Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan selamat sejahtera
MASALAH rumah tangga yang berlaku dalam kalangan warga bandar dan kampung banyak bezanya. Di bandar, orang yang berada boleh tinggalkan rumah sesuka hati apabila timbul masalah dengan isteri.
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan selamat sejahtera
MASALAH rumah tangga yang berlaku dalam kalangan warga bandar dan kampung banyak bezanya. Di bandar, orang yang berada boleh tinggalkan rumah sesuka hati apabila timbul masalah dengan isteri.
Mereka boleh pergi ke mana-mana mereka suka sampai berhari-hari sebab
ada duit dalam tangan. Tambahan pula jika isteri bekerja. Tidak ada
masalah yang timbul. Bab anak, pembantu rumah boleh uruskan.
Tapi bagaimana dengan orang luar bandar. Jika bergaduh dan berselisih faham dengan isteri, apa yang mereka lakukan?
Maisarah (bukan nama sebenar) ada jawapannya. Kepada saya, Maisarah
bercerita tentang rumah tangganya yang sedang bergolak kerana suami
asyik melepak di gerai milik seorang janda di kampung mereka.
Ingin tahu lebih lanjut, ini cerita Maisarah. "Saya berusia awal
40-an, mempunyai tiga orang anak berusia daripada sembilan hingga 17
tahun. Suami saya Jalil, (bukan nama sebenar) bekerja sendiri dan saya
mengambil upah menjahit.
"Biasalah hidup di kampung, semuanya perlu usaha jika tidak mana
datangnya duit untuk beli makanan dan pakaian anak-anak serta keperluan
dapur.
"Saya tidak pernah merungut kepada suami tentang rumah tangga sebab
upah jahit yang saya dapat setiap bulan boleh menampung hidup kami.
"Suami pula ada tanah luas. Dia bercucuk tanam dan mengupah orang
menjual hasil tanamannya. Pendek kata, kami tidak susah seperti
kebanyakan penduduk kampung yang lain.
"Tapi suami seorang yang ambil mudah tentang semua perkara. Dia tidak
mahu bekerja keras untuk kehidupan kami anak beranak. Apa yang ada
itulah yang digunakan. Jika dia usaha lebih, pasti kehidupan kami akan
lebih gembira dan senang.
"Dulu suami rajin ke ladang atau ke kebun miliknya. Sekarang dia
menjadi malas. Kerja di kebun dan ladang diserahkan bulat-bulat kepada
pembantunya.
"Bagaimanapun, setiap hari dia keluar rumah seperti biasa. Kononnya
hendak ke kebun supaya dapat hasil yang banyak. Saya percaya bulat-bulat
kerana menyangka suami memang betul-betul mahu bekerja keras untuk
merubah nasib kami sekeluarga.
"Sayangnya sangkaan saya meleset. Suami rupanya sedang gila bayang
dengan seorang janda yang membuka gerai makan di pinggir kampung kami.
"Padanlah sejak akhir-akhir ini dia sudah pandai bergaya dan selalu
nampak kemas apabila hendak keluar rumah. Sebelum ini, capai apa yang
ada tidak kisah pun jika seluar dan kemeja-T tidak bersalin seminggu.
"Saya buat intipan untuk dijadikan bukti. Saya tidak mahu terburu-buru mendengar gosip orang kampung tentang suami saya.
"Akhirnya saya lihat dengan mata sendiri bagaimana 'gatalnya'' suami
apabila bersama janda tersebut. Saya bertambah geram apabila mendapat
tahu setiap hari dia keluar awal hanya semata-mata untuk melepak di
gerai janda tersebut.
"Kebun entah ke mana, ladang entah ke mana. Di rumah tentu tidak
melekat langsung. Solat juga entah ke mana. Anak-anak tak bertegur sapa.
Sudahnya hubungan dengan kami menjadi renggang.
"Tambah sakit hati apabila saya mendapat tahu dia ada hati hendak
berkahwin dengan janda itu. Cerita yang saya dengar, janda ini telah
bercerai dengan suaminya di kampung seberang. Dia balik untuk berniaga
di kampung kami sebab ayah dan ibunya adalah penduduk dari kampung kami.
"Bukan sahaja suami saya yang suka melepak di gerainya, kebanyakan
lelaki yang sudah berkahwin di kampung kami menjadikan gerai janda itu
sebagai tempat persinggahan.
"Saya nampak bukan main manja lagi si janda itu dengan pelanggannya
termasuk suami saya. Siap berpakaian seksi lagi. Setiap hari, dia
memakai pakaian cantik dan berdandan.
"Itu agaknya strategi yang dia gunakan untuk menawan hati suami-suami di kampung kami. Yang lelaki bernama suami tak sedar diri.
"Satu kampung asyik bercerita tentang janda ini. Entah apa yang dia
buat sampai semua orang bercakap tentang dia, saya pun tak tahu. Saya
tak kisah, dia nak buat apa di kampung kami.
"Tapi kehadirannya yang menganggu kebahagiaan rumah tangga suami isteri di kampung kami nampaknya perlu diberi perhatian.
"Saya telah bersemuka dengan janda itu bersama dua orang wakil
persatuan wanita kampung kami. Tujuan kami baik, supaya dia menjaga
tingkah lakunya dan tidak memporak-perandakan keadaan dengan
kehadirannya.
"Kami bercakap dengan cara baik, lembut dan berlapik walaupun kami
tahu tidak sepatutnya melayan dia begitu jika dilihat perangainya.
"Nak tahu apa jawapannya? Dengan ego dan angkuh, dia berkata dia
tidak menjemput lelaki di kampung kami datang ke gerainya. Mereka semua
datang dengan rela hati. Tiada paksaan.
"Jadi, tiada sebab kami sebagai isteri-isteri yang bimbangkan
kesetiaan suami masing-masing menegurnya. Dia tidak ada niat nak
merampas suami siapa-siapa pun.
"Dia juga memberi amaran kepada kami kaum wanita di kampung ini
supaya menjaga suami masing-masing agar tidak selalu datang ke gerainya
untuk minum dan menganggu dia berniaga.
"Cuba anda bayangkan bagaimana perasaan anda jika berada di kedudukan
kami? Bohong kalau anda kata tidak marah sebab janda ini memang mencari
nahas.
"Sudahlah masuk kampung orang, berlagak pandai pula. Saya amat marah
dengan jawapannya. Rasanya macam nak tampar sahaja muka dia. Tapi saya
tahu jaga maruah. Saya tidak bodoh untuk bergaduh pasal lelaki walaupun
saya tidak ada pelajaran tinggi, saya tahu batas diri saya.
"Saya tidak akan bertindak bodoh hanya kerana perempuan yang tidak
tahu menjaga keperibadiannya sebagai wanita. Seperkara lagi, suami saya
juga harus disalahkan.
"Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi dan saya tahu, jika suami saya tidak bertandang ke gerainya setiap hari, dia tidak akan merasa dihargai. Sejak pertemuan kami dengan janda itu, seluruh wanita di kampung kami memboikotnya.
"Saya tidak tahu sama ada dia sedar atau tidak tetapi itulah yang
berlaku. Saya pula berperang besar dengan suami kerana janda itu. Dia
menafikan ada hubungan dengan janda itu dan berkata sekadar suka-suka
melepak di situ selepas penat bekerja di kebun.
"Saya tanya kalau penat kenapa tak balik rumah, boleh tidur dan rehat sepuas hati, ini tidak ke gerai janda itu juga selesanya. Suami tidak ada jawapan melainkan bangun dan meninggalkan saya dengan rasa sakit hati.
"Saya masih bersabar dengan drama ini, tapi kesabaran saya juga ada batasnya. Saya berharap masalah ini boleh selesai dengan baik. Saya berdoa satu hari nanti suami akan berubah dan balik ke pangkal jalan.
"Saya berazam, akan teruskan kerja saya. Pada masa yang sama, saya berdoa agar kekeliruan dalam rumah tangga kami akan selesai dengan baik.
"Tentang janda itu, biarkan dia dengan lakonannya. Perempuan seperti itu bagi saya tidak perlu ditegur banyak kali. Kalau dia hendak berubah tentu dia akan lakukan dengan ikhlas. Kalau masuk kandang kambing, biarlah mengembek, begitu juga dalam kandang kerbau, mesti menguak. Tapi janda ini tidak.
"Mudah-mudahan Allah buka pintu hatinya untuk menyedari apa yang dia buat itu salah. Semoga dia akan muhasabah diri untuk mencari keberkatan dalam hidupnya di dunia dan akhirat. Amin," Maisarah menamatkan ceritanya.
Membaca cerita Maisarah menjadikan saya termenung panjang. Memang masih ada kejadian seperti ini di kampung walaupun jumlahnya agak terpencil.
Cadangan saya, setiap isteri perlu bercakap dari hati ke hati dengan
suami mengenai masalah ini. Ajak suami berunding dan bincang baik-baik
demi rumah tangga dan anak-anak.
Sebagai isteri, saya yakin Maisarah tahu apa yang terbaik untuk suaminya. Layanan kepada suami juga amat penting dalam apa juga keadaan. Kadang-kadang lelaki atau suami akan keluar rumah untuk mendapat apa yang kurang di rumah.
Menamatkan catatan, pesanan saya, jangan gelisah atau ragu jika ditimpa masalah kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.
Wassalam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan