Pejuang Perubahan Akan Dikenang
Dua bulan yang lepas, Prof Diraja Ungku Aziz mengirimkan kepada
saya sebuah buku yang amat mengkagumkan. Saya amat gembira dengan hadiah
yang tidak ternilai itu. Kata Pak Ungku, beliau telah membaca buku
tersebut berulang-ulang kali. Bukunya nipis sahaja. Karya seorang tokoh
melayu agung; Pendeta Za’ba. Akibat tindakan golongan konservertif agama
yang menentang pembaharuan di Perak pada tahun 30an maka
tulisan-tulisan Za’ba diharamkan dan buku tersebut turut tidak dapat
muncul pada hayat Za’ba. Dewan Bahasa telah mengambil tanggungjawab yang
betul dengan mencetaknya walaupun setelah ketiadaan Za’ba. Buku yang
Pak Ungku kirimkan itu bertajuk: Perangai Bergantung Kepada Diri
Sendiri.
Di muka hadapan buku tersebut diletakkan tajuk dan gambar Za’ba. Di
kulit belakangnya diletakkan kata-kata beliau: “Tiap-tiap orang
diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan
tenaganya-tidak pernah disuruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung
kepada doa orang sahaja atau fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja
bagi mendapat kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak! Tuhan tiada
pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan
bacaan-bacaan Qul Hua’llah dari orang apabila mati kelak…” Dengan
melihat kepada tajuk dan dan pertikan tersebut, saya tertanya-tanya
mengapakah Pak Ungku mengirimkannya kepada saya. Ia mendesak saya segera
membaca buku berkenaan. Apabila saya baca saya dapati buku tersebut
sangat hebat. Za’ba bukan sekadar seorang ilmuan bahasa semata, beliau
juga seorang ilmuan agama yang terbilang. Namun sikap agama yang begitu
konservertif pada era beliau telah membunuh kewibawaan tokoh-tokoh yang
seumpama beliau.
Sebenarnya, Za’ba dalam buku berkenaan menceritakan serta mengulas
sikap orang melayu termasuk dalam hal beragama. Sikap suka bergantung
kepada orang dan suka mengambil kesempatan atas nama agama. Menurut
Za’ba, cara beragama yang salah telah melemahkan bangsa melayu. Sikap
enggan menilai semula apa yang menjadi kebiasaan yang kadang-kala
dikaitkan dengan agama membentuk nilai diri yang enggan berubah dan
lemah. Antara kata-kata Za’ba dalam buku tersebut: “Tuhan selalu mencela
keras akan orang-orang yang hanya mengikut dengan buta tuli sahaja apa
yang dikatakan orang atau apa yang biasa dibuat orang. Umpama mereka
yang berdegil mengikut jalan nenek moyang atau pendapat orang
dahulu-dahulu dengan tiada ditimbang lagi salah benarnya atas neraca
timbangan akal sendiri, bahkan tiada dikira walaupun berlawanan dengan
akal fikiran yang insaf dan bersalahan dengan ilmu pengetahuan yang sah
betulnya”. (m.s 24).
Sikap bertaklid buta dalam berbagai perkara terutama hal agama
melambatkan proses pembangunan minda. Maka tidak hairan jika minda agama
kita tidak mampu bersaing dengan pembangunan fizikal yang dibuat.
Walaupun Za’ba menulis pada tahun tiga puluhan, namun realiti hari ini
masih terasa kesegaran tulisan tersebut. Kata Za’ba: “Demikianlah dicela
Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang
telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa lagi betul
atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan pengetahuan
sendiri menguji benar salahnya. Kerana sesungguhnya perbuatan demikian
itulah yang dikatakan bertaklid buta. Bertaklid buta itu dikeji oleh
agama dan oleh sekalian orang berakal, kerana banyak mudaratnya dan kuat
kemungkinannya boleh membawa tersimpang kepada jalan yang tiada betul
dengan tiada kita perasan. Tuhan dan Rasulnya tidak menyukai orang-orang
bertaklid buta kepada fikiran dan pendapat orang lain. Imam-imam
Mujtahidun dahulu kala tempat orang tertaklid itu sendiri tidak pernah
menggemarkan orang-orang bertaklid buta sahaja kepadanya atau memastikan
orang sekelian menerima sahaja segala fahamannya dan pendapatnya.
Sebaliknya mereka sentiasa menggalakkan murid-murid dan
pengikut-pengikut mereka supaya menyelidik sendiri, memeriksa dan
menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah
mereka peroleh itu”.(m.s. 25-26)
Sesungguhnya perjuangan mengajak supaya kita melihat agama berasaskan
dalil atau fakta bukan taklid adalah perjuangan yang dipelopori oleh
semua para mujaddid ( tokoh pembaruan). Di tanahair kita, para pejuang
pembaharuanlah yang berusaha mengeluarkan masyarakat melayu dari
berbagai khurafat dan tahyul yang sebahagian menggunakan nama agama
kepada akidah yang bersih. Mereka jugalah yang mengeluarkan wanita dari
kuasa paksaan bapa dalam perkahwinan, larangan wanita ke pusat pengajian
dan seumpamanya. Mereka juga yang mengajak diubah amalan-amalan agama
yang tidak berasaskan dalil bahkan lebih bersifat ‘bisnes cari untung’
seperti upah-mengupah ketika kematian. Tol-tol kematian tersebut telah
mengorbankan harta benda anak yatim dan orang miskin. Apabila berlaku
kematian maka masyarakat berkumpul dan memakan harta peninggalan si
mati, bukan berfikir tentang masa depan dan kebajikan kaum keluarganya.
Ia sangat berbeza dengan ajaran Islam yang menyebut: “Apabila datang
berita kematian Ja’far bin Abi Talib, Nabi s.a.w bersabda: “Buatlah
untuk keluarga Ja’far makanan kerana telah datang perkara yang
mengganggu urusan mereka” (Hadis sahih riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan
lain-lain).
Tujuan para pejuang perubahan tidak lain, selain dari ingin melihat
kebajikan, kegemilangan umat dan kemampuan mereka menghadapi cabaran
zaman. Juga memelihara pegangan umat sehingga jangan seakan menganggap
pandangan orang bergelar agama kesemuanya mesti ditelan bulat-bulat
tanpa dinilai dengan neraka al-Quran dan al-Sunnah. Tiada siapa pun yang
maksum di kalangan umat melainkan Muhammad bin Abdillah s.a.w. insan
yang ditabalkan menjadi rasul. Kata al-Imam Malik bin Anas r.a.: “Tiada
seorang pun selepas Nabi s.a.w melainkan boleh diambil dan ditolak
pendapatnya kecuali Nabi s.a.w” (Al-‘Ajluni, Kasyf al-Khafa, 2/119,
Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi). Kata Za’ba yang menyelusuri
pegangan ini: “Sekalian imam besar Islam zaman dahulu itu walau
“Imam-imam Mujtahidun” pun dan walau bagaimanapun alimnya, tidaklah
pernah dikira sebagai orang yang maksum yakni terpelihara daripada
tersilap dan tersalah. Mereka sendiri sentiasa sedar yang diri mereka
tidak bersifat maksum itu. Mereka bukannya nabi; jika nabi baharulah
layak dikira maksum pada apa-apa yang mereka katakan dari Allah dalam
hal agama.
Sungguhlah sebagai ulama mereka sekalian jadi waris kepada nabi-nabi;
tetapi itu tidaklah memestikan sifat maksum pada diri mereka dan pada
segala-gala pendapat fahaman mereka. Maka oleh sebab itu tidaklah pernah
mereka mendakwa sekalian pendapat dan fahaman yang telah mereka
keluarkan itu tentu betul sahaja dan mesti disetujui oleh orang
sekalian, atau semuanya tetap layak dan sesuai kelak bagi segala hal dan
zaman hingga bila-bila pun. Bahkan jangankan mereka mendakwa demikian,
malahan sebaliknya mereka sendiri selalu berkata: “Kalau ada apa-apa
perkataan atau pendapatku yang didapati oleh orang-orang kemudian
bersalahan atau berlawanan dengan hadis sahih Nabi s.a.w., maka
lemparkanlah ke tembok!” Apa lagilah jika sekiranya ada didapati
bersalahan dengan al-Quran! Mereka tiada suka orang mengikut dengan
taklid buta kepada apa-apa pendapat dan fahaman mereka itu. Mereka
selalu suruh uji dan timbang sendiri barang apa-apa jua yang mereka
katakan dalam kitab-kitab karangan mereka: Jika didapati betul bolehlah
ikut; jika tidak betul atau tidak sesuai lagi, buanglah atau baiki akan
dia. (m.s 26)
Malangnya golongan yang berkepentingan atas nama agama pada setiap
zaman mencemburui proses perubahan dan pembaharuan berdasarkan al-Quran
dan al-Sunnah. Sedangkan umat memerlukannya. Lalu yang berkepentingan
menghasut sesetengah pihak agar menganggap proses pembaharuan adalah
sesuatu buruk dan patut ditentang. Za’ba menjawab hal ini dengan tegas,
katanya: “Kita semuanya berkehendakkan baik dan tiada siapa yang
berkehendakkan jahat. Kita ingin hendak membaiki segala hal ehwal kita
yang kekurangan, sama ada pada perkara dunia dan pada perkara agama;
hendak mengubah segala sifat keadaan kita yang buruk atau kurang baik
ditukar dengan yang baik dan yang terlebih baik. Kita hendak mengganti
segala hal kita yang mundur dan ketinggalan, ditukar dengan yang maju
dan bertambah elok mengikut kehendak zaman pada segala yang baik. Kita
hendak mengganti segala jalan fikiran kita yang kuno dan kolot dan
segala kepercayaan atau pegangan kita yang sudah lapuk dan reput,
ditukar dengan fikiran-fikiran baharu yang segar dan hidup dan dengan
kepercayaan yang dapat disaksikan benarnya melalui ujian Quran bersendi
akal dan ilmu pengetahuan. Kita mahu pemulihan dan pembaharuan bukan
hendak berkokok pada jalan yang telah hanyut dari tujuan asalnya dan
bukan pula berdegil hendak menyimpan jalan fikiran lama yang telah
membeku jadi adat atau kepercayaan-kepercayaan lama yang sudah berkulat
dan bercendawan! (m.s 38)
Sunggguh pelik , seorang sarjana besar bangsa seperti Za’ba
diharamkan pemikiran dan tulisan nya oleh golongan agama yang sempit
pada zamannya. Namun, apa yang hendak dihairankan, tokoh agung Nusantara
iaitu Buya Hamka telah diharamkan berceramah di negeri tertentu di
Tanah Melayu ketika hayatnya. Hanya kerana pandangan Hamka tidak dapat
diterima oleh sesetengah mufti Tanah Melayu. Sehingga Hamka menulis
beberapa sindiran yang amat tajam terhadap mufti-mufti di Tanah Melayu.
Hal seperti inilah yang Za’ba sebutkan: “Maka hanyalah pada zaman-zaman
yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja
orang-orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi
mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat
seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulu kala itu. Ya, jika dicari
sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau
berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu
hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah
bertaklid buta! Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat
seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu – iaitu melepaskan diri
daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan
kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang –
maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak
selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa
bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh
pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak
melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi. Yang
betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga
kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka
kalau ada orang lain pula dapat berbuat.”.(m.s 33).
Demikian nasib yang diterima oleh para pejuang perubahan pada setiap
zaman. Bacalah sejarah perjuang Syed Syeikh al-Hadi, Mustafa Abdurrahman
dan lain-lain di Tanah Melayu. Namun mereka telah nekad yang akhirnya
melimpahkan kebaikan kepada generasi kemudian. Dalam konteks yang lebih
global, lihatlah sumbangan perjuangan tajdid seperti Ibn Taimiyyah, Ibn
Qayyim, Rasyid Redha dan lain-lain. Walaupun sebahagian besar mereka
di’gam’kan pada zaman mereka, namun nama mereka terus dikenang oleh
generasi kemudian. Bak kata pepatah “Al-Baqa li al-Aslah” iaitu
“Berkekalan itu bagi yang terbaik”. Pihak yang men’gam’kan mereka telah
pun dilupai namanya, namun nama para pejuang terus dikenang. Lihat
al-Imam Ahmad yang dihukum dengan begitu rupa oleh kuasa agama pada
zamannya. Hakim yang menghukum al-Imam Ahmad sekali pun megah
bersandarkan kedudukan pada masa itu telah dilupai namanya oleh generasi
kemudian, namun nama al-Imam Ahmad dan pendiriannya terus dikenang
dengan tinta emas oleh sejarah.
Untuk itu saya selalu katakan sesuatu pemikiran apabila dilontarkan
ke dalam masyarakat, ia tidak dapat dihapuskan lagi melainkan dengan
pemikiran yang lebih kukuh dan teguh. Paksaan tidak mungkin dapat
menghancurkan sesuatu pemikiran, kerana tempat pemikiran adalah fikiran
atau minda. Hanya yang boleh mencabutnya keluar adalah hujah yang
memaksa minda akur dan menerimanya. Fahami hakikat ini. Sesungguhnya
jeritan dan bantahan atas emosi dan sentimen tidak akan membuahkan
hasil. Jawablah sesuatu hujah itu dengan hujah, bukan dengan sentimen
dan emosi. Di samping wajib kita ingat hikayat melayu “Hang Nadim” yang
dibunuh kerana kepintaran ideanya dek bimbangkan kepentingan diri
janganlah di watak di pentas realiti kita.
Buku Za’ba ini baik untuk dibaca terutama bagi yang kuat bercakap
soal Islam di Malaysia mesti ikut ‘orang tua-tua melayu’. Za’ba adalah
tokoh sarjana melayu. Seperti Pak Ungku mensarankan kepada saya. MB
Perlis juga cuba mengambil langkah memasyhorkan buku ini. Saya sarankan
anda membaca buku tersebut. Saya juga berterima kasih kerana setiap
tulisan saya dibaca oleh ramai negarawan, menteri, tokoh-tokoh
masyarakat dan rakyat biasa yang memberikan semangat yang sangat positif
kepada saya. Walaupun segelintir yang kurang senang, namun saya harap
ia tetap akan dikenang.
Sumber: Minda Tajdid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan