats, "Streets of Kuala Lumpur" oleh Murkyway, "K.L." oleh Vandal, "Kuala Lumpur" oleh Poetic Ammo, "Anak Dara" oleh Azmyl Yunor dan "KL" oleh Too Phat. Kuala Lumpur juga merupakan destinasi yang dilalui oleh rancangan realiti The Amazing Race Asia dan The Amazing Race.[97] Ibu negara Malaysia ini juga kelihatan dalam permainan video, termasuk tiga peringkat dalam Hitman 2: Silent Assassin dan dua peringkat dalam Burnout.

Pendidikan

Menurut perangkaan kerajaan, Kuala Lumpur mencapai kadar celik huruf sebanyak 97.5% pada tahun 2000, iaitu yang tertinggi di kalangan semua negeri dan wilayah di Malaysia.[98]
Di Kuala Lumpur sahaja, terdapat 13 insititusi pendidikan tinggi, 79 sekolah menengah, 155 sekolah rendah dan 136 tadika.[99]
Terdapat beberapa buah institusi terkemuka di ibu kota yang sudah wujud sejak seabad lebih, seperti SMK Victoria (1893); Methodist Girls' School (1896); Methodist Boys' School (1897); Convent Bukit Nanas (1899) dan Institusi St. John (1904).
Di Kuala Lumpur juga bertempatnya Universiti Malaya selaku universiti tertua di Malaysia semenjak kemerdekaan negara, iaitu pada tahun 1962.[100] Antara universiti-universiti lain yang terletak di Kuala Lumpur termasuk Universiti UCSI, Universiti Perubatan Antarabangsa, Universiti Terbuka Malaysia, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Terbuka Wawasan dan kampus cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia terletak di Pangkalan Tentera Sungai Besi, di bahagian selatan Kuala Lumpur, ditubuhkan sebagai pusat pengajian ketenteraan dan teknologi pertahanan utama di negara.[101]

Bandar raya kembar

Kuala Lumpur telah menjalin hubungan persaudaraan rasmi dan perkongsian diplomatik dengan beberapa bandaraya di seluruh dunia.
Negara Kota Status perkongsian Petikan
 India Chennai Bandar kembar [102]
 India Delhi Bandar saudara [103]
 Iran Isfahan Bandar saudara [104][105]
 Iran Mashhad Bandar saudara [106]
 Jepun Osaka Bandaraya perkongsian perniagaan [105][107]
 Malaysia Bandar Melaka Bandar saudara [105]
 Maghribi Casablanca Bandar saudara [105]
 Turki Ankara Bandar saudara [105][108]



Demografi

Ethnicities of Kuala Lumpur - 2010 Census[109]
Kumpulan etnik

peratus
Melayu
  
44.2%
Cina
  
43.2%
India
  
10.3%
Bumiputera lain dan lain-lain
  
1.8%

Religion in Kuala Lumpur - 2010 Bancian[109]
religion

percent
Islam
  
46.4%
Buddha
  
35.7%
Hindu
  
8.5%
Kristian
  
5.8%
Agama Cina
  
1.1%
Other
  
2.0%
No religion
  
0.5%


In March 2008, Time Out, an international listings and events magazine, was launched in Kuala Lumpur as its 24th global city.
Kuala Lumpur has been featured in all aspects of popular culture such as movies, television, music and books. Television series set in Kuala Lumpur include A Tale of 2 Cities (starring Rui En and Joanne Peh). Movie theaters set in Kuala Lumpur include Police Story 3: Super Cop (starring Jackie Chan and Michelle Yeoh), Entrapment (starring Sean Connery and Catherine Zeta-Jones) and Children of Men (starring Clive Owen) where the Petronas Twin Towers were depicted in flames for a few seconds.[110] Kuala Lumpur was referenced in an episode of The Simpsons entitled "Bart Gets Famous", in which the Bumblebee Man stated that "a powerful tidal wave in Kuala Lumpur has killed 120 people".[111] Books which were set in Kuala Lumpur include KL 24/7 by Ida M Rahim, Shireen Zainudin and Rizal Zainudin,[112] My Life As a Fake by Peter Carey, and Democracy by Joan Didion.[113] Kuala Lumpur is mentioned in many songs by local Malaysian artists such as Keroncong Kuala Lumpur by P. Ramlee,[114] Kuala Lumpur, Ibu Kota by Saloma, Chow Kit Road by Sudirman Arshad, Senyumlah Kuala Lumpur by Alleycats, Streets of Kuala Lumpur by Murkyway, K.L. by Vandal, Kuala Lumpur by Poetic Ammo, Anak Dara by Azmyl Yunor, KL by Too Phat, Kotarayaku by Hujan & Altimet, Lagu Untuk Kuala Lumpur by Tom. Kuala Lumpur, along with Putrajaya, was featured in the music video for the single "Dancing Out" by South Korean boy band Super Junior.[115] Kuala Lumpur was also one of the destinations in The Amazing Race Asia and The Amazing Race.[116] Games have also been set in Kuala Lumpur. They include three levels of the game Hitman 2: Silent Assassin and two levels of the PlayStation 2 game Burnout Dominator.

Galeri

Tiada ulasan: