Selasa, 30 Julai 2013

Bab 5



SUBJEK Pengurusan Perniagaan seawal pagi ini membuat seisi dewan kuliah kelihatan melayan kantuk masing-masing. Mungkin kerana belajar hingga ke pagi. Tak pun buat benda lain hingga dinihari selepas ujian Statistik yang dijadualkan dua hari lepas berlalu disebabkan oleh perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan. Itu mengikut kata pensyarah kecil molek dan bercermin mata seperti imej diriku iaitu Puan Sarah Abdul Rahman.
“Helo... kenapa termenung sorang-sorang kat sini?”
Senyuman mesra Irsyad menyapa birai mata, meredakan gelora jiwaku pagi ini. Ingatkan dah tak ada orang yang mahu mempedulikan aku lagi. Irsyad duduk di sebelahku yang sememangnya kosong sebarisan.
“Tak ada apa-apa. Otak aku ni bengang dengan Statistik tadi tak hilang lagi.” Aku senyum, menyembunyikan bentuk hati. Sebenarnya aku bengang dengan sikap buru-buru Meeda yang menuduhku melulu.
“Tak hilang lagi? Biarkan aje... yang lepas tu tak payah difikirkan sangat.”
“Apa hal?”
“Nak ajak kau tengok wayang petang ni.” Irsyad bersuara tenang.
Aku melihatnya dengan kening yang sengaja aku kerutkan. “Ajak aku? Kenapa tak ajak Zainal?” soalku hairan.
“Ya... cik adik manis, tak salah kan aku nak ajak keluar petang ni? Lagipun Zainal ada hal petang ni.” Irsyad menekan suaranya untuk meyakinkan yang aku tak salah dengar apa yang dituturkannya sebentar tadi.
“Pelik!” tuturku tanpa sedar.
“Apa yang pelik?” soal Irsyad memandang aku tanpa berkelip.
“Aku pelik, tiba-tiba kau ajak aku. Okeylah, boleh... no problem. Aku akan temankan kau petang ni. Tapi janji, ja­ngan balik lewat sangat. Esok, aku kena balik kampung.”
“Boleh aku ikut?”
“Aku rasa tak perlulah. Aku takut kau tak biasa kat kampung aku. Lepas tengok wayang kau nak buat apa lagi?”
“Lepas tengok wayang kita ke shopping complex. Aku nak beli sesuatu.” Irsyad teragak-agak menuturkannya.
“Sebenarnya, aku tertanya juga apa tujuan kau ajak aku ni. Nak pujuk Meeda lagi? Oh... aku tahu. Kau ajak aku ni sengaja nak buat Meeda cemburu, kan?” dugaku.
“Saja aje. Itu pun kalau kau sudi keluar dengan aku. Sebab selama ni kita tak pernah keluar bersama. Ada pun kita keluar bertiga dengan Zainal. Kali ni, aku nak ajak kau keluar berdua dengan aku aje. Banyak yang aku nak cakap dengan kau.”
Pelik sungguh kata-kata Irsyad ni. Dia cakap lain macam. Apa kena dengan Uda yang kecewa ni hari ini? Aku membiarkan dia meneruskan bicaranya.
“Kawan kau tu dah terlalu lama buat aku menjeruk rasa. Jadi, aku fikir apa salahnya aku ajak kau. Manalah tahu hati Meeda terbuka untuk menerima aku. Mungkin cara ni dapat mengubah persepsi Meeda dekat aku,” tutur Irsyad seperti tahu sesuatu.
Dia ingin meredakan getaran jiwanya sendiri dengan berkata begitu. Aku dapat merasakan getarannya bersama.
“Aku okey, pasal tu aku sudi tolong. Selama ni ada aku kata tak nak bila kau minta tolong? Tak ada kan? Kau nak shopping ke nanti?” Semakin kuat naluri ingin tahu aku. Aku rasa dia ingin belikan Meeda sesuatu agaknya. Cemburunya aku, Meeda bertuah dapat orang yang sayangkannya melebih-lebih.
“Bukan... aku nak beli sesuatu untuk kenang-kenangan. Itu sebabnya aku nak kau ikut sama. Sesuatu yang special untuk seseorang yang bertuah dan istimewa,” kata Irsyad penuh makna.
“Rasuah aku dengan tengok wayang hanya untuk tolong kau pilih hadiah?”
“Aku tak kata hadiah...”
“Tapi daripada cara kau bercakap macam nak bagi se­seorang tu hadiah. Hadiah? Buat aku fikir lain, untuk siapa? Untuk Meeda? Sempena apa? Hari jadi Meeda lama lagi, 14 Mei. Tak pun kejutan untuk Meeda. Eh! Hari ni hari apa?” Aku bersuara tidak henti-henti, tak percaya aku dapat berlakon dengan baik.
Walaupun hati terluka bila Irsyad hanya pentingkan Meeda dan aku di depannya hanya dianggap kawan biasa macam Zainal. Sakit hati tidak terkata. Aku cuma berharap tidak melalui saat seperti sekarang. Kecewa, sakit hati, terluka dan pelbagai lagi perasaan duka. Perit! Jatuh cinta pada seseorang yang kemaruk pada seseorang. What am I thinking? Aku menarik nafas dalam cuba membuang perasaan itu jauh-jauh.
“Too much question! Mana satu aku kena jawab dulu?” Irsyad meneliti wajah aku yang tertunduk malu.
Aku rimas dengan perlakuannya yang ganjil ini. Dia tersenyum bila aku memalingkan muka untuk melihatnya. Dengan selamba aku membalas senyumannya. “Mana-mana pun boleh. Yang penting aku nak tahu semuanya!”
“Gelojohnya! Kau tak perlu risau. Aku memang nak beritahu semuanya.” Irsyad tersenyum semula.
Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Kena lagi...
“Okey, hadiah ya? Aku nak beli sesuatu kalau itu yang boleh dikatakan hadiah. Tapi sebenarnya aku lebih suka kalau kau kata benda untuk kenang-kenangan. Benda tu special sangat untuk orang yang special. Tapi rahsia untuk siapa sebab kalau namanya dah special memang rahsialah kan? Kau tolong pilih sebab aku tahu hanya jauhari yang mengenal manikam. Dengan erti kata hanya kita yang tahu tentang diri sendiri betul tak?”
“Betul, tapi belum semua kau beritahu aku ada lagi.”
“Sabar sikitlah, cik adik manis. Sempena apa aku nak beli benda tu nanti kau tahu juga. Hari ni pun kau dah lupa ke?” Irsyad mengusik.
Aku meneka bahawa benda tu hadiah untuk Meeda. Irsyad nak berahsia sangat dengan aku apa hal? Macam tak biasa.
“Sebenarnya, aku tak lupa hari ni hari apa. Cuma aku excited sangat kenapa kau nak aku tolong pilihkan. Kalau kau sendiri pun hairan juga. Nak pikat seseorang mesti ambil hati teman rapatnya. Pukul berapa nanti kau ambil aku?” selorohku, mula selesa dengan sikap ganjil Irsyad. Aku aje fikir yang bukan-bukan.
“Tak habis-habis dengan lawak antara benua. Pukul 2.00 petang. Ingat... jangan lewat. Faham-faham saja perempuan, jam bersiapnya mengalahkan jam majlisnya.” Irsyad menundukkan wajah, menulis apa yang diajar di depan oleh Puan Sarah, berpura-pura menumpukan perhatian pada pelajaran.
“Aku taklah sampai macam tu. Aku pakai macam biasa aje, bukannya kita pergi dating.” Celoparnya mulut, betul-betul aku ni tak sayang mulut. Agaknya apalah yang difikirkan Irsyad. Saat ini, aku dapat rasakan mukaku merona merah jambu.
“Aku tak silap dengar, kan?” Irsyad mengangkat wajah dan melihat aku yang buat-buat macam tiada apa-apa.
“Nak tengok cerita Inggeris, Melayu, seram, romantik atau komedi?” soalku, menghilangkan rasa kembang di jiwa. Hari ini, pertama kali aku dapat melihat renungan mata Irsyad yang bercahaya. Selalunya, renungan itu hanya untuk Meeda. Kenapa aku menggelabah ni?
“Melayu, komedi romantik.” Ringkas jawapan yang diberikan.
Aku mula fikirkan sikapnya yang ganjil pagi ini dan kini, tengok wayang pun yang romantik-romantik. Apa kena Irsyad hari ini? Demam ke?
“Kita menonton cerita yang biasa aje, okey?”
“No, it’s not okay. Aku nak kita menonton komedi romantik. It is no excused anymore. Lepas tengok wayang, kita pergi shopping. Faham?”
Ganjil. Tiba-tiba Irsyad berubah mood. Kenapa ya?
“Helo... kau ajak aku tengok wayang, aku kata okey. Tapi bila aku nak tengok wayang yang bukan komedi romantik, kau marah aku pula. Sebenarnya, aku pun malas nak layan kau!” Aku berdiri dan berlalu ke kerusi di hadapan. Kelas Puan Sarah adalah kelas terakhir hari ini dan aku tak bercadang untuk ke mana-mana petang ini.
Lagipun esok, aku nak balik kampung menjenguk Anis. Bertambah sihat atau masih seperti yang dikhabarkan ayah minggu lalu. Jangan sesakkan fikiran aku, Irsyad... nanti tak pasal-pasal kau pula yang akan aku salahkan!
“Sorry...” kata Irsyad beralih duduk di tepiku.
Puan Sarah ketika ini sedang tunduk membaca sesuatu sementara menunggu masa tamat. Aku malas nak pedulikannya. Aku cuba berbual dengan Geetha, gadis India di depanku. Namun, Geetha memberi isyarat tidak mahu diganggu.
“Apa lagi? Kau tak puas hati dengan semua yang aku lakukan untuk kau selama ni ke? Atau kau tak puas hati dengan apa yang berlaku?” kataku geram, menepis tangan Irsyad di bahu.
“Hei! Perlahankan sikit suara tu. Orang dah tengok kita semacam aje.”
Kami menjadi tumpuan seisi kelas. Aku diam menikus, malas nak melayan kerenah Irsyad. Biarlah dia dengan diri­nya sendiri bercakap.
“Lina... Lina... dengar apa aku nak cakap ni. Aina...”
Aku berpaling bila buat pertama kalinya seseorang memanggil pangkal namaku selembut itu. Degupan jantung sederas air terjun Niagara. Aku memandang Irsyad.
“Sorry...” bisik Irsyad perlahan di telingaku.
Aku merenung ke depan dan melihat Meeda sedang memandang dengan senyuman dan gelengan. Pandangan aneh yang tidak dapat aku tafsirkan apa maksud sebenarnya.
“Zainal mana?” soalku sebaik sahaja situasi reda seketika. Sengaja aku membawanya berbual-bual semula, takut kehilangan seorang sahabat sebagaimana Meeda menggambarkan aku semalam.
“Tu kat depan, aku minta dia catit nota untuk aku. Satu lagi, sebenarnya mula-mula tadi aku nak tanya kenapa kau muram sejak dari tadi?” gaya Irsyad normal semula.
“Jangan kata kau sengaja ajak aku untuk menceriakan aku...”
“Bukanlah, aku memang nak ajak kau tengok wayang ni. Aku cuma nak tahu, kau gaduh dengan Meeda ke?”
“Kalau aku kata tak?” Sengaja aku menduganya.
“Ini pertama kali aku lihat kau sendirian dan duduk jauh daripada Meeda. Selalunya kau orang tak berenggang langsung. Di mana ada Meeda, di situ ada Aina!”
“Ya... cantiklah gurauan kau tu!” Aku tidak gemar nama pangkalku disebut begitu.
“Okey... kalau kau tak mahu mengaku, tak apa. Tapi jangan lupa temu janji kita petang ni.” Kelas tamat, Irsyad mengiringi aku keluar.
“Temu janji?”
Kami melangkah keluar dewan. Menuju ke perhentian bas untuk balik ke Asrama A. Oleh sebab asrama terletak jauh dari dewan-dewan kuliah, para pelajar disediakan perkhidmatan bas universiti.
“Oh, forget it... aku nak tahu juga kenapa. I’m really serious, Aina. Tell me why and what all about this. I’m start worry about you now.” Irsyad risau bertempat. Kalau bukan kerana nak tolong dia pikat Meeda, tentu Meeda tak akan mengamuk seperti malam tadi.
Kata-kata akhir Irsyad membuat aku tak jadi menaiki bas. Aku berpaling melihatnya dan seketika bas pergi begitu saja. Nampaknya, aku kena tunggu setengah jam lagi untuk bas yang lain.
“Okey... kami bergaduh malam tadi. Kau ni memang tak akan puas hati selagi aku tak terangkan kedudukan sebenarnya. Aku hairan, bagaimana kau boleh fikirkan hal ni? Tapi kami bergaduh bukan kerana kau. Puas hati? Kau buat aku dah terlepas bas,” keluhku bosan ditanya lebih-lebih. Kan elok aku cakap terus terang. Habis cerita!
Ini akan melibatkan ramai pihak. Dan yang paling aku takut ialah kehilangan Irsyad. Aku sebal dengan sikap tidak peduli Irsyad yang tidak memahami bahawa aku tidak mahu menceritakan apa-apa kepadanya. Aku tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang telah tegang.
“Tak apalah... aku akan hantar kau. Kenapa sampai bergaduh? Aku tak paksa kau turut dalam rancangan gila aku selama ni. Kalau aku yang bersalah, aku minta maaf. Aku tak mahu kerana aku, kau dan Meeda bertengkar hingga merenggangkan persahabatan kamu berdua. Cukuplah sekiranya kau saja yang mengerti dan beri sokongan pada aku selama ni.”
Rupa-rupanya kenyataan aku tidak menghalang Irsyad menyatakan kekesalannya. Irsyad mengesyaki sesuatu. Berdasarkan intonasi suaranya dan sepanjang perbualan kami membuat aku berfikir semula, apakah Irsyad tahu apa yang telah berlaku semalam?
Sakit hati akibat tengkingan Meeda masih terasa. Ikutkan hati, mahu saja aku menghamburkan semuanya. Biar jelas di mata Irsyad selama ini Meeda tidak pernah memandangnya walau sebelah mata hanya kerana dia anak kesayangan Puan Sri. Biar Irsyad tahu dirinya tak dihargai dan tersua-sua mengharap kasih pada yang tak sudi. Sedangkan aku yang selama ini dibiarkan sepi tanpa jawapan.
Dia langsung tidak mempedulikan perasaan aku walaupun aku berperwatakan tomboy. Aku sama seperti perempuan yang lain, cuma mungkin yang membezakan kami adalah penampilan diri. Aku lebih suka berseluar dan kemeja ke kuliah. Tak seperti mereka, berbaju kurung, dress atau pakaian yang kelihatan feminin.
Baju kurung cuma dipakai bila hari raya dan sebelum kejadian itu! Apatah lagi perasaan aku yang sering tergores dengan sikap Meeda selama kami berkawan. Asyik-asyik jaguh bola sepak itu juga yang menjadi topik. Harap muka aje hensem tak guna kalau perangai macam setan! Sabar Lina, sabar!
“Siapa kata kami gaduh kerana kau?” Aku cuba mengaburi Irsyad. Berharap topik mengenai Meeda dihentikan.
“Cuba pandang aku dan cakap semula,” pinta Irsyad tiba-tiba.
Aik! Buang tabiat agaknya Uda yang kecewa ni. Tak semena-mena bulu roma aku meremang, suhu badan turut berubah mendengar permintaan Irsyad. Pelik... sekejap tadi panggil aku Lina, baru sebentar ini panggil aku Aina. Apa betul kepala anak orang kaya ni?
“Apa salahnya kalau aku biasakan diri panggil kau Aina. Tak salah, kan?” sambung Irsyad apabila aku diam membisu.
Aku mengangguk mengiakan mengikut rentaknya, malas aku nak bertekak. Macam dia faham pula apa yang aku fikirkan sekarang.
“Kau tak akan faham, Irsyad. Situasi antara aku dengan Meeda sekarang sukar untuk aku jelaskan pada kau. Tiada apa yang perlu dirahsiakan antara kami. Rahsia Meeda rahsia aku. Walaupun mungkin kau tak setuju dengan pandangan aku ni, tapi aku punya prinsip. Biar apa pun yang berlaku, aku akan tetap menyimpannya.
Cuma dalam hal kita berdua, pikat-memikat si dara. Aku nasihatkan kau supaya tanya sendiri pada tuan empunya badan. Kau kawan aku, aku sayangkan persahabatan kita. Tapi aku tak boleh menipu dengan mengatakan aku tak perlukan Meeda lagi.
Meeda satu-satunya sahabat yang aku ada, sahabat yang aku impikan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Persahabatan kami tak dapat dinilai dengan wang ringgit. Bila seorang sahabat tak dapat menilai antara intan dan kaca, di situlah erti sahabat.
Dia perlukan bantuan aku walaupun antara kami bermusuhan. Di sini segalanya dapat mengubah pendirian seseorang sejauh mana matangnya pemikiran kita dalam menanggani permasalahan masing-masing.” Panjang lebar aku menyatakan buah fikiran.
Irsyad ketawa senang hati. Akhirnya aku mengalah me­nerangkan semuanya. Aku terasa sangat dengan sikap Irsyad. Kata-kata yang aku tuturkan tidak diendahkan olehnya. Ada yang ganjil ke apa aku katakan tadi? Aku merenung Irsyad.
“Hei, hentikan... kita jadi perhatian umum,” bisikku perlahan.
Pelajar-pelajar di situ menoleh sebentar melihat Irsyad ketawa dan kemudian berpaling kembali.
“Kenapa?” soalku bingung melihat reaksi Irsyad. Aku tersalah cakap ke? Atau ada sesuatu di mukaku? Spontan aku meraba muka, tiada apa-apa pun.
“Thanks!” Soalan tidak dijawab, sebaliknya hanya perkataan itu yang keluar daripada mulutnya. Irsyad memandang dengan pandangan yang sukar untuk dimengertikan. Serentak jantung berdengup kencang semula.
“Apa? Aku tak faham!” Aku cemas dan gementar.
“Thanks... sebab tak marah aku lagi, walaupun aku ni selalu menyusahkan. Thanks... sebab anggap aku sebagai kawan kau. Thanks... sebab menyedarkan aku untuk menilai mana yang baik dan buruk. And thanks a lot for... ya, terima kasih...” Irsyad seolah dirasuk sesuatu untuk menyatakan terima kasihnya.
“Cukup, cukup... kau buat aku rimas. Rasa lain dengan ucapan terima kasih kau yang tak berhenti. Aku cuma cakap apa yang betul. Tu sebab kau gelakkan aku tadi. Kau ada benda lain lagi nak cakap? Kalau tak ada, aku nak balik ni.” Mood aku juga sudah berubah ceria semula.
Rasa bosan hilang bersama gurauan Irsyad. Namun, masih ada yang aku khuatir. Bagaimana dengan reaksi Meeda seterusnya? Adakah kami masih seperti dulu? Aku muram kembali. Berkenaan dengan hal semalam, aku tak pernah menyalahkan Meeda seorang. Silapnya ada juga pada aku, membebankan diri dengan perkara orang lain.
“Aku harap kau cepat-cepat selesaikan masalah kau dengan Meeda. Tak baik gaduh lama-lama. TUHAN marah, berdosa!” Sempat juga Irsyad menyelitkan nasihat.
“Jangan risau... aku akan cuba bertoleransi dengan awek kau tu!” Aku tersenyum ikhlas buat pertama kali sejak satu tahun setengah yang lalu.
Bas pun sampai, semua beratur panjang.
“So... sebelum kau naik bas ni, boleh aku tahu buat kali yang terakhir, kenapa kau gaduh dengan Meeda?”
Aku menggeleng, masih menolak kemahuan Irsyad. Biarlah segalanya aku pendam sendiri. Yang penting soal itu biar Irsyad tahu daripada Meeda sendiri.
“Kita jumpa petang ni!” laung Irsyad sebelum berlalu.
Aku segera menaiki bas dengan gelengan mengingati telatah Irsyad sebentar tadi.
Sabda Rasulullah s.a.w:
Janganlah kamu putus-memutuskan hubungan, belakang-membelakangi, benci-membenci, hasut-menghasut. Hendaklah kamu menjadi hamba ALLAH yang bersaudara satu sama lain (yang Muslim) dan tidaklah halal bagi (setiap) Muslim tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih dari tiga hari. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ya, Irsyad... aku akan cuba berbaik dengannya. Aku tahu berdosa sekiranya bertengkar dan tidak berbaik melebihi tiga hari. Kiranya aku dapat melembutkan hati Meeda saat dia marah, ketika itu juga aku meminta maaf. Walaupun aku tahu aku tidak membuat silap seperti yang dikatakannya!

Tiada ulasan: