“AKU tak sangka kau sanggup buat hidup
aku begini, Lina. Apa salah aku pada kau? Kenapa kau sanggup membongkarkan
segalanya? Kenapa kau jadi batu api antara Khairul dengan Irsyad? Sampai hati
kau buat Khairul begitu. Kau tak ada perasaan ke?”
Selalunya, ini antara dialog Meeda bila
dia tahu aku ada di bilik. Sebaik sahaja pintu ditutup, dia akan memulakan
lakonannya. Dia selalu mengangkat dirinya sehebat pelakon Erra Fazira. Tapi
kali ini aku tersilap!
Meeda datang dekat padaku yang sedang
membaca novel Skandal terbitan Alaf 21. Sehangat cerita novel ini, begitu juga
keadaan Meeda sekarang! Dia tercegat di depan aku seperti ingin menelan aku
lagaknya. Kata-kata yang dihamburkannya tadi, dibiarkan sepi. Membebel sesuatu
yang sudah aku lali, selain berbual di awal pagi!
“Hello... what are you talking just now?
Aku tak faham!” Apa aku dah buat pada Khairul dengan Irsyad? Aku jadi batu?
What? Batu api... panas tu! Sepanas hati Meeda ketika ini, situasi yang tidak
pernah aku fikirkan sebelum ini.
“Tak faham ke atau buat-buat tak faham?”
suara Meeda sukar dikawal. Wajahnya merah menahan marah.
Meeda betul-betul tengah marah! Aku
buat-buat tak peduli. Hebat lakonan dia hari ini.
“Betul! Aku tak tahu apa yang cuba kau
sampaikan. Apa aku dah buat dengan jaguh bola sepak kau tu? Bercakap dengan
dia pun tak pernah. Seingat aku cuma sekali di kantin DKP hari tu. Nak ambil
tahu hal orang tak kuasa aku. Hal sendiri pun aku belum selesaikan lagi. Buang
masa, buang tabiat, buang tenaga! Kau ni kenapa?” Aku dalam mood kurang senang
diganggu ketika sedang membaca. Masih tidak mahu mengikut rentak Meeda.
“Aku tahu kau tak bercakap dengan dia,
tapi yang kau pergi api-apikan si Irsyad tu buat apa? Jangan nak beritahu
aku... kau tak tahu apa-apa. Apa? Kau fikir aku tak tahu? Selama ni kau cuba
nak tolong si Irsyad tu. Bukan ke aku dah katakan sejak dari dulu lagi, aku tak
berkenan, maknanya aku tak suka. Ingat dia saja yang kaya dan kacak kat sini?
Ingat aku tergila-gilakan sangat orang macam dia itu? Sorry... aku tak nak
lelaki macam tu. Cakap tak serupa bikin. Tahu hantar spy aje... nak berdepan
tak berani. Kalau kau nak, kau ambillah dia tu!” Meeda menghamburkannya dalam
sekali nafas.
Marah sehingga tak menyedari dia mengaku
sesuatu yang sukar diakuinya sejak dulu. Bertuahnya badan kalau Irsyad suka
pada aku. Ini mesti kes simpan dalam hati. Tengok... dah meletup larva gunung
berapi. Siap dengan sindirannya lagi.
“Cakap satu-satu...” Aku cuba bertenang.
Namun, pantas kata-kataku dipotong Meeda.
“Sayangnya tuah tak pada kau. Dia tak
hiraukan perasaan kau, dia cuma nak pergunakan kau untuk pikat aku. Dia tak
nakkan kau. Itu yang kau fikirkan. Kalau tak, kau tak akan bersusah payah
berbuat baik pada si Irsyad tu semata-mata untuk menambat hati dia dengan
rancangan untuk menolong dia memikat aku.
Betul aku cakap ni. Kalau si Irsyad tu
suka kat kau, aku lagi gembira. Aku orang pertama yang paling gembira untuk
kau. Sekurang-kurangnya, aku tak payah sesakkan fikiran memikirkan gelagat kamu
berdua. Hidup aku bebas dari gangguan.” Meeda merampas novel di tanganku.
Ya ALLAH! Baru aku sedar Meeda
betul-betul marah. Siapalah punya kerja mengapi-apikan Meeda sampai ‘sembur’
aku tanpa perasaan?
“Cuba kau terangkan pada aku apa yang
menjadi masalah. Bukan ke selama ni kau tahu, Irsyad memang minat kat kau,
bukan kerana aku. Tentang Khairul aku tak tahu apa-apa. Apa yang kau tahu mengenai
Khairul sampai kau mengamuk pada aku ni?” Aku cuba bertenang sebaik mungkin
agar tidak mengeruhkan keadaan.
“Kau tahu tak, Khairul cedera. Luka kat
muka dan kaki sebab perbuatan si Irsyad tu!” Muka Meeda berubah suram, seraya
ingin menangis. Dia duduk di kerusi meja belajar di tepi katilku.
“Sebelum kau buat tuduhan, baik kau
selidik betul-betul. Benda ni tak boleh dibuat main, Meeda. Jangan-jangan
Khairul sendiri yang cari penyakit, tak pun Khairul sengaja jual nama Irsyad.”
Tapi kenapa pula Meeda sakit hati pada aku? Aku cuba untuk tidak membabitkan
nama Irsyad. Cuma aku tersilap cakap lagi. Kenapa celopar sangat mulut aku
memburukkan Khairul?
“Siapa yang tak sakit hati? Kalau kau
sendiri pun sakit hati juga. Melihat keadaan Khairul macam tu... muka lebam,
tangan terseliuh, kaki tak tahu patah agaknya... semua ni sebab perbuatan kau
beritahu Irsyad untuk memukulnya,” luah Meeda perlahan, tapi masih menyanggah.
“Meeda, bawa bertenang. Siapa yang cakap
pada kau kecederaan Khairul tu akibat perbuatan Irsyad?”
“Aku tak peduli. Siapa yang beritahu aku
tu tak penting. Tapi kenapa kau sengaja buat aku begini, Lina? Kau tak suka
tengok aku senang dengan Khairul!” marah Meeda semula.
Tuduhan Meeda kali ini buat aku sakit
hati. “Itu bukan urusan aku! Khairul tak pernah sukakan kau. Dia bersama kau
pun sebab nak buat Irsyad cemburu. Kau sendiri tahu mereka bermusuh. Kau saja
yang melebih-lebihkan cerita dan aku dah bosan dengan cerita kau tentang
Khairul. Aku tak tahu kenapa aku benci sangat pada dia. Kau juga tahu aku benci
dia, tapi aku tak pernah halang atau tuduh yang bukan-bukan tentang dia.
Aku ingatkan kau kisah bila aku tak
peduli tentang Khairul. Selama ni, kau tak cerita pada aku pun yang kau sering
jumpa dia. Macam hari ni, tiba-tiba kau muncul dengan cerita baru. Dah berapa
kali aku tengok kau berbual dengan dia dari jauh, tapi aku tak pernah soal kau.
Penting sangat ke Khairul tu pada kau hingga perasaan aku kau tak ambil peduli?
Siapa aku di hati kau, Meeda?” Kata-kataku seperti mengiakan tuduhan Meeda
sebentar tadi. Aku bersuara tenang meluahkan apa yang terbuku selama ini.
Meeda keluar mendengus marah. Kasar dia
menghempas pintu bilik.
“Sampai bila-bila masalah tak akan
selesai kalau ikut perasaan semata-mata. Nampak gayanya, aku kena bersabar lagi!”
Aku berkata sendirian.
BUNYI hon kereta mengejutkan aku yang
sedang menunggu di kerusi taman. Irsyad tersenyum keluar dari dalam kereta.
Segera aku menuju ke arahnya.
“Kenapa lambat? Janji pukul 2.00!”
soalku sebaik sahaja kereta meluncur membelah petang yang permai itu.
“Sorry... aku tertidur.” Irsyad mengaku
salah.
“Lain kali kalau dah tak boleh kotakan
janji, jangan berjanji!” Sebenarnya aku tak kisah sekiranya temu janji petang
itu dibatalkan. Aku dapat rasa perubahan pada kelakuan dan sikap Irsyad padaku
sejak pagi. Lagipun, ini pertama kali Irsyad ajak aku tanpa Zainal. Dan ajakan
yang aku rasa membawa maksud lain.
Sejak pagi tadi Irsyad melayan aku
berbeza berbanding hari-hari yang sebelumnya. Aku tak biasa dengan gelagat dan
kelakuannya. Senyumannya membuatkan bulu roma aku meremang. Apatah lagi tadi
aku bagaikan permaisuri hatinya, dibukakan pintu kereta.
“Marah? Filem mula pukul 4.00, aku dah
booking tiket. Rasanya kita masih sempat pergi makan. Aku belum makan lagi,
laparlah!” sungut Irsyad dengan mimik muka kasihan.
Sebenarnya, aku pun belum makan lagi.
Sibuk menyiapkan tugasan yang akan dihantar minggu depan, sampai lupa pukul
2.00 petang ada seorang jejaka idaman menjemput aku bersiar-siar.
“Bila kau tak muncul tadi aku ingatkan
kau batalkan rancangan hari ni. Lagipun Meeda tak ada kat bilik!” Kenyataan aku
itu membuat wajah Irsyad berubah. Dia tidak selesa bila aku membicarakan hal
Meeda sejak pagi tadi.
Irsyad diam ketika kami memasuki
restoran dan kemudian memesan makanan. Keadaan masih bisu sepanjang menjamah
makanan. Marahkah Irsyad padaku? Adakah aku tersilap cakap?
Rancangan masih diteruskan. Kami
memasuki pawagam dan duduk di barisan atas sekali. Melihat Irsyad khusyuk
menonton di sebelah, aku diam membisu. Hanya mata sahaja terkebil-kebil melihat
adegan filem di skrin. Bunyi yang kuat dan suasana yang gelap, menyulitkan aku.
Aku tidak suka melihat dalam kegelapan begini, pasti mata akan sakit.
Minuman dan popcorn sesekali aku suakan
ke mulut. Kenapa hati berombak ganjil? Ada sesuatu yang akan berlaku dalam masa
terdekat ini. Aku mula bosan berperasaan begini. Filem yang ditayang tidak lagi
menarik perhatian. Kepala penuh dengan pelbagai persoalan tentang Meeda dan
kenapa Irsyad mengajak aku keluar. Selain itu, aku juga teringat Anis di
kampung. Sabar, esok pasti kami akan bertemu juga. Terasa seperti setahun
menunggu!
Aku risau Meeda tak lagi menyapa aku
sejak semalam sehingga aku keluar tadi dia belum balik bilik lagi. Aku tidak
ada peluang langsung untuk bercakap dengannya sepanjang pagi ini bila dia
seakan cuba mengelak untuk berjumpa aku. Aku tak mahu mengeruhkan keadaan,
sekiranya itu memang silap aku, aku akan minta maaf padanya.
Seisi pawagam penuh dengan ilai tawa
penonton. Aku hanya memandang kosong skrin di depan. Tanpa sedar, entah sejak
bila Irsyad menggenggam jemariku erat. Aku menatap wajah Irsyad lama, namun
yang kelihatan hanya sisa tawa di wajahnya. Mungkin Irsyad juga tidak menyedari
perbuatannya dan aku hanya membiarkan sahaja begitu. Namun...
Perlahan aku cuba menarik tangan dan
Irsyad semakin menggenggam erat tanpa mahu melepaskan dan dia begitu asyik
sekali menonton. Apa sebenarnya yang Irsyad rancangkan sejak dari mula dia
menjemputku sehingga aku menyentuh soal Meeda, dia cuma diam membisu? Kini dia
tidak segalak dulu sibuk bertanya mengenai Meeda.
Dia tidak seperti Irsyad yang aku
kenali. Bila berpeluang berjumpa aku, dia akan seboleh-bolehnya nak tahu sama
ada Meeda ada bersama. Dan kini, aku keliru antara perasaan sendiri dengan
perasaan Irsyad.
Aku mengerti sekiranya cinta yang aku
hulurkan tidak disambut Irsyad kerana baginya cinta itu hanya layak untuk
Meeda. Aku tak mahu memaksa seseorang yang aku cintai menerima cinta ini, tapi
sekurang-kurangnya dia menerima aku sebagai sahabat yang boleh dibawa berbincang
ketika susah dan bergelak ketawa ketika senang.
Aku sanggup membantunya memikat Meeda
bukan kerana cinta padanya, tapi kerana perasaan sebagai seorang sahabat. Aku
mengerti bagaimana rasa hati yang dilukai, kerana sejarah telah membuktikan
bila sekeping hati dihancurkan. Tanpa kekuatan fizikal dan mental ditambah
keimanan seseorang yang mencintai dengan tulus pasti akan kecundang. Aku amat
pasti tentang hal ini, kerana itu aku tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Jari-jemari kananku mula terasa lain.
Genggaman Irsyad terlalu kuat hingga menyebabkannya kebas. Aku memandangnya,
serentak dia juga merenungku. Kami saling bertatapan. Irsyad tersenyum.
Perasaan bahagia menusuk kalbu. Aku menjeling skrin sekilas. Wayang sudah tamat
rupanya.
“Tak nak balik?” Irsyad sudah berdiri
dan cuba menarik aku bangun.
Aku yang terkejut dengan perbuatan
Irsyad dan cuba mengimbangi badan bila penonton di sebelah melanggarku ketika
hendak keluar. Aku berusaha agar tidak jatuh, namun apa dayaku. Aku terdorong
ke depan dan Irsyad cuba menyambut tubuhku... langsung tidak tersambut,
sebaliknya kami sama-sama jatuh.
“Sorry...”
Sedar-sedar aku memeluknya erat dan
tersembam di dadanya. Tidak tahu apa yang perlu aku katakan, tiba-tiba berasa
segan dengannya. Perbuatan tadi tidak disengajakan. Aku mendongak menatap mata
jernihnya, merenung redup ke dalam mataku. Menyedari situasi yang kekok, aku
meleraikan pelukannya di pinggang dan membantunya bangun. Irsyad diam sahaja.
“Irsyad, aku...”
Irsyad masih diam. Aku terasa suaraku
tersekat di kerongkong, sukar untuk meluahkan kata-kata. Pipi mula terasa
merona merah apabila menyedari Irsyad masih merenung aku. Apa sebenarnya yang
kami alami? Kenapa dapat aku rasakan Irsyad semakin dekat padaku?
“Jom kita keluar.” Suara Irsyad kedengaran
akhirnya. Dia merentap tanganku keluar dari pawagam.
Baru aku sedar rupa-rupanya hanya kami
berdua sahaja yang belum keluar. Aku biarkan Irsyad menarik dan menggenggam
jari-jemariku erat. Dia seolah-olah tidak mahu melepaskan aku lagi.
“Irsyad!” Panggilanku kali ini membawa
Irsyad ke alam sedar. Spontan dia membuka pintu kereta untukku sambil
tersenyum. Senyuman yang paling manis pernah dilemparkannya kepada aku.
Irsyad tenang memandu.
“Kita ke Just For You!” Sebaik sahaja
memasuki kompleks membeli-belah, Irsyad bersuara. Suaranya normal, tapi
kedengaran lembut di telinga.
Kami memasuki lif dan suasana senyap.
Lif berhenti di tingkat dua, kami keluar dan menuju ke kedai Just For You.
“Boleh aku tahu, kau beli barang ni
sempena apa? Hari jadi? Ulang tahun perkahwinan? Atau...” soalku berlagak
biasa, namun tak berjaya melawan arus perasaan yang bergetar hebat.
“Kita lihat dulu, kemudian Syad akan
beritahu.” Irsyad serentak menarik aku.
Aku sedikit tersentak dengan
perbuatannya. Berlegar-legar di kedai Just For You berdua begini tanpa
melepaskan genggaman tangannya. Teruk betullah mamat ini. Takut aku lari kot.
Tapi benarkah ini atau cuma khayalan perasaan? Dia terlalu rapat dengan aku dan
membahasakan dirinya... Syad?
“Lina suka warna apa?”
Kami berhenti di koleksi hadiah. Irsyad
menanti jawapan. Aku melihat apa yang ditunjuknya. Cawan? Buat apa?
“Hmm...” Aku tak mengerti soalannya,
berfikir seketika.
“A very simple question, Lina. Lina
minat warna apa? Syad nak Lina pilih sebab nak tahu cita rasa Lina.” Irsyad
merenung sambil tersenyum.
Sah! Dia dah nyanyuk. Tak pun gila. Beli
cawan ni buat apa? Bukan untuk aku pun. Kenapa sibuk pula nak tahu apa yang aku
suka? Dulu tak pernah ambil berat pun. Genggaman Irsyad semakin erat dan
langsung tak mahu melepaskan tangan aku. Dibelek-belek dan digerak-gerakkan
jari-jemarinya adalah. Kenapa dengan Irsyad petang ni? Kena rasuk?
“Helo... melamun dah sampai mana?
London? Jepun? Syad masih menunggu lagi!” Pantas Irsyad menegur perbuatan aku
merenung cawan-cawan comel itu.
Perlahan aku melebarkan senyuman. “Syad
nak beli ni untuk apa? Kan ada benda penting yang Syad nak beli? Kita pergi
beli yang itu dulu.”
“Syad tak nak beritahu, Lina pilih
dulu.” Irsyad membelek-belek cawan-cawan comel itu.
“Okey. If you wish for... Lina nak warna
biru, mendamaikan mata memandang dan coraknya pun menarik.”
Irsyad mengangkat cawan biru tersebut
dan ia berbunyi. Nada muzik yang berbeza berbanding yang selalu aku dengar.
“Hmm... cita rasa yang baik. Syad memang
nak warna yang ni. Corak cawan ni memang menarik. Tak sangka kita sama cita
rasa. Kita beli dua!” Irsyad meminta gadis jurujual berdekatan membungkus
untuknya.
“Satu cukuplah... satu lagi nak buat
apa?”
“Rahsia. Kita bayar dulu, nanti tak
sempat pula. Takut orang tu menolak.”
Aku tidak dapat menangkap butir bicara
Irsyad. Menunggu cawan tersebut dibungkus menjadi hadiah. Betul, hadiah!
Sesekali genggaman tangan kami diayun perlahan. Perasaan yang aku alami tidak
menentu. Aneh, gembira, keliru... tapi aku tak membantah perbuatan Irsyad itu.
Sememangnya aku berharap Irsyad menjadi kekasih aku.
“Betullah tekaan Lina, Syad nak bagi
seseorang hadiah...”
“Kita makan dulu, kemudian Syad hantar
balik. Okey?” Irsyad membiarkan kata-kataku berlalu tanpa dijawab.
Selama menjadi sahabat Irsyad, aku tidak
pernah melihat dia sebegini. Perwatakan dan bicaranya berlainan sekali.
Perasaan aneh tadi bertukar menjadi bahagia.
“Esok, Lina balik kampung hati-hati,
okey? Sebelum bertolak Irsyad nak jumpa Lina dulu. Syad nak beri sesuatu...” Irsyad
mendekatkan diri kepada aku.
Aku memejamkan mata, takut memikirkan
Irsyad membuat sesuatu yang aku fikirkan sekarang!
“Be... my... girl!”
Kedengaran bisikan lembut menyapa cuping
telinga sebelum dia melangkah pergi. Aku terpinga-pinga di tangga asrama
melihat Irsyad berlalu pergi. Aku bergegas masuk, masih tertanya-tanya ayat
terakhir Irsyad padaku tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan